RAPAT HARI KEBANGSAAN | UCAPAN PENUH PM LEE DALAM BAHASA MELAYU

Menjadikan M3 lebih berkesan bagi penuhi aspirasi masyarakat

Oleh NORHAIZA HASHIM, NORMAN SAWI, ATIYYAH MOHD SAID, FARID HAMZAH, NUR ADILAH MAHBOB, ERVINA MOHD JAMIL, IRMA KAMARUDIN, NUR DHUHA ESOOF, SITI AISYAH NORDIN DAN NUR FATHIN AWALLUDIN

SAUDARA-saudari sekalian, Selamat Hari Kebangsaan!

Malam ini saya ingin bercakap tentang 3M - Muis, Mendaki dan Mesra.

Mesra adalah sebuah badan penyelaras kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (PA).

Ketiga-tiga institusi ini penting dan telah lama menguatkan masyarakat Melayu/Islam.

Dengan bekerjasama secara lebih rapat, saya yakin mereka akan menjadi lebih berkesan lagi dalam memenuhi keperluan dan aspirasi orang Melayu.

Ramadan lalu, saya juga sertai majlis iftar di Masjid Maarof di Jurong.

Masjid Maarof adalah antara tiga masjid terbaru yang dibina Muis (Majlis Ugama Islam Singapura).

Reka bentuknya sangat indah dan masjid ini boleh menampung 4,500 jemaah. Ia mesra keluarga terutama bagi pasangan dengan anak kecil.

Terdapat juga kemudahan untuk golongan kurang daya penglihatan dan pendengaran.

Sebenarnya, selain reka bentuk dan kemudahannya, apa yang membuat saya lebih kagum ialah barisan lembaga pentadbir dan sukarelawan masjid ini.

Mereka berkebolehan dan bersemangat - ada aktivis muda, kaum ibu dan juga pesara.

Mereka menganjurkan pelbagai kegiatan dari kelas agama dan keibubapaan hinggalah ke pemeriksaan kesihatan.

Mereka menyumbang masa, berkongsi visi dan menjadi pemimpin kepada masyarakat.

Selain mengurus masjid-masjid, Muis juga memainkan peranan penting dalam memberi bimbingan agama.

Ramai pemikir terkemuka dunia Islam telah ke sini di bawah Program Pelawat Unggul Muis. Mereka membincangkan tentang Islam dan kedudukannya di dunia.

Mei lalu, saya mengundang Imam Besar Al-Azhar, Dr Ahmed Al Tayyeb, ke jamuan malam di Istana.

Beliau memuji Singapura sebagai negara contoh, di mana penganut Islam boleh mengamalkan agama mereka dan berintegrasi dengan masyarakat lain.

Dalam ceramah awam beliau, Imam Besar Al Tayyeb menekankan perlunya penganut semua agama menghormati kepercayaan dan amalan orang lain dan berinteraksi dengan satu sama lain, dengan cara yang praktikal dan inklusif.

Nasihat itu relevan secara umum tetapi ia sangat penting sekali di Singapura yang berbilang kaum dan agama.

Sekarang saya ingin menyentuh tentang Mendaki pula.

Bulan lalu, saya melancarkan buku riwayat hidup Encik Sidek Saniff yang bertajuk Langkah Liku Selayang Kenangan Sidek Saniff.

Selama 25 tahun, beliau berkhidmat sebagai AP (Anggota Parlimen) dan juga Menteri Negara Kanan.

Beliau berjuang untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat Melayu khususnya melalui pendidikan.

Dalam bukunya, Sidek menceritakan bagaimana beliau menjadi pengerusi Kongres Mendaki pada 1982.

Usaha Sidek bersama para AP Melayu yang lain, dan pemimpin masyarakat di Kongres itu, membawa kepada pembentukan Yayasan Mendaki.

Terima kasih Sidek dan rakan-rakan anda!

Mendaki adalah badan bantu diri yang pertama di Singapura.

Dengan sokongan badan-badan Melayu/ Islam, Mendaki berjaya meningkatkan kehidupan masyarakat melalui program pendidikan dan sosial seperti kelas tuisyen dan dermasiswa pendidikan.

Mendaki memainkan peranan penting dalam kemajuan pelajar Melayu yang memberangsangkan sepanjang beberapa dekad.

Yang lebih penting lagi, Mendaki memupuk dalam diri masyarakat rasa bangga, semangat waja dan keinginan membantu satu sama lain untuk berjaya.

Baru-baru ini, saya bertemu Khairul Rusydi, seorang penerima Anugerah Mendaki, di Mesyuarat Ketua Pemerintah Komanwel di London.

Rusydi mewakili Singapura dalam Majlis Belia Komanwel.

Beliau juga pengasas bersama Reactor - syarikat baru atau start-up yang menjalankan program latihan usahawan bagi golongan belia.

Rusydi berjaya hasil bantuan masyarakat. Kini, gilirannya pula menyumbang bakti sebagai mentor kepada belia lain. Syabas Rusydi!

Kisah-kisah yang saya kongsi ini mencerminkan usaha baik yang dilakukan Mesra, Muis dan Mendaki.

Menteri Masagos menyebutnya sebagai 'M cube' (M3) atau 'M kuasa tiga'. Secara individu, setiap institusi ini terus memainkan peranan masing-masing dalam memajukan masyarakat.

Mereka memenuhi dan memelihara keperluan budaya, agama serta pendidikan dan sosial orang Melayu.

Mesra menganjurkan banyak kegiatan melalui rangkaian akar umbi dan sumber- sumber dari PA.

Muis mempunyai sukarelawan masjid yang penuh dedikasi serta rangkaian asatizah dan pelajar madrasah yang luas.

Mendaki pula menyokong para pelajar dan ibu bapa serta mendekati anak Melayu yang berjaya untuk membantu golongan yang memerlukan.

Masagos dan para AP Melayu PAP telah melakar satu pelan bertindak untuk 'M kuasa tiga'.

'M kuasa tiga' akan bekerjasama, menyatukan sumber-sumber dan berkolaborasi bersama pemerintah dan badan-badan Melayu/Islam yang lain.

Dengan itu, mereka akan lebih mampu menangani cabaran-cabaran masyarakat.

Ini termasuk cabaran memastikan semua kanak-kanak mengikuti prasekolah, memperkasa dan membimbing belia, serta membantu golongan yang ketinggalan kerana dadah dan isu-isu sosial lain.

Langkah pertama telah pun diambil - Muis dan Mendaki akan menubuhkan sebuah pejabat bersama di WGS dan tujuh lagi badan Melayu/Islam akan memulakan sebuah pusat khidmat sehenti atau Hab MMO di situ.

Saya setuju dengan rancangan 'M kuasa tiga'. Saya menyokong mereka sepenuhnya.

Kerjasama ini sangat baik seperti yang digambarkan peribahasa Melayu - 'seikat bak sirih, serumpun bak serai'.

Untuk berjaya, 'M kuasa tiga' perlukan sokongan padu masyarakat.

Saya harap lebih ramai orang Melayu akan menyumbang kepada masyarakat menerusi 'M kuasa tiga' tidak kira sama ada anda sukarelawan baru ataupun sudah berkhidmat dengan masjid atau badan Melayu/ Islam.

Marilah kita sama-sama turun padang membantu golongan yang memerlukan demi memajukan masyarakat.

Ternyata masyarakat Melayu/Islam boleh berbangga dan meraikan banyak pencapaiannya.

Ramai di kalangan anda yang berjaya - sama ada secara perseorangan atau berkumpulan.

Anda juga berjaya memupuk semangat bantu diri dan gotong-royong yang teguh.

Pada masa yang sama, anda masih berpegang teguh kepada identiti yang unik dan tetap menjadi sebahagian penting Singapura.

Dan Singapura harus kekal sebagai sebuah negara di mana semua orang Melayu boleh memenuhi aspirasi masing-masing.

Marilah kita bekerjasama bagi memperkukuhkan lagi keharmonian masyarakat berbilang kaum dan berkembang maju bersama-sama sebagai satu rakyat, satu Singapura.

Terima kasih dan Selamat Hari Raya Haji!