Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Lahirkan bayi dalam kereta Grab pengalaman tidak dapat dilupakan

Aug 14, 2019 | 05:30 AM



SEDANG ramai yang teruja dan seronok dengan kisah kelahiran bayi Cik Nur Syazwani Muhd Rosdi dalam kereta Grab, ibu muda itu pula secara berseloroh menyifatkan keadaan tersebut kecoh.



Apakan tidak, air ketuban dan darah mengotori tempat duduk penumpang belakang kereta tersebut.



"Kecoh, kelam-kabut, darah di manamana dalam kereta. Saya kasihankan pemandu Grab kami," ujarnya semasa ditemui Berita Harian.



Kisah kelahiran puteri Cik Nur Syazwani, Mia Ariella Adhwin'a Kamarulnizam, di dalam kenderaan sewa swasta Grab, mendapat perhatian meluas setelah tular di media sosial berikutan catatan beliau di Facebook mengenai pengalamannya itu.



Mia dijadual dilahirkan pada 9 Ogos lalu - justeru Cik Nur Syazwani dan suaminya, Encik Kamarulnizam Kiman, kedua-duanya 25 tahun, seronok menantikan bayi yang lahir pada Hari Kebangsaan itu.



Bagaimanapun, puterinya itu mempunyai rancangan berbeza.



"Kami seronok nak dapat bayi Hari Kebangsaan tapi selepas membuat pemeriksaan di klinik pada waktu pagi (7 Ogos), isteri saya mengalami pengecutan pelahiran yang semakin kuat," kata Encik Kamarulnizam, seorang kakitangan awam.



"Kami terus pulang ke rumah untuk ambil barangan penting sebelum bergegas ke hospital," tambahnya.



Pasangan itu memesan Grab dari rumah mereka di Canberra Street untuk ke hospital pada sekitar 6 petang.



"Perjalanan yang sepatutnya 30 minit menjadi satu jam sebab ketika itu waktu sibuk, orang ramai baru pulang kerja," cerita Encik Kamarulnizam.



Tiba-tiba, suasana menjadi huru-hara apabila Cik Nur Syazwani mengerang kesakitan.



"Saya agak panik sehinggakan apabila dia mengerang lagi, tak tahu kenapa saya tutup mulutnya.



"Kemudian, saya nampak kepala bayi sudah hampir terkeluar dan dengan cepat tadah tangan untuk terima anak saya," kata Encik Kamarulnizam.



Menurut bapa tiga anak itu, kelahiran anaknya itu berlaku dengan pantas, dalam tempoh tiga minit sahaja.



Ia tidak seperti kelahiran dua anak mereka sebelum ini, Marsha Adhwaa Aliani, 9 tahun, dan Muhammad Syarul Adhwin, 2 tahun, yang makan masa berjam-jam di hospital selepas ketuban ibunya pecah semasa berada di rumah.



"Selepas bayi keluar, saya tepuk punggungnya beberapa kali untuk pastikan dia selamat. Kami berdua rasa sangat lega dan keadaan kembali menjadi tenang," ujar Encik Kamarulnizam.



Dengan menatang bayi di tangan kirinya, beliau juga menghulurkan tangan kanan yang berdarah ke luar tingkap kereta untuk meminta pemandu lain memberi laluan kepada mereka.



Mereka selamat tiba di Thomson Medical Centre pada sekitar 7.30 malam.



Pasangan itu juga amat berterima kasih kepada pemandu Grab, Encik Chia Shang Heng, yang kekal tenang semasa kejadian tersebut.



Apabila tiba di hospital, meskipun mereka berkali-kali meminta maaf dan mahu berbincang mengenai pampasan bagi membersihkan keretanya, Encik Chia bertegas supaya mereka menguruskan bayi dahulu dan jangan khuatir tentang keadaan keretanya.



"Kami terhutang1 budi dengan bantuan Encik Chia. Bukan hanya kami telah kotorkan kenderaannya, dia juga dikenakan bayaran pembersihan yang mahal dan hilang pendapatan selama tiga jam," tambah Encik Kamarulnizam.



Menceritakan pengalaman itu, Cik Nur Syazwani, guru prasekolah berkata:



"Memang mencemaskan, namun alhamdulillah segalanya selamat dan apabila kami renung kembali, ini pastinya satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >