Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pekerja selenggara landskap bakal naik gaji minimum purata 6.3% setahun

Aug 21, 2021 | 05:30 AM



PEKERJA penyelenggaraan landskap boleh menikmati kenaikan gaji asas minimum sebanyak 6.3 peratus setahun secara purata - antara $100 dengan $165 - sepanjang tempoh enam tahun, dari 2023 hingga 2029.



Ini menyusuli usulan oleh sebuah jawatankuasa tiga pihak berhubung tangga gaji industri landskap yang diterima oleh pemerintah semalam.



Lebih 3,000 pekerja landskap warga dan penduduk tetap (PR) Singapura dari 358 syarikat boleh menikmati kenaikan gaji itu dari 1 Julai 2023 hingga 30 Jun 2029.



Kenaikan itu juga lebih seganda berbanding kenaikan gaji sebanyak 3 peratus setahun yang diumumkan pada 2018, daripada saranan kepada Model Gaji Progresif (PWM) bagi industri tersebut sebelum ini.



PWM merupakan tangga yang menetapkan gaji minimum dan keperluan latihan bagi pekerja di tahap kemahiran yang berbeza.



Kenaikan gaji terkini itu merupakan antara saranan oleh Kelompok Tiga Pihak bagi Industri Landskap (TCL), yang merangkumi wakil pemerintah, kesatuan sekerja serta penyedia dan pembeli khidmat penyelenggaraan landskap.



Kelompok itu mengusulkan saranan mereka menyusuli semakan PWM terkini.



Ini merupakan sebahagian usaha bagi memastikan gaji dalam industri itu dapat meningkat sejajar kemahiran, daya penghasilan dan tanggungjawab pekerja dalam sektor tersebut.



Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Pertahanan) Zaqy Mohamad berkata semakan kenaikan gaji hingga lebih seganda berbanding yang disarankan sebelum ini membawa satu mesej baru.



“Kami ingin menyatakan bahawa pembeli khidmat dan pengguna juga mempunyai peranan untuk dimainkan.



“Apa yang berubah ialah dengan keyakinan itu, kita harus meneruskan usaha ini dan meninjau bagaimana kita boleh menyokongnya dengan lebih baik,” ujar beliau kepada media menerusi satu sidang media dalam talian selepas lawatannya ke Gardens By The Bay semalam.



Beliau menambah bahawa tahap awal apabila PWM baru diperkenal membolehkan mereka memahami bagaimana kesannya.



“Majikan memerlukan masa juga pada tahap awal untuk melihat bagaimana ini menjejas perniagaan mereka,” ujar Encik Zaqy. “Kesatuan sekerja melihat ini daripada perspektif pekerja, majikan melihatnya daripada sudut pandangan industri dan perusahaan, dan melihat apakah gaji ini dapat diserap dalam tempoh enam tahun.”



PWM merupakan keperluan wajib bagi syarikat landskap untuk disertakan dalam Daftar Syarikat Landskap sejak 2016.



Penyedia khidmat landskap perlu mempunyai status Daftar Syarikat Landskap selama dua tahun berturut-turut untuk mendapatkan kontrak pemerintah atau layak bagi pembaharuan.



Encik Zaqy berkata dalam sektor lain yang melaksana PWM, termasuk pembersihan dan keselamatan, jumlah pekerja tempatan bertambah apabila gaji naik.



“Mereka melihat prospek dan kemajuan kerjaya,” ujarnya.



TCL turut menyarankan agar diperkenal laluan pakar di bawah tangga kerjaya PWM, sebahagian usaha memprofesionalkan sektor tersebut dan menarik pekerja baru dan lebih muda.



Dua peranan baru – pakar landskap dan pakar landskap kanan – diperkenal untuk menggalak warga dan Penduduk Tetap (PR) Singapura muda menimbangkan menyertai industri landskap.



TCL berkata dua peranan baru itu akan dilaksana mulai 2023.



Timbalan Setiausaha Kehormat Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (Snef), Encik Felix Loh, akur bahawa cabaran tenaga kerja yang menua dalam industri tersebut, dengan usia median pekerja landskap ialah 60 tahun.



Beliau, yang juga ketua eksekutif Gardens by the Bay, berkata beberapa operasi perlu diautomasikan bagi menambah produktiviti dan kemahiran lebih tinggi diperlukan bagi tujuan itu.



Dalam pada itu, pemerintah turut menerima saranan ketiga yang diusulkan TCL, iaitu meningkatkan keperluan latihan mandatori bagi semua pekerjaan landskap di bawah tangga kemahiran PWM mulai 1 Julai 2023.



Menerusi satu kenyataan bersama mereka, Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan Lembaga Taman Negara (NParks) berkata ini akan memastikan latihan yang mencukupi di setiap peringkat pekerjaan dan menggalak pekerja terus mempertingkat kemahiran sedang mereka mendaki tangga kerjaya mereka.



Selain mengusulkan menaikkan gaji dan merapatkan jurang pendapatan antara pekerja landskap dengan pekerja lain di Singapura, TCL juga berharap warga Singapura akan mengiktiraf industri landskap sebagai sektor perkhidmatan penting.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >