Peguam S'pura antara 40 peguam muda cemerlang Asia

PEGUAM setempat, Cik Kohe Hasan, telah dinamakan sebagai antara 40 karyawan guaman bawah usia 40 tahun cemerlang di Asia tahun ini.

Senarai itu diterbitkan penerbitan guaman terkemuka Asian Legal Business.

Cik Kohe, 39 tahun, dikenal pasti dan dimasukkan dalam senarai tersebut bersama 39 karyawan guaman cemerlang lain dari pelbagai negara termasuk Jepun, Hong Kong, Indonesia, India, Thailand, Filipina, Vietnam, Myanmar dan Korea Selatan.

Mereka telah menyumbang kepada antara perjanjian serta penyelesaian pertikaian paling penting sepanjang setahun lalu selain diiktiraf rakan sekerja, atasan dan klien mereka.

Cik Kohe yang sebelum ini merupakan rakan kongsi firma Oon & Bazul kini berkhidmat di Reed Smith, firma guaman antarabangsa yang dikenali bagi kepakarannya dalam bidang tenaga dan sumber semula jadi serta perkapalan dan luar pesisir.

Beliau juga merupakan rakan kongsi wanita pertama di pejabat Singapura Reed Smith.

Sebagai pakar dalam bidang tenaga, Cik Kohe mempunyai pengalaman luas membantu klien menganalisa dan menyelesaikan masalah serta mengurangkan risiko di permulaan sebarang urus niaga.

Antara lain, peguam yang mempunyai 15 tahun pengalaman itu terlibat dalam projek kuasa besar di Kemboja.

Menerusi projek itu, pembekal elektrik nasional negara itu, Electricite Du Cambodge (EDC), menandatangani perjanjian dengan dua penyedia kuasa bebas di Laos.

Hasilnya, ini akan memenuhi sekitar 40 peratus keperluan elektrik bagi Kemboja menjelang 2029.

"Ini amat memuaskan bagi saya kerana usaha ini mempunyai kesan bermakna pada jutaan orang di Kemboja," ujarnya ketika dihubungi Berita Harian.

Sebagai seorang peguam Muslim, Cik Kohe berkata beliau berharap pengiktirafan yang diberikan kepadanya dapat menjadi sumber inspirasi bagi lebih ramai peguam lain di sini melibatkan diri dalam projek prasarana rentas sempadan.

"Terdapat banyak peluang seperti ini di rantau ini dan saya harap lebih ramai peguam Muslim akan turut terlibat dengannya.

"Sebagai contoh, Indonesia khususnya merupakan pasaran utama bagi projek sedemikian dengan Presiden Jokowi yang memberi tumpuan besar kepada projek prasarana di negara itu.

"Kami boleh memanfaatkan keupayaan bahasa untuk menjalin hubungan kukuh dengan mereka dan menjadi yang terulung dalam hal sedemikian," katanya.

Cik Kohe, yang juga anggota lembaga Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), juga berharap pengiktirafan yang diterima akan menggalak lebih ramai peguam wanita muda terus gigih berusaha dan kekal dalam kerjaya ini.

Ini meskipun kerjaya ini amat mencabar dan terdapat ketidakseimbangan dari segi jumlah rakan kongsi kanan lelaki dalam firma guaman berbanding wanita.