Topik diikuti
Pergi ke BHkuKonvokesyen SUSS: Ustaz Irwan imbas ujian pemergian ayah ketika ikuti program possiswazah guaman
Konvokesyen SUSS: Ustaz Irwan imbas ujian pemergian ayah ketika ikuti program possiswazah guaman
Konvokesyen SUSS: Ustaz Irwan imbas ujian pemergian ayah ketika ikuti program possiswazah guaman
PADA tahun terakhir pengajian Ustaz Irwan Hadi Mohd Shuhaimy dalam Program Doktor Juris (Doktor Perundangan) di Sekolah Undang-Undang, Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), beliau kehilangan ayah tercinta yang meninggal dunia kerana radang otak.
Itulah antara ujian emosi yang melanda Ustaz Irwan, 38 tahun, dalam misinya memburu ilmu demi dimanfaatkan bagi tugasan dan amanahnya buat masyarakat.
Setelah 15 tahun menggalas amanah sebagai asatizah yang menasihati anggota masyarakat dalam isu seharian meliputi masalah keluarga dan pembahagian harta pusaka, Ustaz Irwan akur beliau memerlukan ilmu perundangan menyeluruh.
Bersandarkan pegangan 'usah jemu memburu ilmu sepanjang hayat', beliau yang ketika itu Timbalan Pengarah Pejabat Mufti di Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), menyertai Program Doktor Juris ini empat tahun lalu.
Pengajian sambilan itu ditaja pihak pengurusan kanan Muis dan memberikannya ruang menyelongkar undang-undang keluarga dan undang-undang jenayah dengan latihan bekerja sambil belajar dijalani sebulan di mahkamah negara dan dua bulan di dua firma guaman swasta.
Pada petang Jumaat (7 Oktober), Ustaz Irwan, bapa tiga anak berusia antara dua tahun setengah hingga 11 tahun, adalah antara 15 lulusan Program Doktor Juris yang menerima ijazah tamat pengajian di sesi terakhir majlis konvokesyen SUSS.
Difahamkan beliau adalah asatizah pertama di sini yang lulus daripada Program Doktor Juris ini.
Ketika dihubungi Berita Harian, Ustaz Irwan yang merupakan anggota bersekutu Jawatankuasa Fatwa Muis, berkata:
"Dalam memberi nasihat sewaktu sesi kaunseling, ada ketikanya saya perlu menasihati individu tentang akibat tindakan mereka dari segi undang-undang keluarga atau jenayah.
"Justeru, saya berasakan saya perlu melengkapi diri saya dengan ilmu pengetahuan perundangan lebih menyeluruh untuk meningkatkan kesedaran masyarakat agar lebih arif tentang kesan akibat perbuatan mereka dan mengambil pertimbangan sewajarnya sebelum melakukan sesuatu yang boleh menjerat mereka dalam kancah jenayah."
Ustaz Irwan yang memiliki ijazah sarjana muda dalam undang-undang Islam daripada Universiti Al-Azhar di Mesir dan ijazah sarjana undang-undang daripada Sekolah Pengajian Oriental dan Afrika (SOAS), Universiti London, berkata beliau meraih inspirasi daripada perjuangan dan sumbangan Allahyarham Ustaz Kamil Suhaimi, seorang ustaz dan peguam yang juga terlatih sepenuhnya dalam bidang syariah.
"Sejak sekian lama, kita mempunyai lulusan undang-undang Islam dan undang-undang sivil daripada Universiti Islam Antarabangsa (UIA) tetapi keadaan itu belum membolehkan mereka mengambil peperiksaan bar dan mendapat pentauliahan sebagai peguam di Singapura.
"Dengan ijazah Program Doktor Juris ini, mudah-mudahan saya dapat melanjutkan pengajian saya untuk disertakan dalam peperiksaan bar pada Disember ini dan lulus untuk meraih pentauliahan guaman yang dicita-citakan," jelasnya.
Beliau menjelaskan itu adalah antara sebab mengapa beliau memilih untuk mengikuti Program Doktor Juris ini berbanding ijazah Doktor Falsafah (PhD) Undang-Undang yang lebih menjurus pada bidang akademik.
Ustaz Irwan menyedari tidak mudah mengambil pengajian sambilan yang menuntut fokus pada banyak bahan pembacaan dan tugasan menulis secara padat dalam esei sebatas 1,000 perkataan.
"Kerana itu, saya tabik hormat mereka yang bekerja, ada keluarga dan amanah lain tetapi masih sungguh-sungguh nak belajar.
"Saya juga belajar bagaimana nak menulis esei yang padat dan betul-betul mengena sasaran dan tepat faktanya. Kami dilatih untuk tidak menulis panjang-panjang," tambahnya.
Sokongan pihak pengurusan kanan Muis, keluarga, sahabat sekuliah dan doa ibunya banyak membantunya mengharungi tempoh sukar dari segi fizikal, mental dan emosi.
Dalam pada itu, bapanya yang mengalami strok selama 13 tahun dan kemudian diserang jangkitan bakteria pada otak yang membawa pada radang otak selama empat tahun pula meninggal dunia pada tahun terakhir pengajian Ustaz Irwan.
"Itulah detik yang paling sukar dan menyentak emosi saya sebab sebagai anak sulung, dalam saya sendiri tertekan dengan bermacam perkara di fikiran, saya juga perlu beri semangat buat ibu yang menjaga ayah selama ini," ujarnya.
Di sebalik segalanya, Ustaz Irwan amat menghargai latihan amali yang dijalani termasuk latihan perbicaraan di hadapan hakim daerah kanan yang membuatnya dan rakan-rakan teruja bercampur gementar.
"Kita tahu ramai daripada asatizah muda kita kini lebih pada usaha niaga dan menceburi ekonomi gig. Bermacam perkara yang mereka bangunkan mengikut minat masing-masing.
"Buat adik-adik asatizah saya, saya harapkan pendakian ilmu anda tidak akan terhenti termasuk jika ingin menceburi cabang lain.
"Carilah bidang tukikan atau minat sebaiknya melalui latihan formal tanpa mengabaikan latihan asas anda dalam bidang agama bahkan diharapkan bidang ini terus memperkaya peranan anda sebagai asatizah," katanya.
