Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki dipenjara langgar perintah pengasingan Covid-19 dek makan malam dengan rakan

Sep 14, 2022 | 5:30 AM
Encik Ong Ye Kung
Encik Ong Ye Kung -

SEORANG lelaki yang telah diarahkan untuk mengasingkan diri di rumah kerana batuk dan mungkin dijangkiti Covid-19 sebaliknya bertemu dengan rakannya untuk makan malam di pelbagai lokasi.

Dia juga meminta wang dari rakannya untuk membayar denda bagi kesalahan melanggar peraturan Covid-19 beberapa bulan sebelum itu.

Semalam, Verner Chua Jun Jie, 22 tahun, telah dipenjara selama sebulan dan satu minggu selepas dia mengaku bersalah terhadap dua tuduhan, termasuk meletakkan orang lain dalam risiko dijangkiti penyakit.

Dua lagi tuduhan melanggar peraturan Covid-19 dan gagal melaporkan diri kepada pegawai pengawas telah diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.

Mahkamah diberitahu bahawa Chua, yang mempunyai sejarah pencurian dan penyalahgunaan dadah, dijatuhi hukuman latihan pemulihan pada 2019.

Pesalah di bawah skim itu ditahan di sebuah pusat dan mengikuti regimen ketat termasuk kaunseling.

Pada 8 Disember 2020, penyelia Chua memaklumkan kepada pihak berkuasa bahawa Chua telah melawat seorang doktor pada petang 6 Disember, tetapi pulang ke kediaman lewat pagi esoknya.

Ia didapati bahawa Chua, telah didiagnosis dengan jangkitan akut pernafasan atas apabila dia melawat doktor selepas mengalami batuk dan sakit tekak.

Chua melakukan ujian swab bagi virus itu di klinik dan dikenakan cuti sakit selama tiga hari, di mana dia dikehendaki mengasingkan diri di rumah atau sehingga ujian negatif Covid-19 diterima, kata Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Cheng You Duen.

Chua, bagaimanapun, menaiki teksi ke Jalan Sultan selepas melawat klinik di mana dia bertemu dengan rakannya yang dinamakan dalam dokumen mahkamah sebagai Jun Peng dan meminta wang untuk membayar denda bagi kesalahan yang sama, di bawah Akta Penyakit Berjangkit, yang telah dia lakukan pada bulan Ogos 2020.

Kedua-dua mereka menaiki teksi lain ke Balestier untuk makan pencuci mulut, dan kemudian ke Geylang untuk memakan bubur.

Mereka menaiki teksi keempat, yang membawa Chua pulang ke rumahnya pada sekitar 4 pagi.

Menurut DPP Cheng, Chua hanya menerima keputusan ujian swab negatifnya pada 8 Disember.

Dalam satu kesalahan berasingan pada September tahun lalu, Chua gagal melaporkan diri di Rumah Tumpangan Selarang sebagai sebahagian daripada pembebasannya dari skim pengawasan, yang memerlukannya memakai tag sistem pengawasan elektronik.

Dia telah diletakkan di skim itu sejak Ogos tahun lalu, yang memerlukannya untuk mengikuti perintah berkurung dan melaporkan diri kepada seorang pegawai.

Chua memotong tagnya dengan sepasang gunting untuk menyembunyikan lokasinya dan membuang alat itu.

Perkara itu dilaporkan kepada polis dan Chua ditangkap pada April lalu.

Memohon satu bulan dan satu minggu penjara untuk Chua, DPP Cheng berkata memandangkan bagaimana Chua melakukan beberapa kesalahan pada masa lalu menunjukkan dia mengabaikan undang-undang.

DPP Cheng menambah bahawa bagi kesalahan ini, Chua telah melawat tempat-tempat awam atas sebab-sebab yang remeh.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg