DISEBABKAN penyakit kencing manis yang dihidapinya sekitar 10 tahun lalu, penglihatan Encik Muhammad Idris tidak begitu jelas.
Masalah penglihatan memang sering dikaitkan dengan penyakit tersebut, lebih-lebih lagi jika seseorang itu menjangkaui usia senja.
Justeru, Encik Muhammad, 62 tahun, tidak begitu khuatir tentang masalah itu selagi beliau kerap menjalani pemeriksaan di hospital.
"Pada usia seperti saya kini, memang lumrah untuk kami menghidap beberapa masalah kesihatan.
"Mujur saya ada isteri saya yang menitik beratkan tentang kesihatan keluarga," kata beliau.
Malah isterinya, Cik Zainab Abdullah, yang menggalak beliau untuk menjalani pemeriksaan tambahan. Ini selepas mereka menerima kunjungan dari Duta Generasi Perak (SGA) yang telah menyampaikan serta memberi perkongsian tentang skim sokongan.
Inisiatif ini diperkenalkan agar warga senja tahu di mana mampu mendapatkan bantuan seperti kesihatan sekiranya diperlukan.
Tertarik dengan apa yang telah dikongsikan, kedua-dua Encik Abdullah dan Cik Zainab menaruh minat mereka untuk mendapatkan Pemeriksaan Fungsi di tempat-tempat berdekatan.
Kementerian Kesihatan (MOH) telah berkerjasama dengan Yayasan Temasek serta badan perniagaan masyarakat untuk membawa Pemeriksaan Fungsi kepada warga senja menerusi Projek Pemeriksaan Warga Emas (PSS).
Sasaran Pemeriksaan Fungsi yang menawarkan pemeriksaan mata, telinga serta deria rasa, ialah warga emas penduduk Singapura berusia 60 tahun ke atas.
Menerusi PSS, yang sering diadakan di lokasi berbeza di serata negara seperti, kelab masyarakat, pusat kegiatan warga emas dan pusat jawatankuasa penduduk, warga emas yang memerlukan alat bantuan akan dihubungkan dengan khidmat jagaan relevan dalam masyarakat dan mempunyai akses bagi mendapatkan kaca mata, alat pendengaran dan gigi palsu yang dimampui.
Ini kemudian akan dapat menyokong mereka menjalani masa-masa tua dengan selesa bersama masyarakat.
Bagi pasangan yang mempunyai empat cucu itu, mereka telah mendapatkan Pemeriksaan Fungsi mereka di Wisma Geylang Serai, yang berdekatan dengan rumah mereka, pada Julai lalu.
Dari pemeriksaan itulah, Encik Muhammad menyedari bahawa beliau juga mempunyai masalah pendengaran yang kurang jelas di telinga kirinya.
Beliau juga dimaklumkan tentang masalah giginya selain diberi tunjuk ajar bagaimana untuk menjaga dan membersihkannya dengan lebih baik.
"Memang kalau tidak kerana pemeriksaan ini semua, mungkin saya tidak akan tahu tentang masalah pendengaran yang saya hadapi sekarang.
"Mereka juga menasihatkan saya untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut tentang masalah pendengaran saya di Hospital Tan Tock Seng," jelas Encik Muhammad yang juga masih mendapatkan pemeriksaan bagi penyakit kencing manis di Poliklinik Bedok setiap tiga minggu sekali.
Bukan sekadar berasa puas hati dengan khidmat yang disediakan, Encik Muhammad dan Cik Zainab juga kejut dengan bayaran yang dikenakan.
Tiada bayaran dikenakan bagi pemegang kad Generasi Perintis (PG), $2 bagi kad Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (Chas) berwarna biru atau jingga dan $5 bagi pemegang kad Chas hijau serta semua penduduk lain.
Oleh itu, Cik Zainab, 65 tahun, bukan sahaja menggalak suaminya untuk mendapatkan Pemeriksaan Fungsi ini, malah kaum keluarga serta rakan-rakannya yang lain.
"Saya suka kongsikan kepada mereka tentang perkara-perkara yang baik dan dapat memanfaatkan kita, terutama jika ia mengenai kesihatan.
"Pada usia ini, penting untuk kami sentiasa menitik beratkan dan tidak mengambil sikap sambil lewa tentang kesihatan.
"Jadi apalah bayaran $2 yang dikenakan jika hendak dibandingkan dengan tahap kesihatan kita yang lebih utama." ujar Cik Zainab.
Pemeriksaan Fungsi berbeza daripada pemeriksaan penyakit kronik yang menilai risiko kardiovaskular (seperti kencing manis, kadar kolesterol dan tekanan darah tinggi).
Orang ramai perlu berpuasa sebelum menjalani pemeriksaan penyakit kronik. Bagaimanapun, tidak begitu bagi Pemeriksaan Fungsi.
Bagi mereka yang berminat, anda boleh lungsuri lama www.projectsilverscreen.sg.
Anda juga boleh hubungi talian 'hotline' Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC) di 1800 650 6060, Isnin hingga Jumaat dari 8.30 pagi hinnga 8.30 malam atau Sabtu dari 8.30pagi hingga 4 petang. Tidak termasuk cuti awam.
"Memang kalau tidak kerana pemeriksaan ini semua, mungkin saya tidak akan tahu tentang masalah pendengaran yang saya hadapi sekarang. Mereka juga menasihatkan saya untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut tentang masalah pendengaran saya di Hospital Tan Tock Seng."
- Encik Muhammad Idris, 62 tahun.