PEKERJA dan syarikat platform harus digalak membuat sumbangan kepada Tabung Simpanan Pekerja (CPF), dengan pekerja pada masa yang sama memerlukan pelan insurans dan simpanan kesihatan demi memastikan mereka mempunyai simpanan mencukupi bagi persaraan dan keperluan kesihatan.
Demikian antara lima saranan dalam satu laporan kajian Institut Kajian Dasar (IPS) mengenai golongan pekerja itu yang dikongsi dalam forum mengenai pekerja platform yang diadakan secara maya semalam.
Kajian, yang melibatkan hampir 1,000 pekerja platform, itu juga merumuskan para pekerja itu berisiki terperangkap dalam kemiskinan dan ketidaktentuan sekiranya tiadalangkah konkrit diambil untu memelihara kebajikan mereka.
Menurut kajian IPS itu, pekerja platform kekurangan simpanan dan mengalami tekanan dari segi kewangan.
Malah, 84 peratus daripada mereka risau tentang kecukupan persaraan manakala 88 peratus bimbang tentang sama ada mereka mempunyai simpanan mencukupi ataupun tidak bagi kecemasan perubatan.
Kira-kira separuh pemandu yang ditinjau tidak membuat sebarang sumbangan CPF secara sukarela, dan hanya 16 peratus menyumbang 10 peratus atau lebih daripada pendapatan mereka.
Saranan lain yang diketengahkan dalam laporan itu termasuk menyediakan dasar waktu rehat untuk pemandu.
Ini kerana pekerja platform biasanya perlu membanting tulang bekerja tempoh lama untuk mengejar insentif supaya dapat meraih gaji lebih tinggi.
"Bekerja bertungkus lumus akan meninggalkan kesan ke atas kehidupan mereka, lebih-lebih lagi kesihatan mereka dan bahaya yang mereka hadapi di jalan raya," menurut laporan kajian itu.
Laporan itu turut menyarankan bantuan diberikan kepada pekerja platform agar menukar kepada kerjaya baru, memandangkan pekerjaan platform boleh menghambat mobiliti kerjaya jangka panjang pekerja.
"Pekerjaan itu mengambil masa daripada membina set kemahiran untuk membangunkan sebuah kerjaya, dan mereka yang lebih berpendidikan mungkin mendapati ia lebih sukar beralih kepada pekerjaan yang memanfaatkan modal manusia yang dibina secara tetap," kata laporan itu.
Saranan lain yang dikemukakan termasuk kempen mendidik pekerja platform mengenai hakikat pekerjaan tersebut serta menyepadukan prasarana sedia ada dan kerja penghantaran makanan bagi mewujudkan sekitaran lebih selamat untuk semua.
Menyusuli perkongsian dapatan dan saranan tersebut, satu sesi perbincangan panel turut diadakan.
Amggota panel terdiri daripada dekan dan Profesor Li Ka Shing dalam Ekonomi daripada Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew; Profesor Danny Quah; pengurus besar Gojek, Encik Lien Choong Luen; Profesor Madya Irene Ng daripada Pusat Kajian Perkhidmatan Sosial, Universiti Nasional Singapura (NUS); zamil kajian utama dan ketua Social Lab IPS, Dr Mathew Mathews; serta moderator, penasihat akademik Social Lab, Profesor Madya Tan Ern Ser.
Antaranya, mereka menyentuh tentang isu perlindungan bagi pekerja platform di bawah undang-undang pekerjaan.
Profesor Madya Ng berkata dengan revolusi digital yang sedang berlaku kini, perlu ada usaha memikirkan semula bagaimana undang-undang pekerjaan boleh meliputi aturan pekerjaan tidak standard dan berdasarkan platform yang semakin meningkat.
"Jika pekerja platform boleh menjadi sebahagian daripada undang-undang pekerjaan ini, mereka akan mempunyai CPF, mereka akan mempunyai waktu rehat yang dikuatkuasakan," katanya.
Profesor Quah, yang juga merupakan naib pengerusi Jawatankuasa Penasihat mengenai Pekerja Platform yang meneliti cara memperkukuh perlindungan bagi golongan pekerja itu, pula berkata sebahagian cabarannya adalah pekerja platform bukanlah kakitangan biasa - mereka adalah rakan platform dan oleh itu, tidak diliputi Akta Pekerjaan.
Meskipun mereka terbuka meneliti cara berbeza untuk melindungi golongan pekerja itu dari segi dasar, buat masa ini mereka sedang melihat adakah penyesuaian diperhalusi yang memberi tumpuan pada ciri-ciri khusus pekerja platform adalah sesuatu yang lebih baik demi kemampanan industri dan juga kesejahteraan pekerja. - Laporan tambahan IRMA KAMARUDIN


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg