SEJAUH ini, Kementerian Kesihatan (MOH) sudah menguji dan mengesahkan lebih 215,000 pekerja asing (dua pertiga daripada mereka yang menetap di dormitori) sebagai bebas daripada Covid-19.
Dalam kenyataannya malam ini (Selasa, 14 Julai), MOH menjelaskan kerja mempersiapkan dormitori ini bagi pengisytiharan bebas daripada jangkitan tersebut serta langkah membenarkan pekerja ini kembali bertugas masih dilanjutkan.
"Kami akur pada jadual mengesahkan keadaan kesihatan sekitar 80 peratus pekerja yang menetap di dormitori menjelang hujung bulan ini (Julai) dan akan selesai ujian penghuni dormitori sekitar pertengahan Ogos. Dalam masa beberapa hari akan datang, kami mempunyai lebih ramai pekerja asing dalam dormitori yang dibina bagi pelbagai kegunaan yang akan tamat tempoh pemencilan dan diuji bagi Covid-19.
"Kerana sesetengah daripada mereka menetap di dormitori yang tinggi bilangan jangkitan Covid-19, kami menjangkakan lebih banyak kes yang dikenal pasti dalam masa beberapa hari akan datang daripada kumpulan pekerja asing ini," jelas kenyataan itu.
Dalam pada itu, MOH mendedahkan lagi 196 pesakit Covid-19 sudah dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan pemencilan masyarakat. Secara keseluruhannya, seramai 42,737 pesakit sudah pun pulih daripada jangkitan ini dan dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan jagaan masyarakat.
Buat masa ini, terdapat 161 kes yang masih lagi dirawat di hospital. Kebanyakannya dalam keadaan mantap atau kian pulih dengan tiada lagi dirawat di unit jagaan rapi (ICU). 3,704 orang pula dipencilkan dan dijaga di kemudahan masyarakat.
Sejak penularan wabak ini, seramai 27 orang meninggal dunia dari komplikasi jangkitan Covid-19. Kes 17168 yang merupakan lelaki warga Singapura berusia 62 tahun meninggal dunia kerana jangkitan Covid-19, hari ini (Selasa, 14 Julai). Beliau disahkan menghidap koronavirus pada 30 April dan mempunyai sejarah kencing manis, tekanan darah tinggi dan kolestrol tinggi. Hospital Besar Sengkang sudah pun memaklumkan perkara ini kepada keluarganya bagi memberi bantuan sewajarnya.