WATIKAH BUAT CIKGU ARFAH BUANG
Dengan Biasiswa Pendidikan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dalam genggaman dan segulung ijazah sarjana muda sebagai bekalan berserta keringat keazaman mulai langkah mendidik anak bangsa.
Diri hadir di dalam dunia perguruan ibarat pelangi petang yang muncul di celah-celah kamar kehidupan.
Kini, pengalaman seluas dunia maya berpencak dan bertarung di medan ICT di Kementerian Pendidikan memperkasa diri dan segala macam projek diceburi Pakej Mekar, Projek 10M Aksara Lelaman Nadi dialah bergelar srikandi teknologi.
Kata seorang pujangga negara jadilah seperti tiram yakin akan sumbangan mutiara biar kecil terpencil tetap bersyukur dan jujur akan kewujudannya.
Di Sekolah Sains dan Teknologi Srikandi dengan penuh adab membuka gelanggang Berdiri sama tinggi dengan pendidik seantero dunia Program penyerapan pendidik luar negara Persidangan ICT di peringkat nasional Pembelajaran Gunaan Mentor pengajaran Anugerah Cemerlang Pendidik Apple menjadi mercu kerjaya.
Aspirasi dan perjuangan melahirkan insan yang arif bahasa Melayu disemai dengan nilai-nilai budiman yang bakal menjadi permata dan kemegahan bangsa.
BIODATA RINGKAS
Penerima AGAB 2019, Kategori Teladan
Sekolah: Sekolah Sains & Teknologi, Singapura
Usia: 44 tahun
Jawatan: Guru Kanan
Jangka masa perkhidmatan: 20 tahun
WATIKAH BUAT CIKGU SABRINA SAMSURI
Subur berkembang seorang guru tidak kenal penat lelah, tidak kenal jemu mengajar sambil belajar, seronok meraih ilmu dari Diploma ke Sarjana Melayu.
Sekian lama menabur bakti pelbagai cabaran, bukan rintangan tetap teguh pada hati guru ini berdedikasi.
Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit semangat semakin menggunung tingginya tak kenal maka tak cinta.
Pelbagai kaedah bermacam cara bahan bacaan menjadi kajian aplikasi E-book diuji terperinci kertas kerja dikongsi bukan sahaja di dalam negeri bahkan ke Persidangan
Antarabangsa WALS di Universiti Nagoya.
Detik manis lagi indah bila induk pelajar menghargainya anak yang dulunya serba tidak reti sudah berjaya dalam Peperiksaan PSLE.
Harapannya tinggi menggunung anak didik cemerlang pelbagai bidang tidak sombong tidak pincang adab budaya pun tidak kurang sopan pekerti menjadi cerminan nilai bangsa, berperibadi mahunya agar mereka akan ikut resmi padi makin berisi, makin tunduk. jadi cendekia berpersonaliti.
BIODATA RINGKAS
Penerima AGAB 2019, Kategori Teladan
Sekolah: Sekolah Rendah Zhenghua
Usia: 38 tahun
Jawatan: Guru Kanan
Jangka masa perkhidmatan: 17 tahun
WATIKAH BUAT CIKGU SITI MARIAM MANSHOR
Tiga belas tahun menabur bakti Bermula di Sekolah Menengah Yuhua Berhijrah ke Sekolah Menengah Crest Terpanggil untuk membangun anak bangsa
Pelbagai cabaran diharungi Pahit getir semua dirasai Sokongan rakan sekerjaya dihargai Membuat diri lebih matang dan lebih memahami
Pengalaman perjalanan kerjaya mendewasakan Kebajikan pelajar menjadi keprihatinan Kerjasama ibu bapa sentiasa diusahakan Menjamin kesejahteraan dan kemaslahatan
Anak didik dewasa kian Ke puncak jaya melanjutkan pengajian Meraih pencapaian demi pencapaian Menjadi kebanggaan ibu bapa sekalian
Guru tersenyum lebar Bangga dengan iltizam pelajar Rupanya, usaha guru tidak sia-sia Mendidik mereka menjadi manusia berguna
Nasihat guru kepada pelajar Setinggi mana pendidikan kita Tidak lengkap jika tidak bernilai dan berbudi Apabila sudah berjaya jangan sesekali lupa diri
Pembelajaran sepanjang hayat Menjadi panduan hidup Berkongsi ilmu dan meyumbang bakti Semoga semua mendapat manfaat dan diberkati.
BIODATA RINGKAS
Penerima AGAB 2019, Kategori Teladan
Sekolah: Sekolah Menengah Crest
Usia: 36 tahun
Jawatan: Penyelaras Tingkatan Bahasa Melayu
Jangka masa perkhidmatan: 13 tahun enam bulan


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg