Subuh
5:36
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Masagos bentang tiga tumpuan Muis 10 tahun akan datang

Lancar buku kaji dasar Muis pertama sejak 50 tahun
Aug 05, 2018 | 05:30 AM



MAJLIS Ugama Islam Singapura (Muis) telah mengenalpasti tiga bidang untuk memperhalusi kerjanya bagi dekad akan datang - mendengar dan memenuhi keperluan sosioagama masyarakat, membangun bakat, serta memperkukuh rangkaian kerjasama dengan masyarakat.



Ini digariskan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, semasa berucap di pelancaran buku pertama yang mengkaji dasar Muis sejak 50 tahun lalu.



"Muis akan terus komited untuk mendengar, memahami dan memenuhi keperluan masyarakat. Ini akan dicapai melalui ruang rasmi dan tidak rasmi, serta mencari huraian inovatif untuk memenuhi keperluan sosio-agama masyarakat kita," ujar Encik Masagos, yang juga Menteri Sekitaran dan Sumber Air.



Dari segi pembangunan bakat, Encik Masagos berkata ini termasuk rangkaian asatizah serta pemimpin badan agama dan masjid.



Selain itu, Muis akan meningkatkan kerjasama dengan masyarakat, pemerintah, serta rakan kongsi lain.



Bahkan, ini adalah teras utama di sebalik rangkaian Muis, Mendaki dan Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (Mesra) (M3).



Encik Masagos berkata demikian di pelancaran buku bahasa Inggeris 'Fulfilling the Trust, 50 Years of Shaping Muslim Religious Life in Singapore' (Memenuhi Amanah, 50 Tahun Membentuk Kehidupan Beragama Islam di Singapura) di Muzium Tamadan Asia (ACM) semalam.



Muzium berdekatan Raffles Place itu dahulunya merupakan Bangunan Empress Place, yang menempatkan pejabat Muis dari 1968 hingga 1987.



Diterbitkan sempena ulang tahun ke-50 Muis tahun ini, buku itu menyorot dasar Muis sepanjang lima dekad lalu merangkumi antara lain pembinaan masjid, penggubalan fatwa, pensijilan halal serta pengurusan haji, zakat dan korban.



Buku itu memberi tumpuan kepada pelbagai pertimbangan yang diambil kepimpinan Muis dalam menggubal dasarnya sejak ditubuhkan pada 1968.



"Pada mulanya, ramai yang sangsi dengan penubuhan sebuah badan berkanun untuk mentadbir hal ehwal keagamaan masyarakat Islam.



"Namun, lima dekad kemudian, Muis telah meraih kepercayaan dan terus menjalin hubungan erat dengan rakan kerja dan masyarakat umum. Mustahil Muis mampu menakat tanpa sokongan padu masyarakat," ujar Encik Masagos.



Setebal 346 mukasurat, buku itu ditulis oleh para pegawai Muis yang terlibat secara langsung dalam bidang seperti penggubalan fatwa, pembangunan asatizah, pendidikan madrasah dan pengurusan halal.



Buku itu disunting zamil Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat, yang berkata buku itu merenung secara kritikal dasar Muis, pencapaiannya, serta perkara yang boleh diperbaiki.



"Bagi generasi saya dan generasi masa depan, adalah penting bagi kami untuk memahami mengapa Muis mengambil dasar tertentu.



"Orang mungkin kurang faham dan fikir Muis propemerintah tetapi tugasnya melibatkan keputusan sukar, mengambil kira keadaan masyarakat," ujar Dr Norshahril apabila ditemui semalam.



Buku itu turut memuatkan renungan mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, yang mengupas cabaran yang dihadapinya semasa menyandang jawatan itu.



Semasa berucap semalam, Dr Yaacob berkata: "Saya percaya peri pentingnya sejarah kita dirakam agar generasi masa depan boleh memahami dan menghayati keputusan yang dibuat.



"Ia juga boleh menjadi sumber rujukan bagi pemimpin masa depan apabila mereka membangun dan membimbing kehidupan keagamaan dalam konteks zaman mereka."



Majlis pelancaran buku itu semalam dihadiri pemimpin Muis dahulu dan sekarang termasuk mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Abdullah Tarmugi; mantan Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar), Encik Zainul Abidin Rasheed; dan mantan Mufti Syed Isa Semait.



Orang ramai boleh mendapatkan buku itu di kedai buku utama pada harga $36 (kulit kertas) dan $78 (kulit keras).



Laporan lanjut: Menyorot 50 tahun Muis




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >