Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

BERITA

Penerima biasiswa MND-URA impi reka seni bina demi manfaat masyarakat

Jul 11, 2023 | 05:03 PM



Beliau sudah didedahkan dengan dunia seni rekaan pada usia semuda sembilan tahun apabila mengikut bapanya, seorang guru Rekaan dan Teknologi (D&T) ke bengkel sekolah.

Terpegun dengan hasil kerja pertukangan serta perabot kecil yang dihasilkan bapanya di bengkel tersebut, beliau mula ‘jatuh cinta’ kepada bidang seni.

Lama-kelamaan, Encik Zikry Nasrullah Zairul Azidin mendapati dirinya meluangkan masa lapang beliau dengan melukis monumen setempat seperti Galeri Nasional Singapura serta Masjid Sultan, dan akhirnya menemui minatnya, iaitu dalam bidang seni bina.

Pada Selasa, pemuda berusia 23 tahun itu merupakan salah seorang daripada 30 individu yang dianugerahkan biasiswa di bawah program Pembangunan Eksekutif dan Pertukaran Pembangunan (EDGE) Kementerian Pembangunan Negara (MND). Malah, beliau merupakan satu-satunya penerima biasiswa Melayu 2023.

Program EDGE adalah projek pengembangan bakat secara bersama dilaksanakan oleh MND dan lembaga berkanun utama di bawahnya.

Siswazah yang telah melalui EDGE boleh menjangkakan laluan kerjaya bermakna dengan MND yang menyediakan banyak peluang untuk membentuk dasar bagi memajukan Singapura, kepentingan nasional dan menjadikan negara ini kediaman dan bandar sejagat yang istimewa.

Meluahkan kesyukuran, Encik Zikry, mahasiswa tahun kedua Sarjana Muda Seni dalam Seni Bina di Universiti Nasional Singapura (NUS), berkata beliau mahu menyepadukan kehidupan semula jadi bersama bandar dan pada masa yang sama menangani keprihatinan berkaitan ruang tanah Singapura yang terhad serta perubahan iklim.

Penerima Biasiswa Mahasiswa Pertengahan Penggal Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) itu berkata:

“URA melakukan perancangan pada skala bandar, dan saya ingin menyumbang kepada projek akan datang seperti Greater Southern Waterfront.

“Secara peribadi, saya ingin menyumbang kepada sektor pemuliharaan pada masa depan. Sektor pemuliharaan adalah penting kerana ia memelihara warisan negara, contohnya budaya rumah kedai, yang merupakan minat saya. Saya ingin generasi akan datang menghargainya juga.”

Menurut Encik Zikry, permohonan pertamanya bagi biasiswa tersebut ditolak.

Walaupun kecewa, beliau bangkit kembali dan semakin berusaha gigih untuk mendedahkan dirinya dengan lebih kepada bidang seni bina dan melibatkan diri dalam acara anjuran URA seperti Forum Perancang Muda.

Usahanya ternyata berbaloi, dan Encik Zikry kini semakin dekat dengan cita-citanya untuk menjadi seorang jurubina.

“Biasiswa ini akan membantu ibu bapa saya dari segi kewangan kerana mereka juga sedang menyara adik-beradik saya yang lain.

“Saya bekerja sambilan sewaktu sekolah untuk membantu dalam pembiayaan universiti saya justeru biasiswa ini akan membolehkan saya menumpukan perhatian kepada pendidikan saya,” ujar anak kedua tiga beradik itu.

Harapannya adalah untuk mereka seni bina yang dapat dimanfaatkan serta dinikmati masyarakat kelak.

“Seni bina adalah bidang yang membuat orang ramai terhubung. Sekitaran binaan merupakan peluang untuk mewujudkan landskap lebih baik buat semua, dan untuk semua orang menikmati kehidupan yang lebih baik,” tambahnya.







Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, dalam ucapannya sewaktu majlis penyampaian biasiswa di MND pada Selasa berkata bahawa perancangan tanah jangka panjang adalah penting, memandangkan Singapura berdepan dengan cabaran seperti perubahan iklim, ruang tanah yang terhad serta penduduk Singapura yang semakin menua dan pelbagai.

“Mempelajari daripada pengajaran Covid-19, kami sedang terus berusaha dalam transformasi pembinaan, untuk memperbaiki produktiviti tenaga kerja pembinaan dan menjadikan ia lebih berdaya tahan,” ujarnya yang menambah bahawa terdapat tumpuan terhadap pendigitalan dan automasi.

Beliau juga berkata Singapura bermatlamat menjadi bandar lebih hijau, yang menyepadukan alam semula jadi bersama bandar.

Justeru, beliau berharap penerima biasiswa dapat mengasah kemahiran analitik mereka dan mengalu-alu sumbangan mereka untuk melakar dasar baik.

Dalam pada itu, penting bagi mereka untuk memikirkan tentang generasi akan datang, bekerjasama dengan pelbagai agensi serta domain dan menjalinkan hubungan kukuh bersama orang awam.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >