MESKIPUN masih terdapat keterbatasan disebabkan Covid-19 yang masih berterusan, ini tidak menghalang usaha Reach mendekati serta mengumpul maklum balas daripada rakyat Singapura.
Pandemik ini mungkin telah mengehadkan interaksi fizikal berikutan langkah jarak selamat yang ditetapkan. Namun, ia juga telah membuka 'pintu baru' bagi Reach.
Demikian pandangan Timbalan Pengerusi Reach, Cik Rahayu Mahzam, sewaktu mengongsi usaha yang telah dilakukan unit maklum balas pemerintah sekitar setahun yang lalu.
Menurut beliau, sepanjang 2021, Reach berjaya melibatkan lebih 70,000 orang, antara lain, menerusi kempen jangkauan dan sesi penglibatan dalam talian serta kumpulan sembang di WhatsApp.
Ini adalah satu peningkatan berbanding tahun lalu apabila Reach mendekati sekitar 56,000 orang.
Lebih menggalakkan, kata Cik Rahayu, mereka juga menyaksikan peningkatan bilangan peserta kali pertama yang mengambil bahagian dalam dialog anjuran Reach.
"Seramai 80 peratus daripada 4,600 orang yang mengambil bahagian dalam sekitar 36 dialog dan perbincangan kumpulan fokus merupakan peserta kali pertama.
"Justeru, anda boleh lihat bahawa jumlah penglibatan kami meningkat dengan positif," ujar beliau.
Sehubungan itu, beliau turut menambah bahawa Reach berjaya menjangkau lebih daripada 1,300 orang menerusi kumpulan sembang di WhatsApp.
Kaedah pengantara yang baru diperkenalkan tahun ini membolehkan orang ramai menyumbangkan maklum balas mereka menerusi aplikasi tersebut.
Diadakan sebagai reruai maklum balas mudah alih sebelum ini, 'titik mendengar' atau LP Reach juga telah berkembang sepanjang tempoh pandemik ini.
Hari ini, gabungan LP fizikal dan e-LP (tinjauan dalam talian) menjadikannya saluran maklum balas yang sangat mudah diakses untuk rakyat Singapura memberikan maklum balas tepat pada masanya.
Seramai 65,000 orang telah memanfaatkan 70 'titik mendengar' ini di sekitar negara.
Cik Rahayu mengiktiraf peningkatan positif ini kepada tiga anjakan utama yang diusahakan Reach sepanjang tahun ini.
Anjakan ini merangkumi penggunaan pendekatan "digital dahulu", bekerjasama dengan lebih ramai rakan kongsi dan akhirnya memupuk rakan masyarakat dan penyumbang yang berminat untuk bekerjasama dengan Reach dalam meluaskan dan memperdalam usaha penglibatannya.
"Kami cuba memikirkan cara yang terbaik untuk mendekati orang ramai dan yang mudah diakses.
"Platform digital bukan sahaja membolehkan peningkatan lebih besar, malah membina hubungan dan memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan," tegas Cik Rahayu.
Namun begitu, menurut beliau lagi, Reach masih menghadapi cabaran terutama untuk mengumpul maklum balas daripada mereka yang sukar untuk memberi pandangan dalam persekitaran awam meskipun mereka ingin berkongsi.
Cik Rahayu berkata keprihatinan utama ialah memastikan Reach masih mampu menjangkau setiap segmen dalam masyarakat secara menyeluruh supaya pandangan dan maklum balas tidak terpesong hanya kepada mereka yang lebih lantang.
Ini agar pihaknya mendapat maklum balas yang saksama sebelum ia dikongsi dengan pemerintah.
Justeru, Cik Rahayu mengajak orang ramai bersama dalam perjalanan membina sebuah negara yang lebih baik untuk semua.
Beliau berkata: "Ini jelas akan menjadi lebih bermakna jika kami mendapat pandangan daripada setiap penduduk dan kami ingin memberitahu mereka bahawa pandangan mereka ini sangat penting.
"Jadi, kami mahu pastikan kami dapat mendengar setiap suara dan setiap pandangan itu adalah penting bagi kami… itulah yang ingin kami ketengahkan.
"Walau bagaimanapun, kami berharap dapat mengadakan penglibatan yang bermakna… di mana orang ramai boleh memberikan maklum balas yang membina dan bermakna, yang kemudiannya boleh kami ketengahkan kepada agensi berkepentingan dan pemerintah dengan harapan ia dapat dibentuk menjadi dasar negara yang akan memperbaiki kehidupan rakyat Singapura."