MASYARAKAT Melayu / Islam di Singapura telah mengumpulkan dana $244,146 untuk membantu mangsa tsunami Selat Sunda di Indonesia.
Wang itu dikumpulkan menerusi tabung derma yang diletakkan di semua 70 masjid di Singapura selama 10 hari bulan lalu dan derma $20,00 daripada Darul Arqam Singapura. Ia juga termasuk derma di dalam talian yang diterima Yayasan Rahmatan Lil Alamin.
Lebih 400 nyawa terkorban dan lebih 33,000 orang menjadi pelarian akibat kerosakan yang disebabkan tsunami Selat Sunda pada 22 Disember lalu. Ia dicetus letusan gunung berapi Anak Krakatau.
Dalam kenyataannya, RLAF berkata ia telah menyerahkan cek bagi derma itu kepada Mercy Relief, yang bertindak sebagai agensi rakan kongsi bagi projek ini.
Mercy Relief, kata RLAF, baru sahaja melengkapkan fasa pertama bantuan bagi 2,000 benefisiari. Ia merangkumi pengagihan air dan makanan, tilam dan selimut serta keperluan bayi dan wanita hamil.
“Dalam bulan-bulan akan datang, Mercy Relief akan memulakan projek respons selepas bencana, yang bertujuan memenuhi keperluan mangsa yang berubah. Ini termasuk memberi pendidikan tentang air dan kebersihan, serta inisiatif pendidikan lain," kata RLAF.