Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Masagos umum langkah sepadu tingkat modal insan, kesejahteraan masyarakat

* Tambahan $1j bagi Biasiswa Syed Isa Semait * Peluasan Biasiswa cakupi penuntut peringat ijazah sarjana muda, pascasiswazah * Peluasan Program Saham Kesihatan bagi pertingkat mutu kesihatan masyarakat * Pertingkat usaha sokongan mobiliti sosial untuk penghuni flat sewa miliki flat sendiri
May 14, 2022 | 05:30 AM



ANUGERAH Biasiswa Syed Isa Semait (SISS) akan mendapat peruntukan $1 juta dan bermula tahun ini, ia akan ditawarkan kepada pelajar madrasah yang layak mengikuti pengajian ijazah sarjana muda dan pasca siswazah.



Di samping itu, satu projek yang bertujuan menggalak masyarakat Melayu kekal berdisiplin dalam penjagaan kesihatan akan dilaksanakan dengan lebih meluas.



Dinamakan Program Saham Kesihatan, ia diterajui Setiausaha Parlimen (Kesihatan merangkap Perhubungan dan Penerangan), Cik Rahayu Mahzam.



Kedua-dua perkara ini telah diumumkan oleh Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, semasa berucap di Majlis Perjumpaan Hari Raya Menteri di hotel Pan Pacific Singapura, malam tadi.



Dalam ucapannya yang bertemakan Mengatasi Pandemik Covid-19, Mendakap Masa Depan yang Lebih Kukuh, Encik Masagos berkata pandemik Covid-19 menunjukkan asatizah di sini bersedia menghadapi isu-isu keagamaan yang rumit.



"Untuk mengorak langkah ke hadapan, mereka mesti cekap dan yakin dalam menyampaikan ajaran agama mengikut konteks Singapura yang moden dan terbuka, serta berbilang budaya. Ini memerlukan kita membangunkan gedung-gedung ilmu yang kritikal khusus untuk masyarakat Islam tempatan.



"Oleh itu, kita perlu menyokong pelajar madrasah dan golongan agamawan kita - apakah dari segi penggajian, peningkatan pendidikan mahupun peluang kerjaya mereka," kata beliau.



Menyentuh tentang SISS, Encik Masagos berkata, butiran lanjut akan diumumkan kelak dan menekankan sumber masyarakat, seperti Wakaf Masyarakat Singapura (WMS) diperlukan untuk mendanai sektor keagamaan secara mampan.



Anugerah SISS diperkenal pada 2011 sebagai penghormatan kepada mantan Mufti Shaikh Syed Isa dan sebahagian sambutan 10 tahun Skim Biasiswa Possiswazah (PGS) Muis.



Sebelum ini, ia diberikan kepada bekas penerima PGS yang menunjukkan pencapaian dan sumbangan cemerlang kepada masyarakat dan sebanyak $10,000 diperuntuk setiap tahun bagi anugerah itu sepanjang tempoh pengajian penerima.



Majlis tahun ini diadakan secara fizikal buat julung kalinya sejak pandemik bermula lebih dua tahun lalu.



Ia turut dihadiri Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean, dan lebih 400 hadirin lain termasuk diplomat serta pemimpin badan-badan Melayu/Islam dan belia.



Dalam ucapannya itu juga, Encik Masagos turut mengumumkan satu projek kesihatan yang bertujuan menggalak masyarakat kekal berdisiplin seperti semasa tempoh pandemik dan proaktif dalam menjaga kesihatan.



Malah, satu kumpulan kerja bersama pemimpin masyarakat juga telah ditubuhkan bagi meneliti aspek pemakanan, kegiatan jasmani, pemeriksaan kesihatan, tabiat merokok dan kesihatan mental, dengan sebuah program perintis menyasarkan keluarga-keluarga muda di M3@Jurong dan M3@Tampines diusahakan.



Program tersebut akan diperluas ke setiap M3@Bandar, tambah Encik Masagos dan menekankan, trend kesihatan dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam adalah membimbangkan.



Menukil Tinjauan Kesihatan Penduduk Negara, Encik Masagos berkata kes kencing manis di kalangan masyarakat Melayu/Islam di sini meningkat kepada sekitar 14 peratus pada 2020, iaitu naik dua kali ganda berbanding 2006.



Pada masa yang sama, kes tekanan darah tinggi dalam kalangan masyarakat Melayu pada 2020 adalah 1.5 kali lebih tinggi berbanding 2017.



Dalam pada itu, Encik Masagos juga memberi perincian terkini mengenai Projek Dian@M3, yang diperkenalkan tahun lalu untuk menyokong mobiliti sosial penghuni flat sewa agar mereka dapat memiliki flat sendiri.



Beliau menyeru lebih ramai sukarelawan untuk menyumbang tenaga menerusi Projek Dian@M3, antaranya dengan membantu dalam pembelajaran anak-anak dan melawat keluarga di flat sewa.



Menerapkan pengajaran yang diperoleh sewaktu mengatasi pandemik Covid-19, Encik Masagos yakin masyarakat Melayu/Islam di sini dapat mengatasi apa jua cabaran termasuk cabaran kesihatan.



Beliau berkata:



"Covid-19 dan Ramadan banyak mengajar kita tentang pentingnya ilmu, keprihatinan dan disiplin dalam menjaga keberadaan masyarakat.



"Saya yakin itulah ciri-ciri yang telah dapat menyelamatkan kita dari bahaya Covid-19. Ilmu, disiplin dan keprihatinan juga akan dapat mengelak krisis kesihatan dalam masyarakat dan menjaga kesejahteraan kita semua."




Sekilas Shaikh Syed Isa Semait



SELAMA hampir empat dekad Shaikh Syed Isa Semait, kini 84 tahun, telah memimpin umat Islam sebagai Mufti Singapura.



Beliau dilantik menyandang jawatan itu pada 1972 ketika berusia 33 tahun.



Di bawah kepimpinannya sebagai Mufti, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) telah menyaksikan peningkatan dalam pentadbiran dan pungutan zakat, penetapan tarikh dalam takwim Islam, pentadbiran wakaf dan pembaharuan pendidikan agama agar seiring dengan masa yang berubah.



Bersara sebagai Mufti pada hujung 2010, Shaikh Syed Isa telah membantu membangunkan masyarakat Islam yang lebih yakin dan progresif, tidak kurang ilmu agama dan lebih sedar akan peranan dalam negara kosmopolitan dan berbilang agama seperti Singapura.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >