SEORANG pengawal keselamatan yang terkorban dalam satu kebakaran di tingkat 65, Marina Bay Suites, Januari tahun lalu, menyangka alat penggera keselamatan bangunan itu rosak sebelum beliau dan rakan sekerjanya pergi untuk menyiasat.
Sebelum ini, alat itu sering berdering beberapa kali tetapi kesemuanya didapati sebagai isyarat palsu, siasatan koroner diberitahu tadi.
Disebabkan peristiwa-peristiwa tersebut, dua pengawal keselamatan Pico Guards itu, mendiang Sooria Kala Kanaseon, 34 tahun, dan Mendiang Sim Lai Huat, 45 tahun, menyangka deringan yang tercetus pada 9.55 malam kejadian juga isyarat palsu, kata satu laporan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) yang diberikan kepada pihak polis.
Penyelia mereka, Encik Kuldip Singh, 53 tahun, memberitahu polis mendiang Kaneson telah memaklumkan kepadanya bahawa kemungkinan kebakaran sebenar berlaku adalah rendah.
Kededua pegawai keselamatan itu kemudian telah menaiki lif bomba ke tingkat 65, namun apabila sampai ke sana mereka dikelilingi asap dan api.
Mendiang Sim yang meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak, telah bekerja dalam industri keselamatan selama 25 tahun dan beliau menyertai Pico pada Oktober tahun lalu.
Mendiang Kaneson, seorang warga Malaysia, bekerja dengan firma itu sejak April tahun lalu.