Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Lebih 140,000 majikan akan terima JSS lebih $2.2b

Jun 23, 2021 | 05:30 AM



LEBIH daripada 140,000 majikan akan menerima bayaran Skim Bantuan Pekerjaan (JSS) berjumlah lebih $2.2 bilion bermula 30 Jun ini.



Ini akan menyokong gaji lebih dua juta pekerja tempatan, kata Kementerian Kewangan (MOF) dan Penguasa Hasil Mahsul Singapura (Iras) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.



Dengan bayaran ini, lebih $26.7 bilion dalam bentuk sokongan JSS akan diagihkan sejak pengenalan skim itu semasa Belanjawan Perpaduan pada Februari tahun lalu.



Majikan yang telah membuat sumbangan wajib CPF kepada pekerja setempat mereka bagi Januari hingga Mac tahun ini mengikut tarikh akhir yang ditetapkan, layak untuk menerima bayaran itu, tambah MOF dan Iras.



Bagi bayaran untuk Jun, majikan dalam sektor penerbangan, aeroangkasa dan pelancongan akan menerima sokongan 50 peratus bagi gaji bulanan kasar pertama sebanyak $4,600 yang dibayar pada Januari, Februari dan Mac 2021.



Mereka yang dalam khidmat makanan, peruncitan, seni dan hiburan, pengangkutan darat, sekitaran bina serta sektor marin dan lepas pantai, akan menerima sokongan 30 peratus bagi gaji yang dibayar semasa tempoh yang sama.



Majikan dalam semua sektor, tidak termasuk sains bioperubatan, kejuruteraan jitu, elektronik, khidmat kewangan, teknologi maklumat dan perhubungan, media, penghantaran pos, peruncitan dalam talian serta pasar raya dan kedai runcit, akan menerima sokongan 10 peratus. Majikan yang layak akan diberitahu melalui pos berhubung jumlah bayaran mereka lewat bulan ini.



Mereka juga boleh mendaftar masuk ke laman TaxPortal untuk melihat salinan elektronik surat tersebut.



Majikan yang telah mendaftar bagi Korporat PayNow menjelang 25 Jun 2021, atau mempunyai aturan Giro sedia ada dengan Iras, boleh menjangka untuk menerima bayaran JSS bermula 30 Jun.



Majikan lain akan menerima cek mereka bermula 5 Julai.



Seperti yang diumumkan sebelum ini, untuk membantu perniagaan semasa Fasa Dua dan Tiga (Kewaspadaan Dipertingkat), JSS akan dipertingkat untuk menyokong sektor yang telah teruk terjejas akibat langkah pengurusan selamat bermula 16 Mei hingga 11 Julai.



Sektor yang terjejas teruk akan menerima sokongan 50 peratus bagi tempoh ini.



Sektor lain yang terjejas akan menerima sokongan 30 peratus sepanjang tempoh sekatan dan ia disusuli dengan sokongan 10 peratus selepas itu bermula 12 hingga 25 Julai.



Butiran mengenai sektor yang layak boleh didapati di laman Iras.



Bayaran dipertingkat itu akan diagihkan pada September ini.



MOF dan Iras mengingatkan majikan dalam kenyataan mereka untuk menyumbang jumlah CPF yang betul bagi pekerja mereka, berdasarkan gaji sebenar yang dibayar.



"Sumbangan CPF majikan digunakan untuk mengetahui jumlah bayaran JSS. Denda berat akan dikenakan bagi mereka yang cuba untuk menyalahgunakan JSS," kata kenyataan itu lagi.



Selain tidak dapat menerima JSS, pesalah boleh didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan menghadapi penjara hingga 10 tahun dan denda.



Perniagaan atau individu yang ingin melaporkan sebarang penyelewengan atau kemungkinan penyalahgunaan JSS boleh melakukan demikian melalui e-mel ke jssreport@iras.gov.sg.



Sebagai sebahagian daripada pemeriksaan kelayakan JSS, sebilangan majikan akan menerima surat daripada Iras yang memerlukan mereka untuk menjalankan semakan sendiri mengenai sumbangan CPF dan memberikan pengesahan atau dokumen untuk menunjukkan kelayakan mereka bagi bayaran JSS.



Bayaran Jun 2021 mereka akan digantung sambil menantikan semakan sendiri dan pengesahan Iras dan akan hanya diagihkan selepas tamat semakan itu nanti.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >