Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

INISIATIF PERERAT IKATAN MASYARAKAT

'Mawar' keamanan bagi atasi kebencian

Pengasas Roses of Peace mahu jadi suara membina dan positif; kekal relevan bagi golongan belia
Oct 14, 2019 | 05:30 AM



Mencapai keharmonian kaum yang sebenar memerlukan lebih daripada usaha pemerintah. Inisiatif yang bermula daripada masyarakat termasuk daripada belia, pertubuhan bukan pemerintah dan lain-lain lagi amat penting dalam menjalin hubungan dan kepercayaan antara mereka daripada berbilang agama dan bangsa. Wartawan ATIYYAH MOHD SAID (atiyyahm@sph.com.sg) dan FARID HAMZAH (farid@sph.com.sg) melaporkan.



APABILA sekumpulan pelajar di universitinya mahu menjalankan bantahan senyap kerana marah terhadap keganasan agama, Encik Abbas Ali Mohamed Irshad sedar betapa pentingnya untuk menyalurkan rasa marah itu kepada sesuatu yang positif.



Lantas, ini mencetuskan idea beliau untuk menubuhkan badan tidak meraih keuntungan, Roses of Peace (ROP), sebagai usaha mengukuhkan keharmonian agama, pada 2012.



Kumpulan itu akan mengedarkan nota kecil dengan mesej cinta, keamanan dan kebaikan seperti yang disampaikan semua agama yang diikat pada sekuntum bunga mawar kepada orang ramai.



Bermula dengan hanya 100 sukarelawan, kini ROP telah berkembang dengan melibatkan 2,000 sukarelawan dan dalam proses mendapat status Institusi Bertaraf Awam (IPC) pada tahun depan.



Pada 2017, Presiden Halimah Yacob telah menjadi penaung ROP.



Semasa di universiti, lulusan Universiti Pengurusan Singapura (SMU) itu juga mengasaskan SMU Apolitical, sebuah pertubuhan politik pelajar untuk menggalak pelajar menjadi lebih aktif dalam arena politik selain memulakan kegiatan Persatuan Islam di SMU.



Menjelaskan lebih lanjut mengenai usaha yang dilakukan sejauh ini, Encik Irshad, 30 tahun, berkata:



"Penubuhan ROP sebenarnya adalah respons untuk menangani rasa kebencian dengan keamanan dan keharmonian.



"Semasa saya membentuk ROP pada masa itu, saya melihat perlunya untuk mengubah dan menyalurkan rasa amarah dalam kalangan pelajar menyusuli beberapa kejadian global yang mengkritik Islam, agar menghasilkan sesuatu yang membina dan positif.



"Singapura adalah negara yang kecil dan akan mudah terjejas jika ada keganasan atau kebencian di kalangan agama.



"Kita dapat melihat bahawa banyak negara mengalami masalah keharmonian agama atau konflik agama, jadi saya berharap dan berdoa kita tidak sampai ke tahap berlakunya keganasan."



ROP telah melalui banyak perubahan berdasarkan permintaan dan perubahan sikap dalam masyarakat - daripada menganjurkan kegiatan yang hanya sekali setahun kepada sekurang-kurangnya 15 berbagai acara termasuk persidangan setahun, kata Encik Irshad, yang juga merupakan Anggota Parlimen Dilantik (NMP).



"Pada awalnya, kami lebih tertumpu kepada kegiatan pemberian nota dan bunga ros bagi menyebarkan pesanan keamanan dan kedamaian di beberapa lokasi sahaja.



"Namun, lama-kelamaan, kami sedar betapa pentingnya untuk meninggalkan kesan dan mendekati masyarakat di kawasan kejiranan juga.



"Justeru kini kami bekerjasama dengan contohnya, sekolah-sekolah, kawasan undi dan badan keagamaan lain," terangnya.



Ini sekali gus menjadikan pertubuhan itu terus relevan hingga ke hari ini, dengan tahap kesedaran yang lebih tinggi mengenai keharmonian agama, kata Encik Irshad.



"Lebih ramai yang mahu tahu cara menangani situasi berkaitan dengan ketegangan atau konflik agama dan mereka mahukan saluran untuk mengetahui lebih lanjut tentang hal ini.



"Misalnya, kami mendapat pertanyaan dari orang ramai untuk menyertai acara kami dan minat daripada badan lain untuk bekerjasama.



"Kita juga perhatikan saban tahun semakin banyak konflik atau ketegangan agama berlaku di serata dunia, dan kami mahu memainkan peranan positif," jelas beliau.



Pada masa yang sama, Encik Irshad sedar perlunya untuk kekal relevan bagi golongan belia.



Lantaran itu, beliau merancang memanfaatkan lebih banyak teknologi dan lebih aktif dalam media sosial.



"Tumpuan kami juga kini adalah untuk membina keupayaan sukarelawan kami, pendidikan, kepimpinan dan menerapkan penggunaan teknologi demi kebaikan.



"Sejauh ini kami telah menjalankan latihan khususnya dalam teknologi dan media sosial bagi sukarelawan kami.



"Contohnya, kami bekerjasama dengan Facebook dan Google untuk melatih mereka bagaimana untuk menggunakan sumber yang ditawarkan oleh dua syarikat itu bagi menyebarkan mesej kami atau mendekati lebih ramai masyarakat," terang beliau.



Apabila ditanya tentang cabaran dihadapi dulu dan sekarang, Encik Irshad berkata bukan mudah untuk menarik orang daripada semua lapisan masyarakat tampil ke depan dan memberi sumbangan.



Menurutnya, lazimnya kumpulan orang yang sama akan sentiasa menyertai acara mereka.



"Majoriti masyarakat sebenarnya mengambil ringan isu keharmonian agama, dan tidak pernah terfikir untuk memainkan peranan aktif dalam mengekalkan atau mengukuhkannya.



"Tetapi kita harus sedar bahawa apa sahaja yang berlaku di luar Singapura boleh menjejas kita.



"Walaupun keadaan sekarang lebih baik daripada dahulu, dengan lebih ramai yang mahu tampil ke depan untuk membincangkan tentang agama dan kaum, namun masih banyak yang boleh dilakukan," tambahnya.




Penubuhan ROP sebenarnya adalah respons untuk menangani rasa kebencian dengan keamanan dan keharmonian... Singapura adalah negara yang kecil dan akan mudah terjejas jika ada keganasan atau kebencian di kalangan agama. Kita dapat melihat bahawa banyak negara mengalami masalah keharmonian agama atau konflik agama, jadi saya berharap dan berdoa kita tidak sampai ke tahap berlakunya keganasan.
- Encik Abbas Ali Mohamed Irshad, pengasas Roses of Peace.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >