SEMUA pengunjung yang memasuki Singapura melalui Laluan Perjalanan bagi yang Sudah Menjalani Vaksinasi (VTL) dari negara yang mempunyai kadar jangkitan Covid-19 rendah hanya perlu menjalani ujian pantas antigen (ART) sendiri yang tidak diselia dalam tempoh 24 jam setibanya mereka di negara ini.
Aturan tersebut akan dilaksana mulai 11.59 malam pada 14 Mac, dan menggantikan protokol sebelum ini yang memerlukan pengunjung menjalani ujian ART sendiri yang diselia, kata Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, sewaktu sidang media Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) bagi Covid-19 semalam.
Ini menyusuli jumlah jangkitan diimport yang kekal rendah sepanjang minggu-minggu lalu - sekitar 1 peratus daripada jumlah jangkitan harian keseluruhan, kata Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kenyataannya.
Ini kerana banyak negara telah melepasi tempoh kemuncak bagi gelombang jangkitan Omicron, kata MOH.
Aturan baru itu akan dilaksanakan bagi pengunjung divaksin yang tiba dari negara yang mempunyai kadar jangkitan rendah seperti Macao, China dan Taiwan.
Ia juga akan dijalankan bagi pengunjung divaksin dari negara yang mempunyai aturan VTL bersama Singapura. Negara itu termasuk Australia, Malaysia, Indonesia, Arab Saudi dan United Kingdom.
"Mereka juga masih perlu melaporkan keputusan ujian mereka dan mereka juga masih perlu mengambil ujian sebelum keberangkatan," kata Encik Gan.
Ujian itu boleh dilakukan menerusi ART sebelum pengunjung berangkat atau ujian tindak balas rantai polimerase (PCR) dalam tempoh dua hari sebelum keberangkatan ke Singapura.
Pengunjung perlu melaporkan keputusan ujian mereka di laman sync.gov.sg sebelum meneruskan kegiatan mereka di Singapura.
Pengunjung yang tiba dari negara yang tidak termasuk dalam senarai VTL atau dari tempat yang dimasukkan di bawah kategori negara dihadkan, perlu menjalani Notis Jangan Keluar Rumah (SHN).
Mereka dari negara yang dihadkan juga perlu mengambil ujian PCR setibanya di Singapura. Buat masa ini, tiada negara yang disenaraikan di bawah kategori itu.
Menyusuli pengumuman Malaysia untuk membuka semula sempadan pada 1 April, Encik Gan mengalu-alu langkah tersebut.
"Kami sedang mengusahakan pengaturan operasi yang terperinci bersama mereka dan akan berkongsi lebih banyak butiran apabila kami sudah bersedia," kata Encik Gan.
Menurutnya, ia adalah usaha yang besar memandangkan dalam keadaan sekarang sahaja, beberapa ribu orang sudah merentasi sempadan setiap hari.
Penguasa darat dan jabatan imigresen sedang dalam perbincangan dengan rakan sejawatan di Malaysia untuk memastikan apabila masanya tiba untuk membolehkan lebih ramai orang merentas sempadan, ia boleh dilakukan dengan "lancar dan selamat", kata Encik Gan.
PERATURAN BARU


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg