SALAM AIDILFITRI

Nangis sendiri, ketawa sendiri di Hari Raya

➤ Lelaki buta bujang 54 tahun sambut Syawal dan Ramadan keseorangan sejak 20 tahun lalu ➤ Bekerja sebagai tukang urut di Persatuan Cacat Penglihatan Singapura

TAWA riang keluarga berkumpul menyambut Syawal, kedengaran di cuping telinganya.

Encik Muliana Sairi hanya mampu tersenyum sendiri.

Hakikatnya, ia hanyalah satu peringatan kepada beliau bahawa Hari Raya yang diidamkannya itu sudah menjadi sejarah dan tinggal kenangan sahaja.

Hari Raya yang dikenali lelaki cacat penglihatan berusia 54 tahun itu kini disambut tanpa teman di rumah sewa satu bilik yang terletak di Toa Payoh.

"Saya tak boleh nampak tapi saya boleh dengar. Kadang- kadang bila keluarga datang rumah berdekatan ramai- ramai, saya pun terasa... eh bagusnya kalau saya pun macam gitu," katanya yang tinggal seorang diri sejak 20 tahun yang lalu.

Membuka cerita, anak yatim piatu itu berkata bahawa hubungan antara beliau dengan adik-beradiknya terputus sejak beliau membuat keputusan tidak tinggal sebumbung dengan mereka yang sudah mendirikan rumah tangga masing- masing.

"Mereka tak cari saya lepas tu... saya tak nampak, macam mana saya nak cari mereka?" kata anak bongsu dalam enam adik- beradik itu.

Mengimbas waktu beliau berdikari buat kali pertama, Encik Muliana menceritakan bahawa beliau kerap menangis bersendirian.

"Mula-mula saya rasa kesunyian. Hari pertama Raya apabila saya dengar takbir, rasa sayu," ujarnya.

Namun berbekalkan kecekalan, Encik Muliana tabahkan hatinya untuk teruskan hidup dan tidak mengizinkan kesedihan merundung dirinya.

Berkongsi pengalamannya sepanjang Ramadan, rutin Encik Muliana adalah untuk membeli makanan seperti bubur atau mi di pasar raya dengan bantuan rakannya yang juga cacat penglihatan.

Di rumahnya, beliau akan panaskan makanan tersebut dalam ketuhar mikro untuk dijadikan juadah sahur dan berbukar iftar.

Setelah lebih sedekad hidup bersendirian, Syawal membawa makna yang berlainan bagi Encik Muliana.

"Bagi saya, Hari Raya tanda kemenangan orang Islam yang sudah berpuasa selama sebulan, jadi itulah nikmat yang saya rasa. Tidak ada apa-apa selebihnya kerana saya tak harapkan apa-apa," kata Encik Muliana.

Walau bagaimanapun, Encik Muliana berkongsi bahawa keceriaan Hari Raya ditambah apabila rakan- rakannya membawa lauk serta kuih raya untuk beliau nikmati.

Sejak menyertai Persatuan Belia Bedok untuk Insan Kurang Upaya (BYSD) pada 2008, menurut Encik Muliana, kadangkala ada teman- teman yang menghantar juadah Hari Raya ke rumahnya.

"Jika ada orang menghantar makanan, sekurang-kurangnya saya dapatlah rasa makanan Raya, seolah- olah saya pun meraikannya," ujar tukang urut di Persatuan Cacat Penglihatan Singapura (SAVH) itu.

Beliau akur rakan-rakannya ada keluarga masing-masing untuk menyambut Raya bersama, justeru budi sekecil manapun yang diberikan menjadi keistimewaan Hari Raya baginya.

Dalam pada itu, Encik Muliana akan hidupkan suasana Raya dengan mendengar lagu Raya, rancangan televisyen yang didengarinya dan makanan Hari Raya yang ada.

Beliau yang "nangis sendiri, ketawa sendiri" itu berkata ia merupakan cara menghiburkan hatinya.

Tatkala ditemui Berita Harian, lelaki yang pemalu tetapi periang itu menasihati agar mereka di luar sana yang hidup sebatang kara seperti beliau terus tabah.

Katanya: "Kalau hidup sendiri, jangan selalu ingat jika keluarga tak ada, tak boleh Raya... sendiri pun boleh menyambut Hari Raya. Kalau orang tak kasi makanan Raya, beli sendiri! Jadi kita pun tak ketinggalan."

Beliau turut menambah beliau berharap orang ramai "tidak segan silu" mendekati dan menghulurkan bantuan kepada orang sepertinya.

"Bantuan untuk pergi ke mana, seperti ke perhentian bas ke, stesen MRT ke, teksi... bantuan sebegini yang kami harap daripada orang ramai," ujarnya.


SEDIKIT KECERIAAN DI HARI RAYA

"Jika ada orang menghantar makanan, sekurang- kurangnya saya dapatlah rasa makanan Raya, seolah- olah saya pun meraikannya."

- Encik Muliana Sairi, yang berkata keceriaan Hari Raya beliau akan bertambah apabila rakan- rakannya daripada Persatuan Belia Bedok untuk Insan Kurang Upaya (BYSD) menghantar lauk serta kuih Raya ke rumahnya untuk beliau nikmati. Beliau menyertai persatuan itu pada 2008.