Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Lawrence Wong: Pemerintah pantau dengan rapi arus jangkitan Covid-19

Sep 21, 2021 | 05:30 AM



PEMERINTAH sedang memantau arus jangkitan Covid-19 dengan rapi, yang difikirkan penting buat seminggu dua ini.



Menteri Kewangan yang juga selaku pengerusi bersama pasukan bertindak berbilang kementerian (MTF) bagi menangani pandemik, Encik Lawrence Wong berkata keprihatinan utama adalah terhadap kes-kes dalam unit jagaan rapi (ICU).



Ini adalah untuk memastikan sistem hospital negara ini tidak terbeban, meskipun kadar perlindungan vaksinasi Singapura adalah tinggi, dan angka kes yang berada di dalam ICU kekal rendah.



"...sebenarnya jumlah ICU boleh berubah dengan sangat cepat dan kita tidak boleh bersikap sambil lewa," kata beliau dalam satu catatan Facebook kelmarin.



Sehingga kelmarin, terdapat 21 pesakit yang dalam keadaan kritikal di ICU akibat koronavirus itu, menurut Kementerian Kesihatan (MOH).



Sebanyak 873 kes kini berada di hospital, dan 118 kes memerlukan sokongan oksigen.



Dalam jumlah 11,196 individu yang dijangkiti sepanjang 28 hari lalu, 98.1 peratus daripada mereka tidak mengalami atau mengalami gejala ringan.



Sekitar 1.7 peratus daripada mereka memerlukan sokongan oksigen, 0.2 peratus memerlukan rawatan ICU dan 0.04 peratus telah meninggal dunia.



Sementara itu, 82 peratus penduduk Singapura telah selesai rejimen penuh vaksinasi mereka atau telah menerima dua dos vaksin Covid-19 sehingga Sabtu lalu.



Encik Wong menjelaskan bahawa walaupun vaksin Covid-19 memberikan perlindungan yang baik terhadap penyakit teruk, tahap perlindungan itu tidak 100 peratus.



Meskipun kadar perlindungan vaksin negara ini tinggi, data Kementerian Kesihatan (MOH) menunjukkan sekitar 0.2 peratus kes jangkitan berisiko memerlukan rawatan ICU.



Peratusan itu mungkin kelihatan kecil, kata Encik Wong, namun jika ia dirujuk kepada jumlah besar mereka yang dijangkiti dan meningkat dengan pesat, jumlah kes dalam ICU boleh bertambah dengan cepat.



Beliau turut mengingatkan orang ramai bahawa tempoh masa bagi seseorang dirawat di dalam ICU boleh menjangkau lebih dua minggu.



Encik Wong menambah bahawa angka 0.2 peratus itu juga boleh berubah.



Contohnya, jika terdapat lebih ramai warga emas atau individu belum divaksin yang dijangkiti, peratusan individu yang dijangkiti yang memerlukan rawatan ICU akan menjadi lebih tinggi daripada 0.2 peratus.



"Justeru kita tidak boleh menganggap bahawa angka ICU kita akan terus kekal rendah, atau kapasiti ICU kita tidak akan pernah diuji.



"Sehubungan itu, tempoh satu hingga dua minggu mendatang akan menjadi penting, sedang kita memantau trajektori jangkitan dan keadaan hospital/ICU keseluruhan kita," kata beliau.



Jumlah kes jangkitan Covid-19 harian di Singapura terus meningkat, dengan sebanyak 1,012 kes baru dilaporkan kelmarin - hari kedua berturut-turut lebih 1,000 kes dilaporkan.



Jumlah kes itu juga yang tertinggi sejak 23 April tahun lalu apabila 1,037 kes baru dilaporkan.



Kelmarin, Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, yang juga pengerusi bersama MTF, melahirkan keprihatinan bahawa sistem jagaan kesihatan Kemalangan dan Kecemasan (A&E) di sini, serta wad hospital biasa, "sedang menghadapi tekanan".



Ini menyusuli kenyataan MOH baru-baru ini bahawa beberapa hospital awam kini melihat bilangan melonjak pesakit di A&E yang mempunyai simptom ringan jangkitan pernafasan.



Untuk mengurangkan beban ke atas hospital dan pekerja kesihatan, Encik Ong berkata itu sebabnya pesakit Covid-19 lebih muda yang telah menerima vaksin sepenuhnya digalakkan menjalani pemulihan di rumah.



Dalam usaha membendung penularan koronavirus, pemerintah sebelum ini telah menggesa orang ramai supaya mengurangkan kegiatan sosial tidak penting, dan menggalak semua, termasuk mereka yang sudah divaksin sepenuhnya, melakukan ujian swab Ujian Pantas Antigen (ART) sendiri dengan kerap sebagai soal "tanggungjawab sosial".



Mengakhiri catatan Facebooknya, Encik Wong berkata orang ramai boleh memainkan peranan memperlahankan penularan, dan melindungi diri mereka dan orang tersayang dengan mengurangkan kegiatan sosial tidak penting.



"Kurangkan kegiatan sosial tidak penting, terutamanya jika anda seorang warga emas atau tinggal bersama warga emas.



"Terus amalkan kebersihan yang baik dan patuhi langkah pengurusan selamat. Dan uji diri anda dengan kerap untuk memastikan anda bebas daripada virus, dan tidak menyebarkannya kepada orang di sekeliling anda," kata beliau.




SEKILAS



  • Pemerintah pantau trajektori jangkitan Covid-19, tempoh 1-2 minggu mendatang penting

  • Walaupun kadar vaksinasi Singapura tinggi dan vaksin beri perlindungan baik terhadap penyakit teruk, tahap perlindungan tidak 100%.

  • Angka kes ICU kekal rendah, tetapi ini boleh berubah. Contohnya, jika lebih ramai warga emas atau individu belum divaksin dijangkiti, angka individu dijangkiti yang perlukan rawatan ICU akan jadi lebih tinggi.

  • Individu yang alami gejala ringan digesa elak daripada dapatkan rawatan di hospital dan sebaliknya jumpa doktor GP di klinik Swab dan Hantar Pulang.

  • Orang ramai digalak kurangkan kegiatan sosial tidak penting, terutamanya jika mereka warga emas atau tinggal dengan warga emas.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >