Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PARLIMEN

Muis masih siasat kes libat individu didakwa sebar ajaran sesat: Masagos

Apr 06, 2021 | 05:30 AM



MAJLIS Ugama Islam Singapura (Muis) kali pertama menerima aduan tentang individu yang didakwa menyebar ajaran sesat dan mengaku dirinya nabi pada 6 Oktober 2015 dan kes itu masih disiasat.



Muis akan mengongsi dapatannya kepada orang awam apabila siap nanti, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, di Parlimen semalam.



Dalam satu jawapan bertulis, Encik Masagos berkata pegawai Muis telah menemui individu yang membuat aduan itu, bersama individu lain yang mempunyai maklumat mengenai kes itu, setelah menerima aduan tersebut pada 2015.



"Berdasarkan maklumat yang diberikan waktu itu, tiada bukti yang mencukupi untuk mengambil tindakan lanjut terhadap individu tersebut," kata Encik Masagos.



Beliau menyatakan demikian untuk menjawab soalan anggota pembangkang, Encik Faisal Manap (GRC Aljunied), yang meminta pengesahan jika Muis telah menerima aduan tentang individu tersebut pada 2015, dan apa tindakan yang diambil waktu itu.



Kes itu mendapat perhatian pada November tahun lalu setelah timbul laporan mengenai seorang lelaki yang didakwa menyebar ajaran sesat.



Individu yang tidak diiktiraf di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) itu juga dikatakan mengaku dirinya nabi.



Bekas tukang urut berusia 50-an tahun itu juga dilaporkan telah menjalani nikah batin bersama lima wanita.



Semalam, Encik Masagos berkata Muis telah menyiasat perkara itu antara Oktober 2015 dengan Oktober 2017, berdasarkan maklumat tambahan yang disediakan oleh individu sama yang membuat aduan tersebut.



Perkara ini dibentangkan kepada Jawatankuasa Fatwa pada November 2017.



Pada awal 2018, Jawatankuasa Fatwa mengundang individu yang relevan untuk diwawancara oleh Mufti dan beberapa anggota jawatankuasa tersebut.



"Setelah siasatan lanjut, Jawatankuasa Fatwa memutuskan bahawa beberapa kepercayaan keagamaan individu itu tidak berasaskan sumber dan tradisi keagamaan," kata Encik Masagos.



Oleh itu, Muis mengambil beberapa tindakan termasuk mengeluarkan surat kepada individu itu, yang mengarah beliau supaya segera menghentikan perkhidmatan rawatan yang disediakannya.



Individu itu juga diarah oleh Jawatankuasa Fatwa supaya berhenti menyebar idea dan amalan yang tidak diambil daripada sumber keagamaan yang boleh dipercayai, kepada orang awam.



Jawatankuasa Fatwa juga menasihatkan individu itu supaya mendapatkan ilmu agama daripada asatizah yang bertauliah.



Menyusuli laporan The Straits Times pada November 2020 yang mengandungi maklumat tambahan, Muis membuka semula kes tersebut bagi siasatan, kata Encik Masagos.



Muis telah mendapatkan bantuan masyarakat bagi maklumat dan bukti baru mengenai kes tersebut.



"Siasatan masih dijalankan. Muis akan mengongsi dapatannya dengan orang awam apabila siap nanti," kata Encik Masagos semalam.



Dalam kes-kes ajaran sesat, Muis dan Jawatankuasa Fatwa mengambil langkah sewajarnya dan menanganinya menerusi pengeluaran fatwa, kaunseling, dan pendidikan awam, kata Encik Masagos.



"Namun, Muis hanya boleh bertindak berdasarkan bukti kukuh yang boleh diberikan," katanya.



Kata Encik Masagos lagi, Muis sebagai kuasa keagamaan tertinggi bagi masyarakat Islam di Singapura, telah dan akan terus menyediakan bimbingan agama dan nasihat kepada masyarakat mengenai bahaya ajaran sesat.



Muis juga menggalakkan masyarakat untuk bertanggungjawab bagi pembelajaran agama mereka dan mendapatkan bimbingan agama daripada sumber-sumber yang boleh dipercayai dan asatizah yang didaftar di bawah ARS.




"Berdasarkan maklumat yang diberikan waktu itu, tiada bukti yang mencukupi untuk mengambil tindakan lanjut terhadap individu tersebut...

Setelah siasatan lanjut, Jawatankuasa Fatwa memutuskan bahawa beberapa kepercayaan keagamaan individu itu tidak berasaskan sumber dan tradisi keagamaan...

Siasatan masih dijalankan. Muis akan mengongsi dapatannya dengan orang awam apabila siap nanti...

Namun, Muis hanya boleh bertindak berdasarkan bukti kukuh yang boleh diberikan."

- Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >