Walaupun wabak Covid-19 telah memaksa kebanyakan agensi serta tempat kerja untuk lebih mengamalkan kemudahan digital dalam melaksanakan tugas seharian, bagaimana pula dengan latihan yang diberi kepada pegawai penguatkuasaan agensi di bawah Home Team? Ternyata, terdapat beberapa individu yang telah memanfaatkan teknologi serta ciri-ciri alam maya untuk mempertingkatkan taraf latihan yang diberikan kepada pelatih pegawai penguatkuasaan. BERITA HARIAN (BH) telah menemui pegawai daripada Polis Pengawal Pantai (PCG) dan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) baru-baru ini yang telah mencipta sistem pembelajaran yang lebih holistik bagi pelatih kursus penguatkuasaan dengan menggunakan teknologi.
JIKA sistem simulasi latihan dilengkapkan dengan pakej pembelajaran yang berkesan oleh jurulatih yang bertauliah, latihan simulasi bakal menjadi lebih realistik daripada latihan fizikal.
Pegawai Bertanggungjawab bagi Sekolah Latihan Polis Pengawal Pantai (PCG), Superintendan Ahamed Gouse Hameed Basha, bersama pasukannya di sekolah tersebut merupakan pihak yang bertanggungjawab dalam memperluas Simulator Tembakan dan Pengendalian Bot Taktikal (TBHFS) agar ia menawarkan latihan yang realistik serta huraian terhadap keterbatasan yang dialami ketika berlatih secara fizikal.
Terutamanya apabila pelatih PCG perlu mengakses kawasan tertentu untuk melakukan latihan tembakan dan Pengendalian Bot Taktikal namun kadangkala terpaksa dibatalkan ekoran cuaca dan keadaan laut yang tidak menentu.
Supt Ahamed, 41 tahun, memberitahu Berita Harian (BH), dengan sistem TBHFS itu, ia dapat membina kemahiran serta keyakinan pegawai PCG - sama seperti latihan secara fizikal - kerana kemudahan itu berupaya menyamarkan keadaan laut serta bot sebenar yang boleh diubah secara langsung oleh jurulatih menerusi sebuah Stesen Pengendalian Jurulatih.
"Antara manfaat sistem ini adalah pegawai dapat membina keyakinan mereka mengendali sebuah bot dalam keadaan yang realistik yang mana para jurulatih dapat mengubah senarionya secara langsung.
"Ini termasuk mengubah keadaan cuaca serta gerak-geri dan kelajuan pelaut haram di lautan Singapura ketika simulasi itu dijalankan," jelas Supt Ahamed lagi.
"Kadang-kadang pegawai kita tidak yakin melakukan pergerakan taktikal di laut dengan kelajuan yang diperlukan kerana mereka takut kepada keadaan di laut serta jarak antara mereka yang dekat dengan pelatih bot lain. Jadi dengan adanya simulasi ini mereka dapat melakukannya tanpa gangguan mental itu.
"Tambahan pula, sistem ini mencerminkan keadaan laut yang realistik bahkan, pengalaman mengendalikan bot simulasi ini juga seperti keadaan benar di laut."
Supt Ahamed berkata dalam latihan tembakan dengan peluru hidup dan pemburuan kapal pelaut haram, pelatih PCG harus pergi ke sebuah kawasan latihan dekat Laut China Selatan, yang mengambil kira-kira satu jam untuk sampai ke sana daripada pangkalan tanah air.
Di situ, kadangkala keadaan laut atau cuaca boleh berubah menjadi teruk, sekali gus terpaksa membatalkan latihan itu.
Malah, beliau juga berkata, bot sasaran atau bot 'dummy' yang digunakan untuk melakukan latihan pemburuan atau tembakan juga merupakan sebuah objek yang tidak mudah bergerak, tidak seperti dalam situasi yang benar di mana Supt Ahamed berkata:
"Kalau ada pelaut yang mengharungi lautan Singapura secara haram dengan menaiki bot tentu sahaja dia akan cuba melarikan diri dan tak akan beku sahaja kan?
"Jadi latihan simulasi seperti ini dapat membina keyakinan pegawai kita dan kemudian mereka dapat mengamalkan ilmu yang diraih semasa latihan simulasi ini apabila mengendali bot sewaktu menjalankan tugas dan sebagainya," kata Supt Ahamed lagi.
Kemudahan TBHFS itu telah diperkenalkan Pasukan Polis Singapura (SPF) pada September tahun lalu dan ia berupaya menawarkan simulasi kapal yang realistik dan yang boleh melebihi kelajuan 50 knot.
Antara lain, ia juga mempunyai ciri jejak pergerakan mata yang boleh mengenal pasti setiap tindakan dan reaksi yang dihadapi pelatih ketika mengendalikan senario dengan menggunakan TBHFS.
Ciri itu juga amat berguna untuk jurulatih membuat penilaian terhadap pelatih sesudah latihan itu.
Namun disebabkan peraturan langkah jarak selamat Covid-19, pelatih PCG hanya dapat menggunakan simulasi itu semula pada Fasa Tiga.
Menurut Supt Ahamed, satu kohort pelatih yang terdiri daripada lapan pegawai telah menggunakan sistem simulasi tersebut.
Beliau bersama pasukannya yang telah telah dipilih sebagai Unit Latihan Home Team terbaik bagi 2020 tidak berhenti mempertingkat pakej pembelajaran yang dilengkapkan kepada simulasi TBHFS itu.
Tidak lama nanti, pihaknya akan memperkenalkan latihan tembakan dengan menggunakan kemudahan TBHFS itu yang dilengkapkan senjata api yang serupa senjata yang digunakan ketika beroperasi.
"Tanpa jurulatih yang bertauliah, sistem TBHFS itu hanya sebuah peralatan yang mungkin tidak membawa faedah.
"Jadi pasukan jurulatih kami di sini akan sentiasa mempertingkatkan pengalaman latihan agar ia lebih holistik buat mereka bahkan, melangkaui batasan yang dialami ketika berlatih di laut juga," tekan Supt Ahamed lagi.