BEBERAPA jawatankuasa kecil dalam Pasukan Bertindak berkaitan kebapaan inisiatif di bawah M Kuasa Tiga (M³), Nakhoda telah dibentuk bagi membangun strategi untuk menggalak peranan lebih aktif bapa dalam masyarakat Melayu/Islam.
Jawatankuasa kecil itu akan memberi tumpuan kepada tiga aspek penting yang dikenal pasti melalui hasil tinjauan dan penyelidikan Institut Kajian Dasar (IPS) berjudul Pengetahuan, Sikap & Amalan: Satu Siasatan Penerokaan terhadap Cabaran Keibubapaan Yang Dihadapi Bapa Melayu/Islam di Singapura.
Kajian kualititatif itu, yang laporannya dikeluarkan baru-baru ini, dijalankan dengan kerjasama AMP Singapura, Pusat Kebapaan, Khidmat Penjagaan Masyarakat Lutheran dan Persatuan Pemudi Islam Singapura.
Penyiasat utama kajian itu, Zamil Penyelidikan di IPS Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew, Universiti Nasional Singapura, Dr Mohamad Shamsuri Juhari, berkata kajian tersebut antara lain bertujuan mengkaji faktor sosiobudaya yang membimbing bapa Melayu/Islam setempat apabila menjalankan peranan keibubapaan mereka.
Ia juga bertujuan mengenal pasti kekuatan dan cabaran kepada keibubapaan berkesan yang dihadapi golongan bapa itu dalam bidang pengetahuan, sikap dan amalan.
"Kini setelah kami menyelesaikan kajian, dapatannya boleh digunakan oleh pertubuhan Melayu/Islam, pertubuhan khidmat masyarakat serta agensi pemerintah yang berkaitan untuk melakar langkah campur tangan bagi mengatasi cabaran yang dikenal pasti," kata Dr Shamsuri.
Pasukan Bertindak berkaitan Kebapaan Nakhoda yang dibentuk bulan lalu boleh meneliti hasil kajian tersebut dan menyasarkan cara tertentu untuk menerapkan pengetahuan relevan kepada bapa Melayu/Islam supaya mereka dapat menjalankan peranan mereka sebagai bapa dengan lebih berkesan, tambahnya.
Pasukan Bertindak berkaitan Kebapaan Nakhoda itu diterajui Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, dan dianggotai pemimpin dan pakar masyarakat Melayu/Islam.
Ia merupakan inisiatif di bawah M Kuasa Tiga (M³).
"Jika setiap bapa Melayu boleh ditingkatkan menjadi bapa yang ideal untuk anak-anak mereka, masyarakat Melayu/Islam kemudian boleh berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk meningkatkan keadaan sedia ada mereka sebagai sebuah kumpulan etnik di negara ini," kata Dr Shamsuri.
Salah satu jawatankuasa kecil itu akan memberi tumpuan kepada dapatan kajian berhubung peranan agama sebagai sumber rujukan bapa Melayu/Islam di sini.
Ia diketuai oleh Pengarah Kanan Strategi Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Mohamad Helmy Mohd Isa.
"Kami telah membentuk pasukan daripada pelbagai institusi keagamaan seperti mereka dari masjid dan madrasah serta rakan asatizah untuk menganalisis dan bersama-sama memikirkan huraian atau tindak balas kepada penemuan itu.
"Insya-Allah, kami akan menggunakan ajaran Islam dalam cara yang paling berkesan untuk membantu membimbing bapa-bapa dalam masyarakat kita dan menjadikan mereka ayah yang lebih baik," katanya.
Jawatankuasa kecil kedua pula dipimpin oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SuChi Success Initiatives, Encik Mohamed Khair Mohamed Noor.
Ia akan meneliti aspek lingkungan sosial dari mana golongan bapa Melayu mendapatkan petunjuk sama ada secara langsung atau tidak.
Jawatankuasa kecil terakhir pula akan meneliti dapatan kajian berhubung masa atau keterbatasan masa bapa Melayu/Islam dalam melayan anak-anak mereka.