Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Masagos: Lengkapi kemahiran baru sedang ekon pesat berubah

May 24, 2022 | 05:30 AM



MASYARAKAT Melayu perlu menggarap kemahiran-kemahiran baru untuk bergerak maju ke depan dengan menyesuaikan diri dalam situasi pekerjaan ekonomi yang sedang berubah pesat.



Kekurangan kemahiran atau kemahiran yang tidak relevan juga merupakan antara perkara penting yang perlu diambil berat oleh masyarakat.



Ini adalah untuk membawa masyarakat kepada kemampuan diri untuk mendapat pekerjaan, kata Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.



Beliau turut mengajak kaunselor, pekerja sosial dan badan-badan Melayu/Islam untuk membantu mencari jalan mengubah pemikiran masyarakat supaya meningkatkan kemahiran yang sesuai bagi menghadapi keperluan masa yang berubah.



Beliau berkata demikian ketika merumuskan sesi dialog anjuran Berita Harian dengan beberapa pekerja sosial Melayu/Islam semalam.



"Melihat ke depan, apakah kemahiran-kemahiran yang perlu dicapai supaya kita terus dapat pekerjaan yang terbaik yang bergaji lumayan dan memadai dengan kemahiran kita?



"Apakah masalah-masalah baru yang perlu kita perhatikan, dan kalau kita tidak perhatikan akan menjadi masalah lebih besar - umpamanya kurang kemahiran, kemahiran yang tidak sesuai dengan apa yang diperlukan oleh ekonomi yang drastik berubah?



"Bagaimana kita melihat kebolehan masyarakat kita menggabungkan kemahiran yang berbeza, umpanya kemahiran kewangan dan teknologi maklumat?



"Ini yang saya khuatir, bergerak ke depan, masyarakat kita akan ketinggalan jika kita tidak faham bagaimana suasana atau situasi pekerjaan ekonomi sedang berubah dengan pesat sekali," ujar Encik Masagos.



Beliau turut menyeru agar pekerja sosial dapat membantu mencari jalan memperkasa masyarakat dengan "menambah nilai kemahiran yang kita ada dan mengubah pemikiran dan paradigma kita daripada memiliki kemahiran untuk mendapat kerja kepada kemahiran untuk maju dalam pekerjaan atau kerjaya".



Encik Masagos dan Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, Encik Mohd Fahmi Aliman telah mengadakan sesi dialog bersama 12 pekerja sosial dan kaunselor semalam.



Mereka terdiri daripada: Encik Md Hanapi Kassim dan Encik Syahrin Mohd Salleh, kedua-duanya kaunselor dari Pusat Khidmat Penjagaan Berterusan bagi Pesalah dan Keluarga (Fitrah); Encik Aidil Ahmad Mohammad, penolong kaunselor kanan, Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS); Cik Aquila Deanna Zulkifli, pekerja sosial, PPIS Oasis Centre for Fostering; Encik Md Naseef Khamis, pekerja sosial kanan, Inspirasi PPIS; Encik Izwan Abdol Jalil dan Cik Wan Nazurah Mohd Zainuddin, kedua-duanya kaunselor dan pengurus kes, unit Pelita Majlis Ugama Islam Singapura (Muis); Cik Murni Abbas, kaunselor kanan perkahwinan, APKIM Resources; Cik Siti Adilah Abu Bakar, kaunselor APKIM Resources; Cik Ummi Farwah Rahim, pekerja sosial, Khidmat Keluarga Thye Hua Kwan Moral Charities (THKMC); Cik Siti Omairah Amrhan, kaunselor sekolah dan pekerja sosial berdaftar; serta Cik Zulayqha Zulkifli, pekerja sosial, Pusat Khidmat Keluarga Yayasan Kelab Rotary Singapura.



Dialog selama dua jam yang diadakan di bangunan Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) di 140 Hill Street itu bertujuan membuka ruang bagi pekerja sosial mengemukakan keprihatinan mereka.



Antara isu yang timbul termasuk kepentingan memberi bantuan kepada keluarga yang memerlukan bantuan secara 'upstream', dan cabaran yang dihadapi pekerja sosial dengan beban kes yang tinggi.



"Bak orang yang nak belajar memandu, dia tidak terus naik kereta, dia perlu mengambil kursus dulu, ada pembimbing dan sebagainya.



"Jadi harapannya kita dapat mengenal pasti keluarga-keluarga yang ada masalah dari awal lagi, agar nanti di bahagian hiliran, lebih mudah menyelesaikan masalah itu," kata Encik Masagos.



Sementara itu, Encik Fahmi dalam rumusannya bersetuju dengan cadangan mewujudkan rangkaian pekerja sosial.



"Pengalaman dan kekuatan pekerja sosial dapat membantu (sukarelawan M³ memahami isu-isu sosial dengan lebih baik).



"Ramai sukarelawan yang baru berjinak-jinak dengan sistem ini... memerlukan banyak bantuan daripada anda semua, jadi saya fikir ini merupakan platform yang baik," katanya.



Dialog tersebut dikendalikan moderator, Penolong Editor Berita Harian, Encik Mohd Nizam Ismail.




"Melihat ke depan, apakah kemahiran-kemahiran yang perlu dicapai supaya kita terus dapat pekerjaan yang terbaik yang bergaji lumayan dan memadai dengan kemahiran kita?"
- Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >