Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pasangan ilhamkan buku kait pengalaman kanak-kanak berpuasa

May 12, 2021 | 05:30 AM



HARI pertama seorang kanak-kanak berpuasa selalunya bermula dengan keghairahan tetapi berakhir dengan kelesuan setelah sehari suntuk menahan lapar dan dahaga.



Begitu juga dengan 'Ali', watak dalam buku cerita "Puasa Pertama Ali", yang berusaha mengisi masa untuk mengalihkan perhatiannya daripada tekak yang kering dan perut yang berkeroncong.



Buku kanak-kanak yang berdasarkan sekitaran Singapura itu karya pasangan suami isteri, Cik Zhulaiha Abdul Rahim selaku penulis dan Encik Nuriskandar Mohd Kassim sebagai pelukis ilustrasi.



Buku itu telah dilancarkan baru-baru ini dalam kedua-dua bahasa Melayu dan Inggeris dengan tajuk "Ali's First Ramadhan", menyusuli buku pertama pasangan itu, "Aminah & Ali Welcome Ramadhan", yang diterbitkan pada 2017.



Cik Zhulaiha, 38 tahun, berkata dia telah cuba menerapkan secara sedar dan langsung ciri-ciri yang lazim dan dekat dalam hati masyarakat Melayu/Islam Singapura, agar kanak-kanak yang membaca buku itu dapat mengaitkan pengalaman dan juga diri mereka dengan watak 'Ali'.



"Kanak-kanak serta ibu bapa yang membaca buku ini akan dapat melihat dan mengenal pasti makanan tempatan seperti sate, nasi ayam dan juga ais kacang.



"Selain itu, mereka juga akan melihat latar serta tempat-tempat yang tidak asing lagi, yang mungkin juga pernah dilawati bersama keluarga mereka sendiri seperti pusat makanan, kafe dan gerai penjaja sate di tepi pantai," kata Cik Zhulaiha yang merupakan pengasas serta pemilik syarikat Laugh Play Learn yang menyediakan khidmat program pengayaan untuk kanak-kanak dan remaja dalam Bahasa Melayu.



Ibu tiga anak itu berkata idea bagi buku "Puasa Pertama Ali" diraih daripada interaksinya dengan salah seorang anak lelakinya yang sedang cuba berpuasa buat pertama kalinya.



Dia juga teringat pengalaman berpuasa semasa kecil dahulu, apabila dia sering bertanyakan "Sudah waktu berbuka?" berkali-kali sepanjang hari.



"Saya rasa pengalaman yang saya kongsi ini bukanlah sesuatu yang asing untuk masyarakat kita. Malah, saya pasti pengalaman ini merupakan antara pengalaman kolektif yang dikongsi oleh ramai kanak-kanak Muslim dalam meniti liku-liku berpuasa sewaktu zaman kanak-kanak mereka," katanya.



Cik Zhulaiha meluahkan harapan bukunya itu dapat menjadi perangsang buat anak-anak kecil yang sedang berpuasa, mahupun mereka yang berhasrat untuk mula berpuasa.



"Mudah-mudahan, pengalaman 'Ali' yang dipaparkan dalam buku ini akan serba sedikit menjadi pencetus minat dan juga galakan untuk mereka memulakan amalan berpuasa. Mungkin perbincangan terbuka yang boleh dilakukan oleh ibu bapa yang membacakan buku ini kepada anak-anak mereka adalah pengiktirafan bahawa, ya, memang tidak mudah untuk berpuasa, tetapi jika 'Ali' boleh lakukannya, insha-Allah mereka juga boleh!" katanya.



Buku Puasa Pertama Ali berharga $15 senaskhah dan boleh ditempah di laman www.laughplaylearn.sg. Set buku cerita dan buku kegiatan pula ditawarkan pada harga $25.




"Mudah-mudahan, pengalaman 'Ali' yang dipaparkan dalam buku ini akan serba sedikit menjadi pencetus minat dan juga galakan untuk mereka memulakan amalan berpuasa. Mungkin perbincangan terbuka yang boleh dilakukan oleh ibu bapa yang membacakan buku ini kepada anak-anak mereka adalah pengiktirafan bahawa, ya, memang tidak mudah untuk berpuasa, tetapi jika 'Ali' boleh lakukannya, insha-Allah mereka juga boleh!"
- Cik Zhulaiha Abdul Rahim selaku penulis buku.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >