Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Masih jadi Pandu Puteri pada usia 65 tahun

Jul 31, 2019 | 05:30 AM



Dari mata kasar, mereka hanyalah individu biasa yang melalui kehidupan seperti harian orang lain. Tetapi di sebalik itu, mereka memiliki 'kekuatan' luar biasa hingga meninggalkan kesan dan memberi inspirasi kepada anggota masyarakat lain. 10 individu ini telah dipilih daripada lebih 100 pencalonan bagi kempen #InspirasiSG. ATIYYAH MOHD SAID (atiyyahm@sph.com.sg) mengetengahkan tiga profil pemenang itu.



SEPANJANG umur Cik Mas'Amah Ruah, perkataan 'sakit' tidak asing lagi dalam kamus kehidupannya.



Sejak dilahirkan, beliau tidak toleran bahan laktos manakala pada usia semuda 14 tahun, Cik Mas'Amah menghidapi masalah endometriosis.



Kesakitan yang perlu ditanggung bertambah apabila mendapat tahu ginjal kirinya tidak lagi berfungsi pada usia 23 tahun.



Namun demikian, pengalaman hidup ini telah membuka hatinya tentang perlunya untuk lebih menghargai hidup - khususnya menerusi kegiatan Pandu Puteri.



Cik Mas'Amah, 65 tahun, menjadi anggota Pandu Puteri sejak 14 tahun dan kini merupakan Penasihat Pandu Puteri Singapura (GGS).



Meskipun dalam usia senja, namun ia tidak menghalang mantan guru itu daripada terus menyumbang tenaga baik dalam kegiatan Pandu Puteri mahupun sebagai seorang pelatih sukarelawan sepenuh masa dengan GGS.



"Saya tidak pernah terfikir yang usia saya akan mencapai lebih 50 tahun disebabkan bermacam masalah kesihatan yang dihadapi.



"Justeru, saya terlalu bersyukur dengan umur panjang dikurniakan Tuhan dan saya mahu melakukan sesuatu yang bermakna dalam hidup saya," kongsi Cik Mas'Amah.



Mengimbas semula, beliau berkata pada usia remaja beliau menyertai Pandu Puteri kerana tertarik dengan pakaian seragamannya yang cantik.



"Tetapi lama-kelamaan, ia menjadi satu aktiviti yang banyak mengajar dan membuka mata saya serta memandu hidup saya.



"Sebagai remaja pada masa itu, menerusi kegiatan itu, saya lebih memahami dan menghargai ciptaan Tuhan.



"Misalnya, apabila di kelilingi alam semulajadi, ia mengingatkan saya tentang kebesaran Tuhan."



Lantaran itu, beliau mendapat kepuasan apabila dapat memupuk nilai positif dan kesedaran serupa dalam diri anak-anak perempuan melalui kegiatan Pandu Puteri.



"Saya merasa sangat puas apabila melihat anak-anak perempuan kita menikmati kegiatan luar rumah dan memahami alam kerana ia menjadikan anda seorang manusia yang lebih baik.



"Anda lebih sedar tentang alam ciptaan Tuhan dan sekali gus, lebih sensitif terhadap orang sekeliling.



"Saya mahu anak-anak perempuan kita sedar bahawa alam semula jadi dikurniakan Tuhan adalah bersebab dan hidup mereka bukan hanya sekadar tinggal di flat-flat sahaja."



Setelah bertugas sebagai seorang guru Inggeris selama lebih 25 tahun di Sekolah CHIJ St Theresa's Convent dan kemudian kaunselor sekolah sehingga bersara, Cik Mas'Amah memutuskan meluangkan masa persaraannya dengan menceburi bidang yang diidamkan.



Ekoran minat membantu orang, beliau menjadi seorang kaunselor dengan pusat khidmat keluarga, Khidmat Penjagaan Masyarakat Lutheran (LCCS).



"Sebenarnya, saya bercita-cita menjadi pekerja khidmat sosial atau pakar psikologi.



"Walaupun perguruan telah membuka banyak peluang untuk saya, namun saya tetap mahu mencapai impian saya itu," ujarnya yang melanjutkan pengajian dalam bidang kaunseling pada 56 tahun.



Menurut Cik Mas'Amah yang memegang lima diploma dan ijazah dalam bidang kaunseling, kerja kemasyarakatan dilakukan sejauh ini mendorongnya memikirkan cara menolong orang lain.



"Sebagai manusia, kita tidak tinggal bersendirian. Kita perlu berkongsi kasih sayang.



"Selagi kita buat amal, walau sekecil mana, kita berkongsi kasih sayang dengan orang lain.



"Inilah sebahagian daripada perjalanan kita manusia menjadi seorang manusia," tambahnya yang juga merupakan duta antara agama dengan Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >