Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Nilai saling percaya perkukuh perpaduan: Presiden Halimah

Pemimpin agama bentang komitmen lindungi keharmonian agama
Jun 20, 2019 | 05:30 AM



PEMIMPIN keagamaan setempat semalam melahirkan komitmen mereka untuk melindungi keharmonian agama di Singapura, dengan menggalakkan orang ramai agar terus berbincang, bekerjasama dan hidup sebagai satu rakyat.



'Komitmen terhadap Melindungi Keharmonian Keagamaan' itu turut menolak ideologi pelampau dan eksklusif serta amalan yang memecahbelahkan.



Mewakili pelbagai pertubuhan, pemimpin keagamaan menyerahkan komitmen tersebut kepada Presiden Halimah Yacob di pembukaan Persidangan Antarabangsa mengenai Masyarakat Bersatu Padu (ICCS), yang buat julung-julung kalinya diadakan.



Dalam ucapannya, Puan Halimah berkata perpaduan sosial bukan sesuatu yang boleh diarahkan pemerintah semata-mata.



"Ia hanya boleh dipupuk dan dicetus oleh setiap daripada kita, dan apa yang kita lakukan setiap hari.



"Persahabatan dan hubungan harus dierat, secara semuka. Kepercayaan sosial harus dijalin, satu demi satu pertemuan positif," ujarnya.



Beliau turut menggesa negara-negara untuk menganggap kepelbagaian sebagai sumber kekuatan yang memperkaya kehidupan dan dunia.



Ini meskipun kepelbagaian kadangkala dilihat sebagai satu kelemahan.



"Warna kulit, kepercayaan yang dipegang, adat yang disanjung, merupakan petanda jati diri dan kadangkala boleh menjadi garis pemisah bagi ketidakpercayaan dan konflik.



"Ternyata, semakin perlu bagi kita mengambil tindakan segera di negara dan masyarakat masing-masing untuk membina jambatan bagi mengatasi perpecahan seperti itu," ujarnya.



Menurut Puan Halimah, hanya sebuah masyarakat bersatu padu yang dibina atas nilai saling percaya boleh memanfaatkan kekuatan daripada kepelbagaiannya.



"Kepercayaan ini harus bermula dengan perbincangan yang berasaskan perpaduan, bukan perpecahan; kesatuan, bukan perbalahan; hormat bukan curiga; serta membina jambatan dan ruang bersama, bukan tembok dan menara kawalan," ujar Presiden Halimah.



Beliau turut menggariskan beberapa faktor yang menjadi asas keharmonian sosial - sikap tolak ansur, dialog dan interaksi, serta idea bagi kebaikan bersama.



Ini bermakna perlu ada ruang untuk meraikan budaya masing-masing, dengan tetap menerima perbezaan, serta tidak memaksa amalan dan keperluan diri sendiri ke atas orang lain, kata Puan Halimah.



Seramai 700 peserta dari hampir 40 negara akan menghadiri persidangan selama tiga hari di Pusat Konvensyen Raffles City itu.



Acara itu dianjurkan Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS) dengan sokongan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY), dan bertujuan menjadi forum peringkat tinggi yang membincangkan isu masyarakat majmuk dan silang agama.



Dalam satu kenyataan semalam, MCCY berkata lebih 200 pertubuhan telah memberi komitmen mereka untuk melindungi keharmonian agama di Singapura.



Antaranya ialah Majlis Gereja Kebangsaan Singapura (NCSS), Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), dan Persekutuan Buddha Singapura (SBF).



Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Cik Grace Fu, berkata komitmen tersebut ialah "lambang sokongan kuat oleh pertubuhan keagamaan" terhadap usaha memperkukuh jalinan antara agama di Singapura.



Apabila ditemui media semalam, Mufti Dr Mohamed Fatris Bakaram berkata Muis akan meluaskan pendekatan sedia ada kepada guru agama dan juga badan Islam untuk menyebar mesej di bawah komitmen itu.



"Kami komited untuk melaksanakan langkah lebih ketat bagi memastikan tiada unsur negatif yang akan menyelinap dalam masyarakat," ujarnya, sambil menambah ini termasuk langkah memastikan pendakwah asing memahami konteks unik di Singapura.



Laporan lanjut: Memupuk keharmonian dalam kepelbagaian




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >