SEBAGAI sebahagian daripada sebuah program rintis selama setahun, 11 kiosk digital yang tanpa memerlukan kakitangan, yang dibekalkan oleh pasar raya kecil kendalian perniagaan keluarga, telah ditempatkan di blok HDB di Bukit Gombak dan Clementi.
Program rintis itu dilancarkan semalam oleh Enterprise Singapore (ESG), Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan Persekutuan Persatuan Pedagang Singapura (FMAS), sebagai sebahagian usaha Jawatankuasa Pendigitalan dan Penggiatan Semula Kejiranan (Heartland Digitalisation and Revitalisation Committee).
Antara peniaga yang pertama mengambil bahagian dalam program itu ialah pasar raya kecil Guan Meat Enterprise di Bukit Gombak, yang menempatkan tiga kiosk di Blok 390 Bukit Batok West Avenue 5 dan empat kiosk di Blok 384 Bukit Batok West Avenue 5.
Di Clementi, terdapat empat kiosk, yang dibekalkan oleh Kee Guan Huat Supermarket, di Blok 312A Clementi Avenue 4.
Terletak di kolong blok-blok ini, kiosk 24 jam sehari itu - yang merangkumi kiosk versi peti sejuk dan tidak sejuk - menjual barangan seperti makanan kering dan dalam tin serta keperluan harian seperti bahan cuci dan fon kepala.
Untuk membuat pembelian, pengguna perlu mengimbas kod QR yang dihubungkan kepada akaun yang perlu mereka daftar dengan butiran kad kredit mereka.
Dengan mengimbas kod itu, ia akan membuka pintu kiosk, yang dilengkapi teknologi kamera kecerdasan buatan yang mengesan pergerakan apabila barangan dialih keluar.
Kad pengguna akan dicaj mengikut barangan yang diambil sebaik sahaja pintu dikunci.
Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan), Cik Low Yen Ling, dan Menteri Negara Kanan (Pembangunan Negara), Cik Sim Ann, yang juga merupakan pengerusi bersama Jawatankuasa Pendigitalan dan Penggiatan Semula Kejiranan, menghadiri acara pelancaran itu semalam.
Jawatankuasa itu menyokong peniaga di estet kejiranan dengan memajukan usaha pendigitalan mereka dan memperluaskan saluran hasil pendapatan mereka.
Di pelancaran itu semalam, Cik Low memberitahu The Straits Times: "Apabila anda bercakap tentang pendigitalan, ramai orang menganggap ia hanya e-dagang, tetapi ini adalah satu lagi cara yang menarik bagi pendigitalan dan kekal relevan dengan permintaan pengguna yang berubah.
"Antara maklum balas yang biasa kami terima daripada peniaga ialah mereka semua semakin meningkat usia dan tidak boleh beroperasi selama 12 jam seperti dulu... Mereka bimbang ia akan menjejaskan hasil pendapatan dan jangkauan mereka, bahawa mereka akan kehilangan pelanggan.
"(Kiosk) bertujuan membantu kedai HDB kita memperluaskan jangkauan mereka dan meningkatkan potensi jualan, dan melengkapi pasar raya kecil yang sedia ada."
Kiosk itu menjejak inventori dalam masa nyata kerana ia disepadukan dengan sistem pengurusan inventori yang dikemas kini secara automatik apabila pembelian dibuat.
Pengendali pasar raya kecil boleh me-nganalisis data untuk mengurus inventori berdasarkan pilihan pelanggan.