Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Bahas Belanjawan: KEMENTERIAN PERTAHANAN

Mindef akan lancar Perkhidmatan Digital dan Perisikan

Mar 03, 2022 | 05:30 AM



ANGKATAN Bersenjata Singapura (SAF) akan melancarkan perkhidmatan keempat menjelang suku terakhir tahun ini untuk menangani pelbagai ancaman keselamatan baru, termasuk dalam bidang digital, menjangkau bidang pertahanan darat, laut dan udara.



Perkhidmatan Digital dan Perisikan (DIS) itu akan menyediakan amaran awal dan risikan operasi yang relevan dan tepat pada masanya.



"Ia juga akan bertanggungjawab bagi pertahanan digital SAF melalui pertahanan siber dan perlindungan elektronik rangkaian dan sistem kami, serta pertahanan psikologi untuk mengukuhkan komitmen dan daya tahan anggota kerahan kami dalam operasi," kata Kementerian Pertahanan (Mindef) semalam.



"Pada masa yang sama, DIS akan mempunyai tumpuan khusus untuk merealisasikan potensi penuh teknologi digital baru seperti perawanan (cloud), sains data dan kecerdasan buatan. Ini akan mempercepatkan usaha transformasi generasi akan datang SAF, kata Mindef.



Pembentukan DIS ialah selaras dengan visi SAF untuk menjadi pasukan pertahanan generasi seterusnya menjelang 2040.



Pasukan itu akan lebih kukuh, lebih cekap dari segi tenaga, lebih fleksibel serta melalui transformasi digital, kata Mindef.



"Bidang digital telah berkembang menjadi arena konflik dan persaingan. Ancaman digital yang timbul dalam bidang digital boleh memberi kesan kepada peristiwa dalam dunia fizikal," kata Mindef.



Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen, memberitahu Parlimen semalam bahawa keselamatan fizikal dan maya "terkait secara rumit".



Beliau memberi contoh bagaimana Ukraine telah memerangi serangan siber walaupun sebelum pencerobohan oleh Russia.



"Mujur, sumber risikan kami tidak mengenal pasti percubaan yang dirancang sedemikian untuk menumbangkan atau menundukkan Singapura menggunakan cara hibrid," katanya semasa perbahasan belanjawan kementeriannya.



"Tetapi itu tidak bermakna ancaman itu tidak akan datang, jadi saya rasa sebaiknya kita bersiap sedia sekarang dengan landasan yang lebih panjang."



DIS merupakan evolusi masyarakat C4I SAF - yang terdiri daripada pakar C4, pakar perisikan tentera, dan mereka yang berada di bawah skim anggota perkhidmatan negara sepenuh masa siber - dan akan merangkumi Pertubuhan Siber Pertahanan Mindef.



Sejak perasmiannya pada 2012, masyarakat C4I telah terlibat dalam beberapa operasi SAF, termasuk pengerahan pasukan analisis imejan ke Timur Tengah pada 2015.



Pada 2017, Pertubuhan Siber Pertahanan telah dibentuk untuk mengetuai dan menyelaras usaha keselamatan siber Mindef dan SAF merentas kelompok pertahanan.



Untuk meningkatkan lagi usaha membangunkan tenaga kerja C4I siber bertaraf dunia, skim anggota perkhidmatan negara sepenuh masa (NSF) siber dan kerjaya pakar C4 kemudiannya masing-masing diperkenalkan pada 2018 dan 2019, kata Mindef.



"Pembentukan perkhidmatan baru untuk masyarakat C4I akan memudahkan fokus misi mereka, mempertajam kebertanggungjawaban dan tanggungjawab langsung, serta pembangunan keupayaan," kata Dr Ng.



"Sumber manusia amat penting untuk perkhidmatan perisikan, dan mempunyai status perkhidmatan, seperti tentera, tentera laut dan tentera udara akan meningkatkan prospek kerjaya dan perekrutan dengan ketara."



Dr Ng berkata SAF membayangkan bahawa jenis askar yang akan direkrut untuk DIS, termasuk struktur pasukan dan latihan mereka, akan berbeza, walaupun askar ini juga mesti mematuhi nilai teras SAF dan komitmen untuk meningkatkan keamanan dan keselamatan Singapura.



"Teknologi, terutamanya berkaitan IT dan komunikasi, akan memainkan peranan besar untuk DIS," tambahnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >