Topic followed successfully
Go to BHkuPemimpin dan masyarakat harus pupuk hubungan rapat dengan belia: Faishal
Pemimpin dan masyarakat harus pupuk hubungan rapat dengan belia: Faishal
Pemimpin dan masyarakat harus pupuk hubungan rapat dengan belia: Faishal
SINGAPURA mesti terus bekerja rapat dengan pemimpin dan anggota masyarakat agama yang berlainan untuk menjalin dan memupuk hubungan dengan golongan belia, kata Menteri Negara (Pembangunan Negara merangkap Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Dr Faishal berkata ancaman radikalisasi dalam talian terus menjadi satu keprihatinan, dan pemimpin agama perlu membantu penduduk memahami sifat sebenar ideologi pengganas.
Tambahnya, ideologi kumpulan pengganas seperti ISIS harus ditentang secara doktrin yang perlu datang daripada ilmiah agama.
Namun, usaha itu memerlukan kerjasama daripada setiap pihak termasuk pemerintah, pemimpin agama dan masyarakat.
Dr Faishal berkata demikian ketika berucap di Muktamar Ulama 2021 anjuran Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) semalam.
"Pemerintah tidak boleh berusaha bersendirian. Kami perlu bekerjasama dengan pemimpin masyarakat dan agama untuk mencipta huraian bersama, dan saya rasa lebih banyak yang boleh kita lakukan.
"Sementara saya menggalak kita untuk terus mengadakan perbincangan serupa pada masa depan, kita juga harus terus mendapatkan penyertaan aktif dan maklum balas masyarakat. Dengan itu, barulah kita dapat benar-benar memahami betapa beratnya cabaran yang kita hadapi," kata beliau.
Lebih 80 asatizah, pakar dalam pelbagai sektor seperti kajian, madrasah dan khidmat sosial serta pihak berkepentingan lain menyertai persidangan Muktamar Ulama 2021 yang diadakan di dua lokasi berbeza di ibu pejabat Pergas dan Expo Max Atria.
Tahun ini, persidangan besar itu membincangkan isu-isu kontemporari dan rumit seperti keganasan keluarga, LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender), 'pengaraban' atau Arabisation, dan kepimpinan bukan Islam bagi masyarakat minoriti Islam.
Dr Faishal berkata isu sosioagama kini semakin rumit, dengan konsep peranan jantina yang berubah, perubahan dalam norma sosial dan cabaran berkaitan dengan tsunami digital yang berlaku memerlukan bimbingan agama yang mendalam.
Beliau menambah bahawa asatizah di sini semakin diharap dapat memberikan bimbingan dalam perihal di luar batasan agama.
Namun, beliau berkata pelbagai usaha telah dijalankan untuk menangani isu rumit, seperti keganasan keluarga.
Misalnya, semasa Simposium Undang-Undang Keluarga Islam pada 2019, beliau mengumumkan bahawa latihan dalam kerja sosial dan kaunseling akan disediakan buat asatizah yang ingin meraih kemahiran yang diperlukan untuk mengambil langkah-langkah awal dan proaktif bagi mencegah keganasan keluarga dan bukan hanya untuk memperbetulkan keadaan.
"Selain asatizah, masyarakat kita juga meraih manfaat daripada kehadiran karyawan Islam yang bekerjasama bagi tujuan ini. Saya gembira bahawa kita terus menjalankan peranan sebagai pemimpin masyarakat dan membantu di mana saja kita boleh dalam mengakhiri keganasan keluarga.
"Marilah kita menjadi contoh baik yang melayani keluarga kita dengan rasa hormat, perhatian dan kasih sayang," kata beliau.

