Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

DIALOG PEMIMPIN MASYARAKAT BERSAMA PM LEE

Masagos: Kabinet sudah putuskan tiba masa ubah dasar tudung untuk jururawat

Pemerintah perlukan masa laksana secara berhati-hati
Apr 11, 2021 | 05:30 AM



KABINET telah pun sebelum ini memutuskan sudah tiba masanya untuk membuat perubahan dasar bagi membolehkan jururawat Muslimah memakai tudung jika mereka mahu, tetapi pemerintah masih memerlukan masa untuk melaksanakannya secara berhati-hati.



Ini dijelaskan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, yang semalam berkata pemerintah selama ini memahami hasrat jururawat untuk memakai tudung, dan pendirian itu "tidak menjadi lebih tegar".



Encik Masagos berkata demikian apabila ditanya jika terdapat perubahan dalam pendirian pemerintah dalam beberapa bulan lalu sejak beliau membuat kenyataan tentang isu tersebut di Parlimen sebelum ini.



"Sebenarnya pemerintah sentiasa berempati dengan permintaan oleh jururawat untuk memakai tudung dengan seragam mereka. Tetapi kami perlu berhati-hati, kerana.. apa-apa perubahan dalam masyarakat melibatkan interaksi dengan orang lain.



"Setelah masa berlalu, Perdana Menteri dan menteri-menteri Kabinet telah memutuskan sudah tiba masanya untuk mengambil langkah itu, tetapi masih ada perkara yang perlu dihuraikan. Justeru kami perlu sedikit masa lagi untuk melaksanakannya," ujar Encik Masagos.



Beliau berkata demikian apabila ditemui media selepas satu perbincangan tertutup antara Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan pemimpin masyarakat mengenai isu pemakaian tudung oleh jururawat wanita Muslim.



Di Parlimen pada 8 Mac lalu, Encik Masagos berkata pemerintah memahami pandangan mereka yang mahu memakai tudung sebagai sebahagian daripada seragam jururawat.



Memberi respons kepada isu tudung yang ditimbulkan di Parlimen, Encik Masagos akur ramai wanita Muslim berkhidmat kepada negara serta masyarakat menerusi pekerjaan mulia seperti kejururawatan, dan sumbangan mereka adalah besar, terutama di tengah-tengah pandemik ini.



Tetapi dalam masyarakat berbilang agama Singapura, dan dalam perkhidmatan yang memainkan peranan penting dalam masyarakat, seragam adalah petanda jelas bahawa khidmat yang diberikan adalah saksama tanpa mengira kaum atau agama, katanya.



Pada 23 Mac, Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, berkata bayangan mengenai kemungkinan ada perubahan peraturan bagi membolehkan jururawat memakai tudung jika mereka mahu, telah diberikan seawal 31 Ogos lalu, dalam satu perbincangan tertutup dengan asatizah.



Semalam, Encik Masagos juga telah ditanya mengenai salah faham yang timbul daripada kenyataannya di Parlimen sebelum ini.



Encik Masagos berkata pendirian pemerintah mengenai isu pemakaian tudung oleh jururawat tidak 'menjadi lebih tegar'.



"Encik Shanmugam dalam beberapa minggu lalu telah pun menjelaskan pendirian pemerintah. Pendirian itu tidak menjadi lebih tegar.



"Kami telah sentiasa prihatin tentang permintaan jururawat untuk memakai tudung dengan seragam mereka, dan kami perlu mengambil keputusan yang teliti dan memerlukan masa untuk mengambil kira (pandangan) semua pihak berkepentingan yang terlibat dalam membuat keputusan itu, dan akhirnya melaksanakannya.



"Itulah apa yang saya katakan di Parlimen. Tidak lebih, tidak kurang daripada itu," kata Encik Masagos.



Beliau berkata antara pihak berkepentingan yang perlu dilibatkan dalam keputusan mengenai tudung itu termasuk dari pihak hospital, kesatuan pekerja dan masyarakat bukan Islam.



Satu pendekatan 'seluruh pemerintah', secara sistematik dan menyeluruh, akan diambil untuk mendekati sebanyak mungkin lapisan masyarakat tentang isu ini, kata Encik Masagos lagi.



"Keharmonian kaum dan agama kita amat berharga dan masyarakat Melayu/Islam akan melindunginya bersama rakyat Singapura.



"Kami akan terus mendekati rakyat Singapura dalam hal ini. Saya berharap untuk melihat sokongan semua sedang kami mempertimbangkan isu ini, dan mencapai hasil yang boleh diterima semua rakyat Singapura," ujar Encik Masagos.




"Setelah masa berlalu, Perdana Menteri dan menteri-menteri Kabinet telah memutuskan sudah tiba masanya untuk mengambil langkah itu, tetapi masih ada perkara yang perlu dihuraikan. Justeru kami perlu sedikit masa lagi untuk melaksanakannya."
- Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli Masagos Mohamad




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >