SEDANG jumlah kes jangkitan Covid-19 meningkat, bilangan hotel yang dijadikan kemudahan pengasingan juga bertambah dari lebih 70 hotel pada Mei kepada lebih 90 hotel sehingga Rabu (4 Ogos).
Sejak Mac tahun lalu, hotel-hotel ini telah - pada sesuatu masa - digunakan sebagai kemudahan kuarantin pemerintah atau kemudahan khusus bagi Notis Jangan Keluar Rumah (SDF).
Operasi mereka digerakkan berdasarkan keperluan semasa, kata Kementerian Pembangunan Masyarakat (MND) kepada akhbar The Straits Times.
MND, bagaimanapun, tidak memberitahu berapa banyak hotel kini mengendalikan kemudahan sebegini.
SDF merujuk pada kediaman pelancong luar negara yang diberi SHN sementara kemudahan kuarantin adalah bagi mereka yang perlu diasingkan kerana mereka mempunyai kontak rapat dengan kes Covid-19.
Bergantung pada keadaan, mereka yang diletakkan di bawah perintah kuarantin atau SHN boleh juga menjalaninya di rumah, tambah MND.
Sehingga Rabu, terdapat sekitar 14,000 orang di bawah perintah kuarantin, 5,000 daripada mereka diletakkan di kemudahan kuarantin pemerintah, mengikut data dari Kementerian Kesihatan (MOH).
Pada Selasa, MOH meminta maaf di atas kelambatan membawa individu di bawah perintah kuarantin ke kemudahan mereka.
Ia berkata bilangan individu di bawah kuarantin bertambah berlipat kali ganda dengan wujudnya kelompok Covid-19 yang berkaitan dengan kelab KTV dan Pelabuhan Perikanan Jurong serta kelompok lebih kecil.
Tambahan ini membawa pada kelambatan serta jurang komunikasi buat sesetengahnya yang dalam kuarantin, jelas MOH.
Bagaimanapun, isu ini dikatakan telah dapat diatasi.
Minggu lalu, sejumlah 14,770 perintah kuarantin dikeluarkan atau secara purata, 2,110 kes sehari. Bilangannya kini turun pada purata sekitar 1,490 kes dari Ahad ke Selasa.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg