DUA lelaki ditangkap dan lebih 3,700 karton rokok tidak dibayar cukai dirampas oleh Kastam Singapura dalam satu operasi Isnin lalu.
Warga Bangladesh berusia 38 tahun dan warga Singapura berusia 24 tahun pula ditangkap selepas pegawai kastam menemui 3,744 karton rokok tidak dibayar cukai dibungkus dalam beg sampah warna hitam dan 288 bakul hijau kosong.
Ia ditemui dalam sebuah unit di bangunan perusahaan di Corporation Drive. Bakul-bakul itu dipercayai digunakan untuk menyembunyikan rokok tidak dibayar cukai.
Pegawai kastam sedang memantau unit tersebut apabila dua lelaki memasukinya. Selepas seorang daripada mereka beredar, pegawai kastam melakukan pemeriksaan. Cukai serta cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang tidak dibayar daripada rokok itu masing-masing berjumlah $319,730 dan $25,440.
Pesalah boleh dikenakan denda hingga 40 ganda cukai dan GST yang tidak dibayar dan penjara hingga enam tahun. Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan menyeludup atau mengelak cukai atau GST boleh menghubungi Kastam Singapura di talian 1800-233-0000, atau e-mel customs_intelligence@customs.gov.sg.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg