Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pelajar SJI ajar warga emas guna Baucar CDC secara digital

Jan 20, 2023 | 05:30 AM



MULA-MULA keliru namun selepas menyedari manfaat menuntut dan menggunakan Baucar CDC secara digital, kebanyakan mereka gembira dan lebih bersedia untuk mencuba.



Ini yang memberi kepuasan kepada Mohamad Sufi Anaqi Mohamad Shaleem, 16 tahun, apabila beliau turun padang mengajar golongan warga emas cara untuk menggunakan baucar itu secara digital sebelum ini.



Menyusuli pelancaran Baucar CDC 2023 oleh Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong awal bulan ini, pelajar menengah empat St. Joseph's Institution itu sekali lagi tampil mendamping golongan warga emas ini dan mengajar mereka cara untuk menggunakan baucar itu secara digital.



Beliau merupakan antara lebih 400 pelajar St. Joseph's Institution dan Raffles Institution yang turun padang membantu warga emas dan warga yang kurang mahir menggunakan wadah digital, untuk belajar cara menggunakan baucar digital CDC mereka di kelab masyarakat tertentu dalam dua minggu pertama selepas Baucar CDC 2023 itu dilancarkan.



"Walaupun pada mulanya mereka berkata prosesnya rumit, kami cuba menunjukkan kepada mereka bahawa ia sebenarnya mudah dengan mengajar mereka dengan perlahan, langkah demi langkah.



"Saya rasa sesi ini berbaloi juga apabila kami tunjukkan kepada mereka manfaat menuntut baucar itu secara digital berbanding fizikal.



"Misalnya, kalau dituntut secara digital, baucar ini tidak boleh hilang dan mereka juga boleh kongsi baucar ini bersama anggota keluarga lain menerusi wadah perhubungan seperti WhatsApp," ujar Sufi sambil menambah, warga emas itu lebih terbuka untuk mencuba selepas menyedari manfaatnya.



Di bawah Skim Baucar CDC 2023, isi rumah warga Singapura boleh menggunakan separuh daripada baucar berjumlah $300 untuk berbelanja di sekitar 20,300 gerai penjaja dan kedai kejiranan yang menyertai skim tersebut.



Baki $150 daripada baucar $300 itu boleh digunakan di lebih 300 cawangan pasar raya NTUC FairPrice, Sheng Siong, Prime Supermarket, HAO Mart dan U Stars Supermarket.



Ini kali pertama Baucar CDC boleh digunakan di pasar raya sejak baucar itu diberikan kepada semua isi rumah warga Singapura pada 2021.



Dengan ciri baru itu, Sufi juga perlu mengubah pendekatannya untuk menerangkan skim itu dengan berkesan kepada warga emas yang didampinginya.



"Saya dapati mereka dapat memahami dengan lebih baik apabila saya kaitkan jenis baucar dengan warna atau ikon.



"Sebagai contoh, baucar yang boleh digunakan di pasar raya berwarna kuning manakala baucar yang boleh digunakan di kedai kejiranan dan gerai penjaja berwarna biru.



"Apabila saya menerangkan perbezaan warna seperti ini, mereka lebih mudah untuk faham," ujarnya.



Tambahnya, beliau juga diberi tanggungjawab menyiapkan dokumen yang mengandungi terjemahan bahasa Melayu bagi beberapa perkataan dan frasa yang lazim digunakan untuk membantu rakannya yang lain yang tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu semasa mereka mendekati warga emas ini.



Menurut Sufi, dokumen itu turut mengandungi rakaman suaranya untuk membantu rakannya menyebut perkataan dalam bahasa Melayu itu dengan tepat.



"Walaupun sumbangan saya ini kecil, saya berharap ia dapat terus memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan.



"Saya percaya kecelikan digital merupakan kemahiran penting yang harus dimiliki semua orang.



"Lebih daripada mengetahui cara untuk menuntut Baucar CDC ini secara digital, sikap terbuka menggunakan teknologi juga akan mempertingkat mutu kehidupan ramai orang dan kemajuan kita dalam bidang teknologi tidak bermakna warga emas kita harus ketinggalan," ujarnya.




Saya percaya kecelikan digital merupakan kemahiran penting yang harus dimiliki semua orang.



"Lebih daripada mengetahui cara untuk menuntut Baucar CDC ini secara digital, sikap terbuka menggunakan teknologi juga akan mempertingkat mutu kehidupan ramai orang dan kemajuan kita dalam bidang teknologi tidak bermakna warga emas kita harus ketinggalan."



- Mohamad Sufi Anaqi, pelajar SJI.




BAUCAR CDC 2023



Setiap isi rumah warga Singapura akan menerima Baucar CDC berjumlah $300:



- $150 untuk digunakan di gerai penjaja dan kedai kejiranan yang mengambil bahagian



- $150 untuk digunakan di pasar raya yang mengambil bahagian



- Baucar CDC 2023 perlu digunakan selewat-lewatnya 31 Disember 2023.



Cara Tuntut Baucar CDC 2023:



1) Layari go.gov.sg/cdcv dan klik pada 'CDC Vouchers 2023' (Baucar CDC 2023).



2) Log masuk dengan Singpass; hanya seorang anggota isi rumah perlu melakukannya bagi pihak isi rumah itu.



3) Dapatkan pautan Baucar CDC anda melalui SMS; hantar pautan itu kepada anggota isi rumah lain untuk kongsi baucar itu dengan mereka.



Cara Gunakan Baucar CDC 2023:



1) Pilih baucar yang ingin digunakan - bagi gerai penjaja dan kedai kejiranan atau bagi pasar raya.



2) Pilih jumlah untuk digunakan dan kemudian klik 'Show voucher' (Tunjuk baucar).



3) Tunjuk kod QR kepada penjaja, pekedai atau juruwang; mereka akan mengimbas kod QR itu bagi bayaran.



Jika anda tidak mempunyai telefon bijak, Singpass atau memerlukan bantuan, kunjungi kelab masyarakat yang terdekat atau hubungi talian Persatuan Rakyat (PA) di 6225-5322.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >