Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PEMANSUHAN SEKSYEN 377A & LINDUNGI PERKAHWINAN DI SISI UNDANG-UNDANG

Mufti: Ajaran, nilai agama tidak berubah, kekal sama

Aug 22, 2022 | 05:30 AM



MESKIPUN undang-undang boleh berubah, tetapi ajaran dan nilai agama kita kekal sama, tegas Mufti Singapura, Dr Nazirudin Mohd Nasir.



Mengulas tentang ucapan Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengenai pemansuhan Seksyen 377A semasa Rapat Hari Kebangsaan semalam, Dr Nazirudin berkata adalah penting untuk masyarakat terus memperkukuh pegangan agama.



"Walaupun undang-undang berubah tetapi ajaran dan nilai agama tetap sama.



"Dalam isu seksualiti sebagai contoh, jelas dalam agama apa yang boleh dan tidak boleh," katanya.



Menurutnya bagi masyarakat Muslim di sini, nilai dan prinsip agama adalah penting dalam memimpin masyarakat mengenai pelbagai aspek kehidupan.



Ini termasuk mengenai seksualiti dan dalam mendekati serta hidup dengan mereka yang mungkin memegang nilai yang berbeza.



Beliau turut akur ini merupakan satu isu sosial yang kompleks dan memerlukan keseimbangan yang sukar bagi semua pihak termasuk pemerintah, kumpulan dan juga pemimpin keagamaan serta masyarakat.



"Meski kita memegang nilai, aspirasi dan orientasi yang berbeza, saya fikir kita tidak harus membenarkan kebencian dan penghinaan untuk menang," ujarnya.



Beliau turut melahirkan harapan agar golongan yang tidak bersetuju dengan pendirian ini akan memahami sebab di sebalik pegangan tersebut.



"Kami berharap mereka yang tidak bersetuju dengan pandangan kami mengenai seksualiti dan perkahwinan, boleh memahami mengapa kumpulan keagamaan seperti masyarakat Muslim, mahu memelihara dan memperkukuh institusi perkahwinan dan kami gembira pemerintah telah memberi petanda untuk melakukan demikian dan ini mencerminkan norma masyarakat kita," katanya.



Dr Nazirudin menggariskan tiga respons yang perlu difikirkan masyarakat Muslim.



Pertama, masyarakat perlu terus berusaha mendidik anak-anak dan keluarga serta generasi muda khususnya akan pegangan agama dan meyakinkan mereka tentang pendirian agama.



"Ini kerana mereka juga terdedah kepada pengaruh-pengaruh lain dan kita juga khuatir pendirian mereka mungkin berubah pada masa depan," katanya.



Kedua ialah perlunya untuk terus bekerjasama dengan negara dan pemerintah untuk mengukuhkan institusi perkahwinan dan keluarga seperti yang ada pada hari ini iaitu lelaki dan wanita untuk membentuk keluarga dan selanjutnya membentuk masyarakat.



"Kita juga berasa tenang kerana pemerintah juga telah menjelaskan bahawa itu adalah di antara usaha yang akan dilakukan untuk mengukuhkan lagi institusi perkahwinan," katanya lagi.



Ketiga yang sangat penting menurutnya ialah sikap masyarakat dalam menangani kepelbagaian, kerencaman dalam masyarakat dan ini termasuk memastikan dalam mengekalkan persefahaman dan juga sikap saling hormat menghormati di antara satu sama lain.



"Jangan sampai bila ada golongan yang berbeza dengan kita, kita mula memusuhkan mereka ataupun mengeluarkan mereka daripada lingkungan agama.



"Kita perlu mendekati mereka apabila mereka memerlukan panduan dan sokongan dengan cara yang penuh berhikmah, cara yang baik," ujarnya.



Beliau turut menambah usaha ini memerlukan setiap lapisan termasuk asatizah dan pemimpin menggembleng tenaga kerana banyak perkara perlu dilakukan untuk membina kemaslahatan masyarakat dan Singapura pada masa akan datang.



Dalam pada itu beberapa pemimpin keagamaan lain telah memberikan reaksi mereka berhubung pemansuhan seksyen 377A.



Presiden Persekutuan Buddha Singapura (SBF), Venerable Seck Kwang Phing menyambut baik perlindungan ke atas Perlembagaan berhubung institusi kekeluargaan.



"Saya rasa ia satu langkah yang baik kerana jika tidak ia mungkin akan dicabar lagi (di mahkamah).



"Justeru definisi perkahwinan memberi jaminan kepada semua rakyat Singapura bahawa ia tidak boleh dicabar daripada segi Perlembagaan dan masyarakat perlu mengekalkan dan melindungi nilai tradisional kekeluargaan," ujarnya.



Pengerusi Lembaga Penasihat Sikh, Encik Malminder Singh berkata pengumuman untuk pemansuhan adalah satu langkah yang pragmatik memandangkan pemerintah tidak menguatkuasakannya secara aktif.



"Jelas dalam tatalaku agama Sikh, perkahwinan dalam agama Sikh adalah di antara lelaki dengan wanita.



"Tetapi pada masa yang sama, apa yang turut penting dalam agama Sikh adalah nilai berhubung belas ihsan, cinta, kesaksamaan dan inklusiviti," katanya.



Pengarah Eksekutif badan tidak meraih keuntungan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) Oogachaga, Encik Leow Yangfa berkata berita itu memberikan kelegaan kepada masyarakat dan keluarga LGBT di sini.



"Kami amat bersyukur kepada Perdana Menteri Lee dan juga pasukan kabinetnya.



"Daripada segi politik, ini merupakan satu langkah penting bagi kebaikan lebih meluas untuk Singapura, bagi warga dan keluarga LGBT Singapura. Ia juga satu langkah penting dalam menjadikan Singapura lebih inklusif," katanya.



Beliau turut menambah pihaknya tiada rancangan serta-merta untuk mengemukakan sebarang cabaran lain terhadap Perlembagaan.




APA KATA PM MALAM TADI



PERLU HATI-HATI BINCANG SEKSYEN 377A



Seksyen 377A adalah isu yang sangat sensitif dan boleh menimbulkan perbalahan. Kedua-dua penyokong dan penentang mempunyai pandangan yang keras. Tetapi kita tidak boleh membiarkan perkara ini memecahbelahkan kita, seperti yang berlaku di tempat-tempat lain. Biarlah kita menangani isu ini dengan berhati-hati, ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berserak.”
– Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong.




PANDANGAN MUFTI



PERKUKUH AJARAN, NILAI-NILAI AGAMA



“Walaupun undang-undang berubah tetapi ajaran dan nilai agama tetap sama. Dalam isu seksualiti sebagai contoh, jelas dalam agama apa yang boleh dan tidak boleh...Kami berharap mereka yang tidak bersetuju dengan cara kita melihat seksualiti dan perkahwinan, akan memahami mengapa kita perlu memelihara dan memperkukuh institusi perkahwinan seperti mana ia wujud hari ini, yang juga mencerminkan norma masyarakat kita.”

– Mufti Singapura, Dr Nazirudin Mohd Nasir.



TIGA LANGKAH YANG PERLU DITANGANI



“Pertama usaha mendidik dan meyakinkan anak serta generasi muda tentang pegangan agama perlu diteruskan kerana mereka terdedah kepada pelbagai jenis pengaruh, yang mungkin akan menukar pendirian mereka. Kedua ialah perlunya untuk terus bekerjasama dengan negara dalam memperkukuh institusi perkahwinan dan keluarga. Sekarang ini, kita merasa tenang kerana pemerintah akan membuat perubahan undang-undang untuk memelihara institusi perkahwinan mengikut norma hari ini. Ketiga, perlu untuk masyarakat menangani perbezaan dengan cermat dan penuh berhikmah, agar perbincangan tidak menyebabkan perpecahan dan melemahkan masyarakat. Asasnya adalah sikap kita terhadap golongan yang berbeza, bukan menyisih dan mengeluarkan mereka daripada lingkungan agama tetapi mendekati mereka dengan rahmah dan keihsanan apabila mereka inginkan panduan dan sokongan.”
– Mufti Singapura, Dr Nazirudin Mohd Nasir.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >