Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

RENCANA

Mata guru ‘bak remaja’, tanpa kaca mata selepas 3 pembedahan

Jul 18, 2023 | 12:20 PM



APUNGAN di dalam mata atau ‘eye floaters’ didapatinya semakin banyak hari demi hari dan sangat mengganggu penglihatannya.

Ini mendorong Encik Zainal Abidin Zainuddin, guru berusia 61 tahun, mengambil keputusan ke Hospital Alexandra untuk mendapatkan rawatan.

Siapa sangka, setelah menjalani tiga pusingan rawatan termasuk pembedahan katarak berbantu komputer ketepatan tinggi yang dilakukan oleh pakar bedah mata, beliau boleh melihat dengan jelas tanpa bantuan cermin mata atau kanta lekap.

Walhal, sebelum ini, tanpa menggunakan cermin mata tebal 700 darjah, penglihatannya sangat kabur.

Menceritakan keadaan matanya sebelum menjalani rawatan itu, Encik Zainal berkata:

“Ada ketika apungan di mata saya seperti sarang labah-labah. Selepas saya berjumpa doktor mata, barulah saya tahu bahawa ada pecahan di mata saya.”

Namun bukan mudah untuk Encik Zainal membuat keputusan menjalani pembedahan pemisahan retina seperti yang disaran oleh doktor yang merawatnya, Dr Yuen Yew Sen, Konsultan di Jabatan Oftalmologi di Hospital Alexandra dan Hospital Universiti Nasional, yang juga Penolong Profesor di Jabatan Oftalmologi di Universiti Nasional Singapura (NUS).

Encik Zainal mulanya mahu mendapatkan rawatan laser sahaja.

“Dr Yuen memang sudah menasihati saya dan beritahu bahawa rawatan laser ini mungkin tidak dapat kekal. Tetapi pada masa itu, saya sibuk bekerja, pelajar Menengah 4 saya sedang sibuk ulang kaji peperiksaan dan saya ingin ada di sana untuk membimbing mereka.

“Namun, Dr Yuen menegaskan yang saya harus menjalani pembedahan retina untuk mencantumkan semula retina pada bahagian belakang mata dan merawat sebarang luka atau kecederaan pada retina secepat mungkin. Jika tidak, saya mungkin jadi buta,” tambah Encik Zainal.

Selepas menjalani dua pembedahan bersama Dr Yuen, Encik Zainal harus menjalani satu lagi pembedahan katarak iaitu pembedahan kanta multifokal.

Pembedahan katarak akurasi tinggi yang dibantu komputer itu Encik Zainal jalani selepas mendapat sokongan anggota keluarga dan keyakinan daripada Dr Yuen.

“Psikologi benar-benar mainkan peranan yang penting sebelum menjalani pembedahan. Dr Yuen seorang doktor yang baik. Beliau membantu memastikan saya menjalani pembedahan dengan hati yang tenang. Beliau sering memberi perangsang kepada saya,” kata Encik Zainal yang sudah boleh memandu kereta sekitar dua hingga tiga minggu selepas pembedahannya.

Berkongsi pengalamannya selepas pembedahan terakhirnya, Encik Zainal berkata bahawa beliau tidak menduga kini dapat melihat dengan begitu jelas tanpa menggunakan kaca mata.

“Saya rasa seperti ada mata seorang remaja. Jelas sungguh penglihatan saya.

“Satu cara untuk memastikan jika penglihatan seseorang itu baik atau buruk adalah melalui pembacaan Al-Quran... titik-titik dan barisan halus pada ayat-ayat suci dulu susah saya nak lihat, kini sudah terang dan jelas,” ujar Encik Zainal.

Encik Zainal hanya perlu ke hospital pada 2025 untuk janji temu susulan dengan Dr Yuen.

Menyentuh tentang pengalaman pembedahan matanya, Encik Zainal menasihati mereka yang mungkin mengalami masalah serupa agar mendapatkan rawatan daripada pakar bertauliah.

“Yakin dengan teknologi dan ilmu yang ada sekarang. Setiap penyakit, jika kita usaha, pasti ada penawarnya. Dengarlah cakap pakar, bukan cakap orang-orang di luar sana yang tidak mahir dalam bidang ini,” ujarnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >