Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penglibatan relawan berbeza agama, kaum dialu-alu Pergas: Ustaz Mizi

Jul 16, 2023 | 6:54 PM
HARAP WARISAN DITERUSKAN: Presiden baru Pergas, Ustaz Muhammad Tarmizi Abdul Wahid (empat dari kanan), dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pergas Investment Holdings, Dr Shamsiah Abdul Karim (dua dari kiri), bersama sukarelawan daripada New Life Stories di Wisma Indah ketika pengagihan daging korban pada Ahad.
HARAP WARISAN DITERUSKAN: Presiden baru Pergas, Ustaz Muhammad Tarmizi Abdul Wahid (empat dari kanan), dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pergas Investment Holdings, Dr Shamsiah Abdul Karim (dua dari kiri), bersama sukarelawan daripada New Life Stories di Wisma Indah ketika pengagihan daging korban pada Ahad. - Foto BH oleh KHALID BABA

Penglibatan sukarelawan pelbagai agama dan kaum dalam kegiatan masyarakat adalah sesuatu perkara yang menggalakkan, kata Presiden baru Persatuan Ulama Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), Ustaz Muhammad Tarmizi Abdul Wahid.

Beliau, yang lebih dikenali sebagai Ustaz Mizi Wahid, berkata penglibatan pelbagai sukarelawan itu mewakili kepercayaan Pergas untuk terus bekerjasama dengan pelbagai lapisan masyarakat.

Meskipun pendekatan ini sudah diamalkan oleh kepimpinan sebelum ini, ia merupakan warisan yang beliau berharap dapat diteruskan di Pergas di bawah pimpinannya.

“Sukarelawan kami daripada kaum dan agama lain bersedia untuk berkhidmat, membantu dan berinteraksi secara langsung dengan keluarga-keluarga yang kami bantu.

“Ini merupakan satu petanda bahawa Pergas ingin bekerjasama dengan warga Singapura, tidak kira bangsa atau agama,” katanya semasa ditemui Berita Harian.

“Ini memberi kami motivasi untuk teruskan usaha ini dengan kepimpinan baru dalam masa akan datang,” tambahnya.

Pada Ahad, sukarelawan Pergas membantu mengagihkan lebih 2,000 kilogram daging korban kepada 1,000 penerima di seluruh pulau.

Usaha tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif korban dan akikah tahunan Pergas Investment Holdings (PIH) yang dilakukan di 10 negara.

Usaha korban tahun ini telah dijalankan di Australia, Lebanon, Indonesia, Uganda, Malawi, Bangladesh, Kemboja, India, Yemen dan Singapura.

Menghargai sambutan usaha korban itu, Ustaz Mizi berkata sumbangan daging korban itu akan dimanfaatkan oleh ramai yang memerlukan.

“Mereka bukan hanya menerima agihan daging ini tetapi juga menerima mesej daripada masyarakat di mana sifat ihsan itu masih wujud dalam masyarakat.

“Kita masih prihatin dengan keadaan mereka walaupun mereka menghadapi cabaran tersendiri.

“Melalui usaha ini, kita dapat menunjukkan ada lagi pihak-pihak tertentu yang inginkan kebaikan untuk mereka,” katanya.

Seawal 10 pagi, sukarelawan daripada beberapa pertubuhan bukan pemerintah giat turun padang dan berkumpul di Wisma Indah untuk membantu dengan agihan kepada benefisiari mereka.

Antara badan ini termasuk Kelab Heal, Kumpulan Orang Cacat Muslim Singapura (KCMS), Liga Muslim Kadayanallur Singapura (SKML), New Life Stories dan Persatuan Bertindak Ginjal bagi Masyarakat Islam (MKAC).

Antara mereka yang giat menyumbangkan tenaga adalah Cik Serena Foo, seorang sukarelawan bersama New Life Stories.

Mengulas tentang pengalaman pertamanya mengagihkan daging korban, Cik Foo berkata ia merupakan aktiviti yang telah menyentuh hatinya.

“Walaupun saya beragama Katolik, saya rasa gembira dapat meluangkan masa bersama keluarga saya untuk mendekati mereka yang memerlukan.

“Saya rasa melalui aktiviti sebegini, tidak kira bangsa atau agama, kami dapat memahami antara satu sama lain dengan lebih baik,” kata beliau yang berusia 60-an tahun.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg