Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SAJIAN KHAS HARI INI: WIRA TANPA SAJUNGAN

Lima sekawan mahu suntik ceria keluarga susah

TheJumaatInitiatives usahakan pelbagai kegiatan hulur barangan keperluan rumah kepada keluarga yang lebih memerlukan
Sep 17, 2021 | 05:30 AM



SEMPENA hari jadinya ke-31 pada September dua tahun lalu, Encik Mohd Nurhazwan Mohd Tahir tergerak untuk mengagihkan makanan percuma kepada jemaah masjid selepas solat Jumaat selama sebulan.



Beliau dan beberapa temannya yang lain telah mengumpulkan dana untuk membelikan makanan termasuk 'ice lolly' dan kek serta kuih-muih yang dibeli dari pemilik perniagaan di rumah (HBB) untuk diagihkan kepada beberapa masjid berdekatan rumah mereka.



Meskipun merancang untuk berbuat demikian sepanjang September sahaja, Encik Nurhazwan atau lebih senang dipanggil Hazwan tidak menjangkakan inisiatif tersebut menarik minat orang lain yang turut ingin menyumbang, dan ini telah mendorong beliau dan rakan-rakannya yang membentuk kumpulan TheJumaatInitiatives untuk meneruskan usaha tersebut.



Malah, kumpulan itu - yang turut dianggotai rakan-rakannya Encik Elfie Irwan, Encik Khairulrasul Hamidi, Encik Faiz Zainal dan Encik Azfar Ali - telah memperluaskan usaha mereka untuk melakukan beberapa inisiatif lain demi menyuntik keceriaan terhadap anggota masyarakat, terutama sekali mereka yang kurang bernasib baik.



Menurut Encik Hazwan, meskipun pandemik yang melanda menyebabkan mereka terpaksa menghentikan pengagihan makanan atau minuman percuma di masjid-masjid, kumpulan tersebut telah memikirkan tentang cara-cara lain yang masih boleh dijalankan.



"Sebaik tempoh pemutus litar (CB) diperkenalkan, kami terpaksa menghentikan pengagihan di masjid-masjid. Tapi kami rasa kekosongan, dan ingin membuat sesuatu.



"Jadi lepas kami duduk berbincang, kami dapati yang antara individu yang paling terjejas sepanjang tempoh itu adalah keluarga berpendapatan rendah dan juga pekerja asing di dormitori.



"Kami berusaha meningkatkan pengumpulan dana untuk membantu golongan tersebut," katanya.



Menurut Encik Hazwan lagi, semasa tempoh CB itu mereka memutuskan untuk menawarkan bantuan barangan keperluan kepada keluarga yang tinggal di rumah sewa.



Meskipun akui jumlah keluarga yang dapat dibantu tidak begitu ramai pada awalnya, beliau berkata mereka lebih rela melakukan sesuatu perkara yang dianggap kecil - sebanyak 10 keluarga setiap bulan - tapi mampu dilakukannya secara konsisten.



Sementara itu, satu lagi inisiatif yang telah dilaksanakan kumpulan tersebut termasuk menempatkan kabinet berisi barangan keperluan seperti minyak dan beras di kolong beberapa blok termasuk di Yishun, Tampines, Bukit Batok dan Pasir Ris.



Selain membantu memenuhi keperluan golongan yang memerlukan, inisiatif itu juga menggalakkan mereka yang mempunyai kelebihan untuk turut menyumbang barangan makanan yang dapat menambah kepada apa yang dibeli menggunakan dana yang dikumpul TheJumaatInitiatives.



Kumpulan tersebut juga telah bekerjasama dengan beberapa kumpulan sukarelawan dan amal lain dalam menganjurkan acara amal setiap bulan.



Ini termasuk gerai pop-up di kolong blok di mana penduduk boleh datang membawa troli untuk mendapatkan barangan runcit secara percuma.



Konsep 'kedai runcit' di tempat letak kereta pula yang diberi nama CarbootSG juga telah diadakan di beberapa kawasan di mana pengunjung boleh memilih barangan keperluan rumah yang diletakkan di belakang beberapa kereta.



Encik Hazwan, yang bekerja sebagai seorang pegawai eksekutif di HDB, berkata meskipun beliau dan teman-temannya yang lain sibuk bekerja dan masing-masing mempunyai keluarga sendiri, mereka akan cuba sedaya upaya untuk sekurang-kurangnya merancang satu acara amal setiap bulan.



Ada kala, acara-acara ini juga dijadikan peluang bagi mereka meluangkan masa bersama keluarga.



"Tujuan kami adalah untuk istiqamah dan konsisten dalam usaha membantu mereka yang memerlukan ini. Kami juga ingin menunjukkan kepada orang ramai bahawa tidak sukar untuk beramal, dan mereka tidak seharusnya teragak-agak untuk melakukan apa jua usaha kerana setiap dolar itu cukup berharga," kata bapa dua anak lelaki berusia enam dan empat tahun itu lagi.




"Tujuan kami adalah untuk istiqamah dan konsisten dalam usaha membantu mereka yang memerlukan ini. Kami juga ingin menunjukkan kepada orang ramai bahawa tidak sukar untuk beramal, dan mereka tidak seharusnya teragak-agak untuk melakukan apa jua usaha kerana setiap dolar itu cukup berharga."
- Encik Mohd Nurhazwan Mohd Tahir, antara penggerak utama kumpulan amal TheJumaatInitiatives.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >