Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Lebih 18,000 pasangan raih manfaat 'Bersamamu'

Presiden Halimah: Program disokong pelbagai agensi termasuk M3, ROMM, masjid serta MSF
Oct 10, 2022 | 05:30 AM



LEBIH 18,000 pasangan Muslim telah meraih manfaat daripada program 'Bersamamu', yang menawarkan bimbingan oleh Naib Kadi kepada pasangan sebelum dan hingga dua tahun pernikahan, sejak ia dilancarkan tiga tahun lalu.



Menyifatkannya sebagai satu program baik yang bertujuan memperkukuh perkahwinan, Presiden Halimah Yacob berkata program itu juga disokong pelbagai agensi termasuk M3, Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM), masjid serta Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).



Tambahnya, ini telah mewujudkan satu ekosistem yang dapat memberi sokongan kepada keluarga dan pasangan muda.



"Saya rasa jika kita mahu melihat keluarga yang kukuh, kita perlu (memastikan) bahawa perkahwinan juga kukuh.



"Kita perlu adakan keluarga yang kukuh kerana kita mahu membentuk anak-anak dalam keadaan yang stabil dan keadaan yang dapat memberikan mereka pendidikan yang baik," ujarnya.



Beliau berkata demikian kepada media semasa berkunjung ke Masjid Darul Ghufran, salah satu masjid yang menyokong program 'Bersamamu', di Tampines semalam.



Program 'Bersamamu' merupakan antara inisiatif di bawah Bidang Tumpuan 1 (FA1) M3 - iaitu untuk menyokong perkahwinan, keibubapaan dan pendidikan awal kanak-kanak - yang diterajui Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim.



Puan Halimah yang disertai Dr Faishal dan Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Kadir Maideen, turut bertemu dengan beberapa pasangan yang telah melalui program itu serta pasangan bakal bernikah yang baru mengikuti program itu semalam.



Menurutnya, pasangan yang ditemuinya itu mendapati bahawa program 'Bersamamu' amat bermanfaat kerana ia menyediakan wadah buat mereka mendapatkan nasihat dan panduan yang berkedudukan neutral atau tidak berpihak sesiapa.



Semasa menyampaikan pembentangan tentang program 'Bersamamu', Pendaftar Pernikahan Orang Islam di Pejabat Pendaftar Pernikahan Orang Islam (ROMM), Ustaz Nor Razak Bakar, berkata kini terdapat beberapa usaha untuk menilai hasil jangka pendek program tersebut.



Ini termasuk dengan menggunakan kaedah kuantitatif dan kualitatif untuk meninjau keberkesanannya.



Ini antara lain akan dijalankan dengan mendapat maklum balas daripada pasangan yang telah melalui program itu serta sesi wawancara bersama sesetengah pasangan dan Naib Kadi.



"Kami juga sedang menjalankan analisis awal tentang kadar perceraian dalam kalangan pasangan yang telah melalui 'Bersamamu' berbanding pasangan daripada kohort lebih awal.



"Selain itu, kami berharap dapat menilai kesan program ini pada hasil perkahwinan... serta mutu rumahtangga yang dibina," ujarnya.



Ustaz Pasuni Maulan, yang menerajui program 'Bersamamu' bersama tujuh Naib Kadi lain semasa ia dilancarkan tiga tahun lalu, berkata ini merupakan satu usaha yang baik untuk menilai pencapaian program itu.



"Kita tidak boleh berpuas hati dengan apa yang telah dilakukan.



"Kalau kita berpuas hati, kita akan setakat itu sajalah. Ada lagi yang boleh kita lakukan kerana kita bukan saja nak membentuk pasangan ini tapi kita nak membangunkan generasi akan datang juga.



"Oleh itu, kalau kita lihat pencapaian itu kurang memuaskan, kita perlu cari apakah sebabnya dan bagaimana untuk memperkukuhnya?" ujar beliau.



Memandang ke hadapan, Puan Halimah berkata program itu juga mungkin dapat dipertingkat pada masa akan datang dengan turut menyertakan aspek sokongan bagi ibu bapa muda untuk menyokong mereka menjaga anak mereka dengan lebih baik, khususnya dari segi perkembangan minda dan kesihatan anak itu.



Beliau turut menyarankan agar program itu dapat dijalankan bagi tempoh lebih lama hingga tiga atau lima tahun, berbanding dua tahun sekarang.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >