SEMUA kru kabin pesawat Singapore Airlines (SIA) yang bertugas dalam penerbangan dari London kini perlu memakai pelitup N95 dan pakaian perlindungan disebabkan penularan jenis varian Covid-19 baru yang lebih mudah berjangkit di bandar tersebut.
Mereka juga perlu mengambil ujian swab selepas pulang, lapor akhbar The Straits Times (ST).
Mereka tidak akan dibenarkan untuk meneruskan pekerjaan dalam penerbangan lain sehingga mereka menerima keputusan negatif. Ini sejajar dengan langkah biasa yang diamalkan semasa penerbangan ke destinasi lain yang turut menyaksikan risiko jangkitan Covid-19 yang lebih tinggi.
SIA kini mengendali dua penerbangan langsung sehari dari Lapangan Terbang Heathrow di London pada kebanyakan hari. Setiap perjalanan itu mengambil sekitar 13 jam.
Menjawab pertanyaan ST pada Khamis (24 Dis), SIA berkata, keperluan tambahan dengan menyediakan alat perlindungan semasa penerbangan dari London ini diperkenalkan pada Rabu (23 Dis).
Sebelum ini, kru pesawat telah diarah memakai gogal, sarung tangan dan pelitup pembedahan bagi semua penerbangan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg