Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

KENYATAAN KEMENTERIAN SUSULI UCAPAN PRESIDEN HALIMAH YACOB: KEMENTERIAN KESIHATAN

MOH akan kembang keupayaan pantau peringkat global

Ye Kung: Langkah agar S'pura lebih faham agen penyebab penyakit baru, bahaya
Apr 12, 2023 | 05:30 AM



KEMENTERIAN Kesihatan (MOH) akan terus membuat kemajuan terhadap Program bagi Penyelidikan dalam Kesiapsiagaan dan Tindak Balas Epidemik, atau 'Prepare', dengan membangunkan kemampuannya memantau di peringkat sejagat agar Singapura lebih memahami patogen (agen yang menyebabkan penyakit) baru dan berbahaya.



Demikian ujar Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, dalam adendum (kenyataan tambahan) beliau kepada ucapan Presiden Halimah Yacob pada pembukaan Parlimen pada 10 April.



Beliau berkata Kementerian Kesihatan (MOH) akan melaksana strategi vaksinnya dalam usaha memperolehi bekalan awal vaksin berkesan apabila tercetus satu lagi pandemik.



"Krisis Covid-19 telah memberi kita perspektif baru tentang perancangan persiapan pandemik dan kepupayaan kesihatan awam kami. Tambahan lagi penduduk sekarang semakin menua dengan pantas.



"Kemajuan perubatan bukan membuka kemungkinan baru sahaja, malah cabaran dan dilema utama. Sistem penjagaan kesihatan Singapura sekarang dalam fasa penting perjalanan transformasinya," ujar Encik Ong.



MOH juga akan menyemak semula Akta Penyakit Berjangkit (IDA) bagi menangani situasi kesihatan awam lebih luas, dan menguruskan komunikasi krisis dengan lebih baik, katanya.



Ucapan Puan Halimah merupakan Ucapan Presiden beliau yang ketiga, dan jika beliau tidak bertanding atau tidak terpilih bagi penggal kedua dalam pilihan raya presiden tahun ini, ia akan menjadi Ucapan Presiden terakhir beliau.



Parlimen ke-14 ditangguhkan pada 24 Mac dan bercuti dua minggu - dikenali sebagai prorog dan menandakan titik pertengahan penggal pemerintah.



Persidangan Kedua Parlimen ke-14 dibuka pada 8.30 malam pada 10 April 2023.



Dalam adendumnya, Encik Ong berkata MOH akan memperkukuh keupayaan dan strukturnya dengan menubuhkan Agensi Penyakit Berjangkit (CDA) bagi memantau persediaan, pencegahan dan kawalan, pemantauan, penilaian risiko serta respons penularan penyakit.



Kementerian itu juga akan membentuk sebuah Kumpulan Strategi dan Operasi Krisis bagi mengekalkan persediaan lonjakan penularan bersaiz sederhana dan kecemasan kesihatan lain, serta mempersiapkan institusi penjagaan kesihatan agar bersedia menghadapi krisis.



Encik Ong menekankan bahawa MOH akan terus melabur dalam prasarana penjagaan kesihatan dan meluaskan kapasiti penjagaan mereka.



Ini termasuk Kampus Kesihatan Woodlands (WHC), Hab Penjagaan Bersepadu Hospital Tan Tock Seng (TTSH), Kampus Kesihatan Bersepadu Timur, dan pembangunan semula Hospital Alexandra (AH).



Dalam beberapa tahun mendatang, MOH akan menambah 1,900 (sekitar 20 peratus) lagi katil hospital awam, daripada 11,000 katil pada masa ini.



"Kami juga akan meluaskan kapasiti rumah rawatan kita daripada 16,000 katil pada 2020 kepada lebih 31,000 katil pada 2030," tambah Encik Ong.



Selain itu, MOH akan terus membangunkan tenaga kerja penjagaan kesihatannya.



Ini meliputi penambahan tenaga manusia kejururawatan dan penjagaan sokongan sebanyak 40 peratus, daripada 49,000 pada masa ini kepada 69,000 kakitangan menjelang 2030.



"Ini akan dilakukan dengan mengukuhkan saluran tempatan menerusi latihan prapekerjaan dan peralihan kerjaya pertengahan, dan melengkapi pekerja penjagaan kesihatan teras kita dengan pekerja penjagaan kesihatan migran.



"Dengan peluang latihan dan prospek kerjaya yang baik, Singapura akan kekal berdaya saing dalam menarik tenaga kerja penjagaan kesihatan migran," tambahnya.



Mengenai inisiatif SG Lebih Sihat, atau Healthier SG, Encik Ong berkata MOH akan menerajui sumber dan rakan masyarakat untuk menganjurkan kegiatan fizikal dalam masyarakat serta mendekati penduduk dan menggalak mereka mendaftarkan diri.



"Dengan penekanan terhadap penjagaan pencegahan, SG Lebih Sihat membawa penjagaan kesihatan keluar dari hospital dan klinik, ke masyarakat," kata Encik Ong.



Inisiatif SG Lebih Sihat, yang dilancarkan pada 2022, memadankan seorang penduduk dengan seorang doktor keluarga yang biasa dengan keadaan pesakit itu dan menyediakan pemantauan kesihatan kerap bagi tempoh panjang.




MASYARAKAT INKLUSIF DENGAN PELUANG DAN JAMINAN SEPANJANG HAYAT  



  • KEMENTERIAN KESIHATAN

- Tubuh Agensi Penyakit Berjangkit (CDA)



- Majukan Program Penyelidikan dalam Kesiapsiagaan dan Tindak Balas Epidemik (Prepare)



- Semak Akta Penyakit Berjangkit (IDA)



- Labur dalam prasarana penjagaan kesihatan dan meluaskan kapasiti penjagaan



- Bangunkan tenaga kerja penjagaan kesihatan



- Perkenal program inisiatif SG Lebih Sihat.



- Sesuaikan penuaan dalam masyarakat sebagai satu kaedah terbaik bagi memastikan golongan senja kekal bersosial dan aktif



- Dakap dan sokong kemajuan teknologi



  • KEMENTERIAN PEMBANGUNAN NEGARA

- Bantu pasangan muda yang telah berkahwin dan keluarga mempunyai anak beli rumah pertama mereka



- Kekalkan perumahan awam inklusif, termasuk di kawasan utama



- Padankan sokongan sosial bagi pertingkat keluarga berpendapatan rendah dan bantu mereka beralih ke rumah milik sendiri.



- Bangunkan pilihan perumahan pelbagai dan tawar sokongan lebih kukuh bagi golongan muda, warga senja dan kurang upaya



- Reka dan bina estet bagi mengukuhkan hubungan masyarakat, mengeratkan warga Singapura, dan mengintegrasi masyarakat dalam kehidupan, bekerja dan bermain.



- Perbaiki dan pertingkat estet perumahan awam bagi mempertingkat mutu sekitaran kehidupan masyarakat



- Kerjasama dengan warga Singapura untuk mempromosikan norma sosial dalam kejiranan yang memaparkan nilai saling hormat dan menjaga satu sama lain



  • KEMENTERIAN PEMBANGUNAN SOSIAL DAN KELUARGA

- Laksana rancangan 'Singapura Mesra Keluarga 2025' (MFF 2025) untuk mewujudkan Singapura di mana semua keluarga dihargai dan disokong.



- Pupuk budaya mesra keluaga dan sokong keluarga menerusi tahap kehidupan berbeza menerusi program masyarakat di bawah gerakan Keluarga Sepanjang Hayat.



- Beri campur tangan berasaskan keluarga tepat pada waktunya, seperti sokongan perkahwinan bagi pasangan bawah umur dan perkahwinan muda, sokongan perceraian, dan kaunseling keluarga.



- Kaji pilihan penjagaan baru selain kemudahan jagaan bayi.



- Sokong golongan kurang upaya dan penjaga mereka menerusi penubuhan Hab Perniagaan Pengupayaan dan Hab Perkhidmatan Pengupayaan, serta dalam bidang seperti kos jagaan dan peralihan kepada kehidupan setelah sekolah.



- Luaskan jumlah tempat prasekolah yang disokong pemerintah bagi memenuhi keperluan 80% kanak-kanak prasekolah menjelang 2025, sambil memastikan yuran dimampui.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >