Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Masih ada ruang baru teroka cara banteras radikalisme

Ulama terkenal saran asatizah gunakan buku fikah, tafsir dan teologi
Oct 28, 2018 | 05:30 AM



PARA asatizah Singapura telah menimba ilmu dan menerima latihan mencukupi tapi masih ada ruang pengetahuan yang perlu ditambah dalam usaha membanteras sesetengah ideologi pengganasan dan radikalisme yang agak baru, kata seorang ulama terkenal kelahiran Syria dan salah seorang daripada 500 Muslim berpengaruh di dunia, Shaykh Muhammad Al-Yaqoubi.



Justeru kadang kala penting untuk mendapatkan naratif sedemikian menerusi buku-buku fikah, tafsir dan teologi yang kemudian dapat dikongsi dengan guru-guru agama muda, tambah beliau.



"Memang sentiasa ada ruang untuk menambah ilmu dan pengetahuan.



"Ini sebahagian daripada apa yang saya lakukan menerusi buku saya, 'Menyangkal ISIS', dengan menawarkan naratif balas.



"Kadang kala agak sukar untuk mendapatkan sumber Arab sebagai contoh, kerana sebahagiannya mungkin tidak diterjemah ke bahasa lain.



"Jadi saya harap saya dapat lakukannya menerusi buku ini yang telah diterjemah dan mungkin menerusi projek-projek lain pada masa akan datang," kata Shaykh Muhammad Al-Yaqoubi, ketika ditemui wartawan selepas pelancaran buku edisi Melayu 'Menyangkal ISIS'.



Buku itu, yang diterjemah dari buku Inggerisnya berjudul 'Refuting ISIS' dihasilkan dengan kerjasama Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG).



Buku itu dilancarkan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, di Auditorium Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) semalam.



Shaykh Muhammad Al-Yaqoubi yang berpengetahuan dalam pelbagai bidang - Bahasa Arab, Perundangan sehingga ke Falsafah Islam - pernah dilantik sebagai Mufti Sweden pada 1999 dan amat dikenali sebagai salah seorang yang mahir mengeluarkan fatwa Islam.



Ditanya pandangannya tentang usaha menterjemah bukunya ke bahasa Melayu, beliau berharap ia dapat memanfaatkan masyarakat berbahasa Melayu yang merupakan antara kumpulan terbesar di dunia.



Naib Pengerusi RRG, Dr Mohamed Ali, berkata kepentingan buku itu bukan sekadar terletak kepada usaha membidas ISIS, tetapi secara umum ia penting menyangkal semua fahaman tegar.



Banyak isu dibincangkan dalam buku itu seperti bolehkah seseorang Muslim itu hidup di bawah pemerintahan bukan Islam dan juga isu-isu toleransi.



"Ia satu rujukan penting bukan sahaja untuk golongan asatizah dan pendakwah agama, malah seluruh masyarakat Muslim, kerana bahan-bahan yang terkandung di dalamnya mudah dan dapat dikongsi bersama anak muda.



"Memang ia buku akademik dengan kupasan yang luas dan mendalam, tetapi ia tetap boleh menjadi bahan relevan untuk anak muda, dalam membenteng diri mereka daripada ideologi ekstremis dan eksklusif," jelas Dr Mohamed.



Selepas pelancaran buku itu, Shaykh Al-Yaqoubi juga menyampaikan ceramah berjudul 'Ancaman dan Cabaran Kontemporari dalam Masyarakat Muslim dan Apakah Peranan Asatizah di Singapura Hari Ini' dan mengadakan dialog tertutup bersama 140 peserta terdiri daripada asatizah setempat.



Menurut kenyataan Muis, beliau menyentuh mengenai peningkatan ektremis, Islamofobia dan sikap radikal di kalangan belia Islam. Beliau turut mengongsi pendekatan, kemahiran dan kandungan agama yang boleh membimbing masyarakat Muslim dalam dunia yang berubah.



Buku itu boleh didapati di pejabat RRG bagi rujukan asatizah.




"Bimbingan agama yang padu harus mengimbangi antara ilmu agama yang diraih dari ulama terdahulu sambil mengambil kira konteks Singapura yang majmuk. Nilai-nilai agama kekal mekar, tanpa mengira batas waktu dan zaman.''
- Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad dalam pelancaran buku 'Menyangkal ISIS' semalam.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >