SEKITAR lima tahun lalu, Cik Bibah Ali disahkan menghidap gout, menyebabkan hampir seluruh badannya tidak dapat bergerak.
Namun, beliau enggan menyerah kalah kepada penyakit itu dan mula mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif, antaranya dengan menyertai Tarian Express, sebuah kumpulan yang bersenam dengan lagu-lagu Melayu, di kawasan kejiranannya sekitar setahun lalu.
Kini, nenek berusia 70 tahun itu dapat berjalan seperti biasa dan tidak lagi perlu menggunakan tongkat.
"Dulu susah kalau saya berjalan, saya perlu gunakan tongkat. Tetapi sekarang ramai kawan saya tegur dan tanya kenapa saya dah tak gunakan tongkat lagi dan boleh berjalan. Saya beritahu mereka yang saya sudah mula bersenam," kata beliau.
Kumpulan Tarian Express itu, sebuah program Projek Pendekatan - Kumpulan Fokus Melayu, iaitu sebuah jawatankuasa kecil di bawah Jawatankuasa Perundingan Rakyat (CCC) Jurong Spring, merupakan antara inisiatif yang dipamerkan semasa lawatan masyarakat menteri (MCV) oleh Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman, ke kawasan Jurong Spring semalam.
Lawatan itu dihoskan Anggota Parlimen (AP) kawasan itu, Encik Shawn Huang.
Encik Huang dan badan akar umbi Jurong Spring telah bekerjasama demi memenuhi keperluan penduduk, dengan tumpuan diberikan untuk menggalak kehidupan sihat agar mereka dapat menjaga diri sendiri dan juga orang lain.
Ini sekali gus bertujuan memenuhi tunggak 'Penjagaan' dan 'Teraju' di bawah gerakan Melakar Hala Tuju Singapura - sebuah usaha untuk menyemak dan memperbaharui kompak sosial Singapura dan menetapkan peta jalan untuk dekad akan datang dan seterusnya.
Selain berinteraksi dengan kumpulan Tarian Express, Dr Maliki juga bertemu dengan rakan masyarakat di Jurong Spring yang menyediakan khidmat dan nasihat kesihatan kepada penduduk.
Ini seperti relawan Community Health Post Jurong Spring yang bekerja rapat dengan jururawat masyarakat dan kakitangan penyelarasan penjagaan National University Health System (NUHS) yang menyediakan pelbagai khidmat penilaian berkaitan kesihatan, kaunseling dan bantuan perancangan penjagaan kesihatan dan sebagainya.
Dr Maliki, yang juga Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), turut beramah tamah dengan pegerai di pasar Jurong West 505.
Selain itu, beliau bertemu dengan kumpulan relawan JS Cares yang mengagihkan barang keperluan asas, seperti beras dan minyak masak, kepada penduduk kurang bernasib baik setiap bulan.
Ditemui media di akhir lawatannya, Dr Maliki berkata kerjasama antara pihak akar umbi dengan masyarakat untuk memahami keperluan penduduk dan mengadakan inisiatif, seperti yang dilihat di Jurong Spring, dapat membantu membina sebuah masyarakat yang kukuh.
Beliau menambah bahawa di bawah gerakan Melakar Hala Tuju Singapura, terdapat beberapa tunggak yang disepadukan dengan baik ke dalam idea bekerjasama dengan masyarakat untuk membina kompak sosial baru.
Misalnya, di bawah tunggak 'Bersatu' yang diselianya, mereka sedang meneliti kerjasama baru dengan masyarakat dan terdapat orang muda yang tampil melahirkan minat untuk terlibat dalam proses itu.
"Adalah baik melihat masyarakat mendekati golongan muda, dan sedang saya keluar turun padang, saya dapat lihat lebih ramai anak muda dengan semangat yang begitu tinggi, begitu banyak tenaga.
"Mereka mempunyai tujuan yang ingin diperjuangkan dan tujuan itu adalah sesuatu yang saya fikir membawa petanda baik bagi gerakan Melakar Hala Tuju Singapura," kata beliau.