Sementara itu, Parti Tindakan Rakyat (PAP) tidak akan mengangkat Cemeti (whip) Parti apabila Parlimen mengundi untuk memansuhkan undang-undang yang menjenayahkan hubungan seks antara lelaki kerana perkara itu adalah salah satu dasar awam, kata Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong semalam.
Ini bermakna Anggota Parlimen (AP) perlu mengundi mengikut kedudukan parti.
Merujuk kepada Seksyen 377A Kanun Keseksaan, Encik Wong berkata:
"Dalam pandangan kami, ini adalah soal dasar awam kerana kami memansuhkan undang-undang yang sepertimana dinyatakan pihak mahkamah sebelum ini bahawa ia tidak akan dikuatkuasakan.
"Pada masa yang sama, walaupun kami akan memansuhkan undang-undang ini, kami memastikan kami mengambil langkah ia tidak akan mencetuskan perubahan kemasyarakatan selanjutnya.
"Dari sudut pandangan itu, ini adalah soal awam dasar dan kami tidak berhasrat untuk mengangkat Cemeti Parti apabila perkara ini dibahaskan di Parlimen kelak."
Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong telah mengumumkan semasa Rapat Hari Kebangsaan kelmarin bahawa pemerintah akan memansuhkan Seksyen 377A, tetapi juga meminda Perlembagaan untuk melindungi takrif perkahwinan yang sedia ada - antara seorang lelaki dan seorang wanita - daripada dicabar di mahkamah.
Dalam temu bual dengan median CNA semalam, Encik Wong berkata rancangan pemerintah merangkumi "pemansuhan Seksyen 377A yang sangat terhad, berhati-hati dan terkawal".
Beberapa kumpulan, termasuk Perikatan Gereja-Gereja Pentakosta dan Karismatik Singapura, telah menggesa agar hukuman parti itu ditarik balik supaya AP boleh mengundi secara bebas mengikut kehendak mereka.
Peranan Cemeti Parti atau Whip Parti adalah untuk memastikan komunikasi yang baik dalam barisan parti, menyumbang kepada kelancaran jentera Parlimen dan bertindak sebagai pendisiplin.
Dr Janil Puthucheary, Menteri Negara Kanan (Perhubungan dan Penerangan merangkap Kesihatan) ialah pemegang Cemeti Pemerintah pada waktu ini.
Cemeti memastikan AP parti mengundi mengikut kedudukan parti.
PAP telah beberapa kali menarik balik cemeti sebelum ini, termasuk bagi skim AP Dilantik (NMP) dan Rang Undang-undang (Pindaan) Penyaraan Ibu Bapa.
Sementara itu, Parti Pekerja (WP) enggan mengulas apabila ditanya sama ada ia akan mengangkat cemeti partinya untuk perbahasan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg