Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mahu ceburi bidang kewangan kerana keluarga pernah kesempitan

Jul 5, 2021 | 5:30 AM
PENGALAMAN SEJAK KECIL DORONG PERBAIKI PENGURUSAN KEWANGAN: Encik Danish Said berkata keadaan kewangan keluarganya yang lemah mendorong minatnya dalam bidang kewangan. - Foto ihsan DANISH SAID
PENGALAMAN SEJAK KECIL DORONG PERBAIKI PENGURUSAN KEWANGAN: Encik Danish Said berkata keadaan kewangan keluarganya yang lemah mendorong minatnya dalam bidang kewangan. - Foto ihsan DANISH SAID -

SEJAK beliau kecil, keluarga Encik Danish Said sering berdepan dengan masalah kewangan.

Bapanya, 63 tahun, merupakan satu-satunya pencari nafkah keluarga, sementara ibunya, 62 tahun, merupakan seorang suri rumah.

Kedua-dua mereka yang enggan nama mereka disiarkan mengalami masalah kesihatan kronik.

Bapanya telah menjalani pembedahan jantung lebih sedekad lalu dan kesihatannya semakin merosot.

Ibunya pula mempunyai anemia iaitu keadaan di mana tubuhnya tidak mempunyai sel darah merah yang mencukupi. Ini menyebabkan beliau terpaksa memakan ubat jangka panjang.

Menceritakan hal tersebut, Encik Danish, 25 tahun, berkata keadaan kewangan keluarganya itu mendorong minatnya dalam bidang kewangan.

"Minat saya dalam bidang kewangan bermula sejak saya kecil kerana keluarga saya selalu perlu bertungkus-lumus hanya untuk memenuhi keperluan seharian kami.

"Ia membuat saya tertarik kerana mahu tahu bagaimana saya dapat menguruskan kewangan saya dengan lebih baik," katanya.

Kini menuntut di Institut Pendidikan Teknikal Kolej Central (ITECC), beliau mengambil kursus Nitec Lanjutan dalam Perkhidmatan Kewangan.

Encik Danish, yang sebelum ini pernah berhenti pengajiannya di Politeknik Republik (RP), berkata:

"Saya menyertai ITE pada usia yang agak lewat kerana saya rasa saya tak pernah beri fokus sepenuhnya kepada pendidikan saya.

"Saya berhenti sekolah ketika di RP dan saya tidak memberikan 100 peratus (usaha) dahulu.

"Kini saya rasa seperti masih ada urusan yang belum selesai dalam perjalanan pendidikan saya dan saya mahu buktikan kepada diri sendiri bahawa saya boleh melakukannya dengan pemikiran yang betul."

Penerima Dana Pendidikan Peningkatan SR Nathan (SRNEUF) itu juga merupakan Presiden Majlis Pelajar ITECC.

Dengan bantuan dana tersebut, beliau dapat memberi tumpuan lebih kepada pelajarannya, ujar Encik Danish.

Beliau, yang juga bekerja sambilan sebagai penghantar makanan setiap hujung minggu untuk membantu menampung perbelanjaan hariannya berkata:

"Saya beruntung kerana diberi elaun bulanan yang membantu saya memberi lebih fokus terhadap sekolah dan tidak perlu fikir untuk bekerja terlalu keras.

"Ia juga membantu dengan kewangan saya dan memastikan ibu bapa saya tidak perlu menanggung perbelanjaan saya, malah saya dapat membantu mereka sedikit di sana sini."

Anak bongsu dua beradik itu berhasrat melanjutkan pengajiannya ke politeknik untuk mendapatkan Diploma dalam Perbankan dan Kewangan setelah tamat pengajian di ITE kelak.

Beliau mahu menggarap kemahiran yang diperlukan untuk menjadi penasihat kewangan, pengurus dana atau penganalisis kewangan agar "dapat memberi nasihat yang bermutu untuk membantu orang lain dalam keputusan kewangan mereka kerana ramai orang berdepan kesukaran menguruskan kewangan mereka", ujarnya.

"Minat saya dalam bidang kewangan bermula sejak saya kecil kerana keluarga saya selalu perlu bertungkus-lumus hanya untuk memenuhi keperluan seharian kami. Ia membuat saya tertarik kerana mahu tahu bagaimana saya dapat menguruskan kewangan saya dengan lebih baik." - Encik Danish Said.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg