PELAJAR yang diberi cuti ketidakhadiran (LOA) setelah berhubung rapat dengan kes Covid-19 akan dibenarkan untuk menduduki peperiksaan nasional jika pelajar itu diuji negatif dalam ujian pantas antigen (ART).

Ini dengan syarat mereka tidak dalam situasi sedang menantikan arahan kuarantin (QO). Mereka juga harus mengambil ART di sekolah atau di tempat peperiksaan setiap dua hari sehingga tempoh LOA itu tamat.

Langkah ini sebahagian daripada aturan dikemas kini bagi peperiksaan nasional, kata Kementerian Pendidikan (MOE) dan Lembaga Peperiksaan dan Penilaian Singapura (SEAB) dalam kenyataan bersama pada Sabtu (28 Ogos).

Langkah tersebut akan membolehkan seberapa ramai mungkin pelajar untuk mengambil kertas peperiksaan sambil memastikan keselamatan pelajar dan kakitangan lain.

Peperiksaan nasional bertulis untuk hujung tahun akan bermula 15 September ini, bermula dengan Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat 'N', dan berakhir dengan GCE Peringkat 'A'.

Individu yang diberi LOA kerana tinggal dengan orang yang telah diberi arahan kuarantin atau menjalani notis jangan keluar rumah (SHN) akan dibenarkan untuk mengambil kertas peperiksaan nasional itu jika ART mereka negatif. Mereka juga harus menjalani ujian itu secara kerap.

Mereka yang diberi Ketidakhadiran yang Diluluskan (Approved Absence atau AA) kerana tinggal serumah dengan individu berusia enam tahun ke atas yang mempunyai gejala seperti selesema dan sedang menantikan keputusan ujian reaksi rantai polimerase (PCR) juga dibenarkan mengambil kertas peperiksaan jika keputusan ART yang diambil sekali adalah negatif.

Sama seperti tahun lalu, pelajar yang disahkan positif Covid-19, diberi QO atau SHN, tidak akan dibenarkan untuk menduduki peperiksaan nasional.

"Calon yang terlepas menduduki peperiksaan nasional dengan sebab munasabah boleh memohon bagi pertimbangan khas.

"Dalam memberikan gred untuk calon terjejas, SEAB akan mempertimbangkan pelbagai sumber bukti, seperti prestasi calon dalam kertas lain dan prestasi kohort sekolah dalam peperiksaan nasional dan berdasarkan sekolah bagi subjek terjejas itu, untuk memastikan penilaian yang adil," kata MOE dan SEAB.