Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pengalaman silam bukan halangan buat perubahan baiki kehidupan

Kisahnya dibukukan dan diharap jadi iktibar kepada belia lain yang hadapi masalah serupa
Aug 13, 2023 | 05:30 AM



Kesedaran yang dirasakan semasa mencari pekerjaan selepas menjalani perkhidmatan negara sudah cukup untuk membuat Encik Muhammad Amin Halim menyesali laluan hidup dalam zaman remajanya.

Ia juga membuat beliau mengorak langkah membaiki diri.

Menurut Encik Muhammad Amin, pada usia 15 tahun, beliau terjebak dengan pengaruh tidak sihat seperti merokok dan penyalahgunaan bahan inhalan yang mudah diperolehi.

Ia didorong perasaan “ingin tahu” dan seronok semasa bergaul dengan rakan-rakan pelajar yang memberi pengaruh tidak baik.

Tidak berasa takut sekiranya ditangkap, beliau malah berasa berani melakukan perkara-perkara terlarang.

“Ketika itu saya anggap diri sebagai seorang ‘rebel’ dan tidak suka dengar nasihat.

“Pelajaran saya semakin terjejas dan saya mula habiskan sebahagian besar masa saya hanya bergaul dengan rakan-rakan.

“Daripada memikirkan tentang kerja sekolah, fikiran saya sering melayang, memikirkan bagaimana mendapatkan simpanan rokok untuk minggu seterusnya,” kata Encik Muhammad Amin, kini berusia 28 tahun.

Dengan minat terhadap pelajaran terus merosot, beliau juga tidak memberi banyak tumpuan terhadap masa depannya atau tentang pekerjaan yang ingin diceburi.

Baginya, selagi beliau mampu mendapat pekerjaan dengan gaji yang dapat mengekalkan gaya hidupnya itu, ia sudah memadai.

Encik Amin juga enggan mendengar nasihat ibu bapanya yang meletakkan harapan untuk melihat anak kedua mereka daripada tiga beradik itu berjaya.

“Ibu bapa saya meletak harapan tinggi terhadap saya kerana ketika di sekolah menengah saya berada di aliran Ekspres.

“Mereka mahu saya melanjutkan pelajaran di politeknik dan mengambil kursus yang boleh menjamin masa depan.

“Saya berasa ia satu tekanan berat dan membuat saya hilang minat terhadap sekolah dan pelajaran,” tambahnya.

Selepas bekerja sebagai pelayan jamuan hotel dan mendapat gaji pertamanya sekitar $7 hingga $8 sejam pada usia 16 tahun, Encik Muhammad Amin memutuskan untuk tidak meneruskan pelajaran selepas peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘O’ hanya lulus dua mata pelajaran.


Tarikan bekerja terlalu kuat kerana pendapatan yang diperolehi membuatnya lebih terdorong untuk terus bekerja.

Namun, pandangannya berubah selepas beliau selesai menjalani Perkhidmatan Negara (NS). Rasa kesal mula menyelinap selepas usaha mendapat pekerjaan sepenuh masa yang baik berkali-kali gagal.

Dengan latar belakang pendidikannya, beliau mula sedar bahawa tidak ada banyak pekerjaan yang sesuai.

Beliau juga berasa dengan kelayakan itu, peluang pekerjaan yang terbuka merupakan pekerjaan yang “boleh dilakukan sesiapa sahaja”.

Pada usia 22 tahun, Encik Muhammad Amin membuat keputusan kembali ke sekolah dan diterima mengikuti pengajian Higher Nitec dalam Pengurusan Perkhidmatan di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Barat.

Langkah itu mengubah laluan hidupnya.

“Saya tidak akan berada di mana saya berada sekarang jika saya tidak ambil keputusan untuk kembali ke sekolah ketika itu,” tambahnya yang kini bekerja sebagai penolong pengurus di sebuah syarikat pengangkutan.

Beliau berasa bahawa sokongan berterusan daripada keluarga, terutama bapanya, adalah penting dalam membina keyakinan diri mengharungi fasa yang sukar.

Sokongan itu membuat beliau memasang tekad untuk menamatkan pengajian di ITE dengan cemerlang supaya dapat pekerjaan sesuai dan membantu menyokong keluarganya.

Kini dengan sijil Nitec Tinggi dalam genggaman dan mengikuti beberapa kursus di Hab Pembelajaran NTUC, Encik Muhammad Amin melakar impian dan matlamat untuk dirinya sendiri.

Selepas bekerja dalam industri dan beberapa syarikat keselamatan selama beberapa tahun, beliau berhasrat menubuhkan syarikat keselamatannya sendiri suatu hari kelak.

Encik Muhammad Amin berharap pengalaman hidupnya menjadi iktibar kepada belia lain yang mungkin menghadapi masalah serupa, menerusi kisah yang beliau kongsi dalam buku ‘Gems in the Rough: 20 stories of struggle and triumph from Singaporean youths’ oleh SG Stories of Youth.

Buku yang bakal dilancarkan pada 26 Ogos di Temasek Shophouse merakamkan perjuangan harian dan kejayaan 20 belia Singapura. Ia bertujuan meningkatkan kesedaran di samping merapatkan jurang maklumat antara belia, pendidik dan ibu bapa.

Mengenai buku itu, Encik Muhammad Amin berkata ia satu inisiatif yang sangat baik.

“Saya telah membaca beberapa cerita yang disumbangkan. Sungguh mengharukan melihat bagaimana rakyat Singapura biasa seperti kita dapat menyumbang kembali dalam membuat perubahan di sini.

“Saya sangat berharap belia kita di luar sana berpeluang membaca semua cerita ini dan mungkin memberi mereka inspirasi untuk mengubah atau membuat pilihan yang lebih baik dalam hidup mereka,” ujar beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >