
SEORANG pekerja binaan maut selepas beliau terjatuh dari ketinggian sekitar 4 meter ketika melakukan kerja kalis air di atas bumbung, sekali gus menjadikannya kematian keenam di tempat kerja pada 2023.
Warga Bangladesh berusia 33 tahun itu terjatuh sekitar 9 pagi di 2 Marsiling Lane pada Ahad, kata jurucakap Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Jumaat (3 Mac).
Beliau dibawa ke Hospital Khoo Teck Puat, sebelum disahkan meninggal dunia akibat kecederaannya pada Rabu lalu.
MOM berkata ia mendapati terdapat kesilapan dalam amalan keselamatan syarikat Guan Teck Construction 2000, majikan pekerja dan penghuni tapak di mana beliau meninggal dunia.
Sejak kejadian itu, MOM telah menghentikan syarikat itu daripada mengambil pekerja asing baru selama tiga bulan, dan pengurusan serta kakitangan keselamatannya perlu memberi keterangan secara peribadi atas kemalangan itu kepada MOM
MOM juga menyatakan tindakan lanjut boleh diambil, bergantung kepada kesimpulan siasatan penuh.
"Kami akan terus mengambil tindakan tegas ke atas syarikat yang gagal melaksanakan langkah-langkah yang perlu demi memastikan keselamatan para pekerja mereka," menurut MOM.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg