Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pegawai dipinjam ke Interpol naik pangkat

Tugas termasuk menentang jenayah kewangan peringkat antarabangsa tanpa kira sempadan
May 21, 2021 | 05:30 AM



Sejumlah 6,280 pegawai Home Team (HT) dinaikkan pangkat tahun ini, termasuk 4,064 pegawai tetap dari lembaga berkanun dan jabatan HT termasuk Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF). Sedang Singapura berdepan dengan cabaran jenayah dan keselamatan yang kian rumit, bagaimana pegawai yang dinaikkan pangkat baru-baru ini mempersiap diri bagi mengatasi cabaran masa depan negara? BERITA HARIAN mewawancara dua pegawai yang berpangkat baru untuk mengetahui sumbangan mereka dalam mengharungi cabaran semasa yang kian berubah kini. 




SEBAGAI pegawai pertama dari Jabatan Ehwal Komersial (CAD) yang dipinjamkan kepada Polis Antarabangsa (Interpol), Pegawai Ehwal Komersial 10 (CAO10) Muhammad Imran Mohamad Ayub berkata ia bukan sekadar satu 'penghargaan' buatnya, malah adalah peluang untuknya menentang jenayah di peringkat antarabangsa.



CAO10 Muhammad Imran berkata kedudukannya di Unit Jenayah Kewangan, Interpol itu adalah satu cara baginya memperluas usaha pencegahan jenayah tanpa mengira sempadan, terutamanya, jenayah penipuan yang kian bertambah secara mendadak di serata dunia.



CAO10 Muhammad Imran, 35 tahun, merupakan salah seorang daripada lebih 6,000 pegawai pasukan Home Team yang dinaikkan pangkat tahun ini.



Beliau yang telah berkhidmat di CAD sejak 2010, dinaikkan pangkat kelmarin daripada CAO11, kepada CAO10 - iaitu setaraf dengan pangkat Superintenden di Pasukan Polis Singapura (SPF).



Beliau juga merupakan pegawai pertama dari CAD yang diberi jawatan sebagai Pegawai Kecerdasan Jenayah Interpol - sebuah pertubuhan penguatkuasaan antarabangsa yang dianggotai 194 negara.



CAO10 Muhammad Imran, yang mula bertugas di Interpol pada Ogos 2019 berkongsi, tugasnya di pertubuhan itu amat luas.



Tanggungjawabnya merangkumi bidang sokongan berhubung siasatan kewangan dan penguatkuasaan antarabangsa menggunakan rangkaian yang luas di Interpol.



Ia termasuk menganalisa urus niaga haram yang ada kaitan dengan kegiatan pemiutang wang haram atau penipuan di samping meningkatkan kesedaran terhadap penipuan.



Di samping itu, ia juga melibatkan usaha menjalin hubungan bersama dengan sektor penguatkuasaan undang-undang dan kecerdasan kewangan.



Anak mantan pegawai Polis Pengawal Pantai (PCG) itu berkata:



"Dengan pengalaman saya di CAD, saya amat berbesar hati kerana diberikan kedudukan yang membolehkan saya mendalami usaha pencegahan jenayah seperti ini di peringkat antarabangsa,



"Di Interpol, kami memberi huraian kepada pihak penguat kuasa sesebuah negara itu untuk bekerjasama dengan sebuah rangkaian berbilang negara untuk melanjutkan siasatan mereka."



Anak kedua empat beradik yang juga bapa dua anak itu akur jenayah penipuan di peringkat antarabangsa kian rumit dan mencabar.



CO10 Muhammad Imran menjelaskan dalam setiap kes penipuan membabitkan pemindahan wang, dalam tempoh dua atau tiga hari, wang itu bakal dipindahkan ke bermacam akaun bank yang terletak di pelbagai negara.



"Jadi pihak penguatkuasaan setempat mungkin hanya dapat mengesan pemindahan itu setelah sekitar seminggu siasatan dimulakan.



"Dan pada peringkat itu, wang itu mungkin sudah diterima oleh lapisan peringkat ketiga atau keempat dalam skim penipuan tersebut," jelasnya.



"Dengan adanya Interpol, kami dapat bekerjasama untuk menyelaraskan serta mempercepat siasatan berbilang negara dengan memanfaatkan sumber, kemahiran serta rangkaian setiap anggota pertubuhan itu."



Menurut perangkaan jenayah yang dikeluarkan SPF Februari lalu, Pusat Cegah Penipuan (ASC) pada 2020 melaporkan lebih $164.6 juta yang lesap disebabkan jenayah penipuan.



Pihak itu berjaya menahan 45 peratus jumlah wang yang ditipu itu, iaitu sekitar $57.6 juta.



Menyusuli itu, CAO10 Muhammad Imran berkata, antara tugasnya di Interpol adalah untuk berkongsi model ASC kepada negara lain agar keupayaan penguatkuasaan oleh anggota Interpol lain dapat sama rata.



"Ini supaya mereka dapat pelajari daripada model itu untuk mempertingkat keberkesanan mereka dalam mencegah jenayah kewangan antarabangsa," ujarnya lagi.



Disebabkan pandemik Covid-19, CAO10 Muhammad Imran yang pada awalnya berjinak-jinak di Interpol dan sering keluar negara untuk bertugas, kini bekerja dari rumahnya sahaja.



Beliau berkata kerja penguatkuasaan tidak berhenti biarpun dalam kemelut ini.



"Kami menyesuaikan diri dan bekerjasama dengan anggota negara lain menerusi platform dalam talian bagi mengendalikan operasi, mengadakan mesyuarat atau menjalankan bengkel penguatkuasaan," tambah CAO10 Muhammad Imran.



Menurut beliau, bekerjasama dengan rakan antarabangsa memang amat berbeza berbanding bekerja di Singapura.



"Namun, semua individu yang berkhidmat dalam kerja penguatkuasaan undang-undang bertutur dalam bahasa yang sama, iaitu untuk menentang jenayah, jadi mudah bagi kami mencari persamaan untuk bekerjasama.



"Bagi saya, peluang bekerja di Interpol, dan juga dinaikkan pangkat ini, bukan satu 'anugerah' untuk saya seolah memuji diri sendiri, malah ia merupakan satu lagi langkah ke hadapan untuk saya menyumbang dalam usaha pencegahan jenayah," kata beliau.




"Dengan adanya Interpol, kami dapat bekerjasama untuk menyelaraskan serta mempercepat siasatan berbilang negara dengan memanfaatkan sumber, kemahiran serta rangkaian setiap anggota pertubuhan itu...

Bagi saya, peluang bekerja di Interpol, dan juga dinaikkan pangkat ini, bukan satu 'anugerah' untuk saya seolah memuji diri sendiri, malah ia merupakan satu lagi langkah ke hadapan untuk saya menyumbang dalam usaha pencegahan jenayah."

- Pegawai Ehwal Komersial 10 (CAO10), Muhammad Imran Mohamad Ayub, dari Unit Jenayah Kewangan, Interpol.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >